KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 11, 2009

Tidak boleh tanding Presiden dan Timbalan Presiden PAS hanya satu penyelewengan pemahaman - YB Dr Dzulkifli Ahmad

"Ulama bukan sahaja di labelkan sebagai 'religious train' tetapi ulama-ulama juga termasuk dalam bidang-bidang yang lain yang terikat dengan ketakwaan dan tauhid serta ilmu. Itu membawa dia taaruf dengan Allah Taala," demikian pandangan Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad. Atas dasar profesionalnya, beliau memberanikan diri untuk menghurai isu yang diperkatakan umum berhubung kepimpinan ulama walaupun agak keberatan pada awalnya. Ikuti temu bual wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau.

Terdapat pro dan kontra tentang isu ulama dan profesional. Dalam hal ini, apa pandangan Dr?

DR DZULKIFLI AHMAD: (Terfikir sejenak). Saya suka kembali kepada apa yang disebut oleh Almarhum Ustaz Fadhil Noor tentang tarif ulama. Berdasar tarif itu akhirnya dalam penilaian Islam yang saya difahamkan selama ini, kelayakan memberi sesuatu tugas itu mesti berdasarkan sebagaimana yang disebut Al-Quran, (menyebut sepotong ayat surah An-Nisa).
Yang bermaksud: "Allah memerintahkan sesuatu kerja itu kepada orang mulia iaitu ahlinya."
Jadi persoalannya dalam Islam itu adalah keahliannya atau dalam bahasa moden hari ini ialah 'meritnya' berdasarkan kelayakan, keahliannya, keupayaanya dan kemampuannya. Dalam surah Yusuf, Allah memperingatkan dalam peristiwa Yusuf itu, apa kriteria yang digunakan Islam dan Al-Quran dalam mengangkat seseorang itu yang diberikan tugasan (menyebut ayat dalam surah tersebut).
Ayat itu bermaksud; "sebaik-baik kamu diangkat menjadi pemimpin itu atau diberi tugasan itu, harus memiliki dua sifat iaitu mempunyai 'Qawwi' (kekuatan atau ketrampilan) dan satu lagi 'aminun' (beramanah, ketakwaan dan berwibawa)."
Seseorang itu perlu memiliki kedua-dua sifat ini, kalau kuat sahaja tetapi tidak amanah, penuh dengan rasuah dan salah guna kuasa ia tidak boleh menjadi pemimpin. Ini jelas kepada kita, kriteria itu ditetapkan dalam Islam. Isunya bukan persoalan ulama atau profesional tetapi dalam peribadi seseorang yang dilantik itu perlu ada sifat yang disebut dalam kedua-dua surah itu. Ulama bukan sahaja di labelkan sebagai 'religious train' tetapi ulama-ulama juga termasuk dalam bidang-bidang yang lain tetapi terikat dengan ketakwaan dan tauhid serta ilmu itu membawa dia taaruf dengan Allah Taala.

Pada penelitian Dr. apakah yang dikatakan kepimpinan ulama sejak ia diasaskan pada tahun 1982.

Secara jelasnya, apa yang saya fahami berdasarkan pengamalannya. Ulama yang ditubuhkan pada tahun itu akhirnya menyaksikan penubuhan Majlis Syura Ulama. Majlis ini sebagai satu badan yang akan menentukan supaya PAS tidak tergelincir dari landasan syariat dalam penentuan polisi-polisinya.
Kenapa hanya hadkan kepada Presiden dan Timbalannya sahaja sebagai ulama begitu juga Naib Presiden sebagai ulama? Sebabnya ia tidak pernah berlaku. PAS tidak bermaksud begitu, ini adalah satu penyelewengan pemahaman. Malah perkara ini pun tidak pernah disebut dalam Perlembagaan PAS itu.
Ahli dalam majlis ini bermula dengan Mursyidul Am, timbalannya, serta Dewan Ulama, memang kena ulama, tetapi di situ sahaja. Selain daripada itu jawatan-jawatan lain yang ditandingi oleh mana-mana ahli parti tetapi mempunyai kriteria ketakwaan.

Terdapat sedikit 'kocakan' dalam isu menawarkan diri untuk bertanding apa jua jawatan hingga mendedahkan parti kepada perbincangan umum. Bagaimana yang terbaiknya PAS menyelesaikan isu ini?

Saya kira, tidak ada kesalahan dalam peribadi-peribadi tertentu menawarkan diri untuk bertanding. Dari sudut Islamnya saya tidak nampak ianya bercanggah, kerana seseorang itu sudah bersedia. Kalau dia tidak bersedia macam mana kita hendak calonkannya.
Islam itu luas, jangan kita sempitkan apa yang diberikan-Nya. Fikrah menawarkan diri ini adalah satu perkara yang biasa. Saya kira tidak ada kesalahan menawarkan diri. Di sini bukan punca masalahnya. Yang salahnya apabila kita mula berkempen bukan untuk menaikan calon kita tetapi untuk menjatuhkan calon orang lain. Itu adalah jenayahnya.
Boleh kita mengangkat calon tetapi jangan sampai mengaibkan calon orang lain. Jangan pula meletakkan katagori-katagori calon! Mengapa kita katagorikan itu dan ini. Kenapa macam tu? Kita ini parti Islam yang cukup matang. Orang yang melakukan perkara itu kalaulah kepada saya tentu mempunyai niat yang tidak baik. Saya cukup terbuka dan berterus-terang.

Pada pandangan Dr. terdapat cadangan untuk memperkasakan Majlis Syura Ulama PAS dalam mengawal dasar-dasar parti. Apakah Majlis Syura hari ini masih belum mantap?

Saya tidak kata begitu, saya masih menyokong penuh semua cadangan memperkasakan Majlis Syura Ulama, AJK PAS Pusat, Dewan-dewan dan semua perhubungan negeri. Saya tidak kata sedikit pun bahawa Majlis Ulama sahaja perlu diperkasakan. Tetapi kalau benar ada cadangan untuk memperkasakan Majlis Syura Ulama, kenapa perlu rasa tergugat?
Kita sokong memperkasakan AJK PAS Pusat, dewan-dewan pun kita sokong, jadi janganlah 'attack' Majlis Syura Ulama sahaja seolah-olah majlis ini lemah, orang lain kuat ke?
Ini pun satu hal juga. Bagi saya macam inilah Majlis Syura Ulama ini tentunya dalam semangat itu orang sayang kepada Majlis Syura Ulama. Sudah tentu ahli mahu Majlis Syura Ulama benar-benar memainkan peranan cukup hebat dan berkesan.

Selain ulama yang layak duduk dalam Majlis Syura, adakah dizinkan bukan ulama menganggotai majlis ini?

Tidak ada kriteria ini disebut dalam Perlembagaan PAS. Pada muka surat enam menerangkan ahli-ahli Majlis Syura Ulama hendaklah terdiri daripada 15 orang. Dalam Fasa 7, Hukum Kekuasaan dan Majlis Syura Ulama 4a dan 4b. 4a menjelaskan seseorang yang dilantik menjadi ahli Majlis Syura ulama itu hendaklah seorang yang mengetahui masalah pokok dan al-usul dan syariat Islam serta hukum-hukumnya dengan merujuk masalah itu dalam Al-quran, sunnah dan ijma'.
4b menerangkan empat daripada ahli majlis hendaklah dipilih dan dilantik oleh AJK PAS Pusat di kalangan AJK itu sendiri, dan empat orang lagi dilantik dan dipilih oleh jawatankuasa kerja Dewan Ulama PAS Pusat.
Baki tujuh orang lagi dilantik oleh lapan orang tadi. Jadi untuk jawatan Presiden dan timbalannya tidak semestinya wajib menjadi ahli Majlis. Contohnya Timbalan Presiden bukannya ulama, mungkin AJK PAS Pusat tidak akan melantik beliau dalam Majlis Syura Ulama.
Jadi tidak wajib untuk dia duduk dalam majlis Syura Ulama. Pada muka surat 16, Fasa 14, Hak-hak dan kewajiban ahli PAS (orang alim ulama atau bukan ulama). Fasa 14(1)a setiap ahli PAS berhak memilih (mengundi) dan dipilih (dicalonkan) untuk memegang mana-mana jawatan dalam parti dan boleh dicadang untuk mewakili parti. Ini sudah jelas! Jadi soal ulama tidak wajar ditimbulkan, isu sekarang ini kita perkatan soal hak serta kebenaran yang ada dalam perlembagaan.

Sudah 25 tahun kepimpinan ulama menunjangi PAS. Bagaimana persepsi rakyat terhadap kepimpinan ini?

Saya hendak terus-terang membuat penegasan ini, bahawa PAS sebagai sebuah parti Islam adalah penting untuk kita tahu bahawa PAS itu adalah keseluruhanya daripada pimpinan pusat sampailah cawangan. Untuk kita menilai hanya Majlis Syura Ulama sahaja ia perlu kajian yang tepat, bukan boleh congak-congak begitu sahaja.
Hari ini masyarakat Melayu Islam beserta bukan Islam semakin mendokongi perjuangan PAS yang tunggak kepimpinan Ulama. Ini dilihat kebelakangan ini terutama selepas PRU dan beberapa PRK baru-baru ini, kita dapati bahawa orang Melayu Islam dan bukan Islam mendapati gandingan kepimpinan ulama serta profesional itu menggamit sokongan mereka.
Yang mana dahulunya secara tradisi orang-orang Melayu Islam hanya di Kelantan serta negeri utara yang menerima kepimpinan Ulama tetapi pada hari ini PAS mampu menang di kerusi campuran. Akhirnya sokongan Melayu Islam dan bukan Islam dilihat jelas semakin meningkat kepada PAS. Ini kita boleh gambarkan PAS semakin mendapat tempat di hati orang Melayu Islam dan juga bukan Islam.

Tiada ulasan: