KUALA LUMPUR: PAS mendesak agar Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti yang sering membela pemimpin Umno supaya menjelaskan kepada pemimpin Umno tentang kejahilan mereka dalam soal bukan Islam membaca ayat al-Quran.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dato' Kamaruddin Jaffar menegaskan isu bukan Islam membaca petikan ayat al-Quran sudah lama selesai sejak Umno cuba menjadikan isu Ahli Parlimen Taiping dari DAP, Nga Kor Ming yang membaca petikan ayat al-Quran dalam satu ceramah ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang.
Bila Umno cuba menjadikan perkara itu sebagai isu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Nik Aziz Nik Mat menjelaskan di zaman Rasulullah SAW semua surat kepada ketua kerajaan yang bukan beragama Islam juga turut dimuatkan dengan petikan ayat-ayat Al-Quran.
"Bila Tuan Guru Nik Aziz menjelaskan bahawa Rasulullah SAW juga menulis petikan ayat Al-Quran dalam surat kepada ketua kerajaan yang bukan beragama Islam dan ini jelas bahawa mereka akan membaca petikan tersebut bila menerima surat Baginda.
"Apa yang dijelaskan oleh Tok Guru Nik Aziz itu bukti bahawa orang bukan Islam juga boleh membaca petikan ayat al-Quran dan ia sama sekali tidak bermaksud untuk menghina agama Islam.
"Jika pemimpin Umno terutama Hishamuddin (Dato' Seri) masih lagi tidak memahami perkara ini maka perlulah mufti yang selama ini membela apa saja tindakan pemimpin Umno tampil untuk memberi penjelasan kepada mereka (pemimpin Umno)," jelas Kamaruddin.
Beliau juga menjelaskan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menggunakan petikan ayat suci al-Quran ketika berkempen kerana ia bertujuan untuk menguatkan hujah sewaktu berceramah.
Baru-baru ini pemimpin Umno cuba menjadikan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menggunakan petikan ayat suci al-Quran ketika berkempen di Bagan Pinang sebagai satu isu dan menganggap ia boleh membuatkan orang Melayu marah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan