KUALA LUMPUR: Selepas pilihan raya 2008 BN memang berusaha mencari kemenangan di setiap pilihan raya kecil yang disertainya sama ada di peringkat parlimen atau negeri.
Menurut bloger, Dato' Ruhanie Ahmad, ini kerana penyertaan BN dalam mana-mana pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum ke 12 pastinya mereka mahu jadikan salah satu pendekatan untuk membolehkan persepsi rakyat terhadap kewibawaan BN sebagi parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri-negeri yang masih lagi dalam kekuasaannya.
"Maksudnya kemenangan di Bagan Pinang ini memang sangat diidam-idamkan Umno," katanya semasa dihubungi.
Namun katanya, orang Negeri Sembilan pengamal adat Minangkabau.
Beliau berkata, ini satu daripada societal dictum atau madah serapah yang menggemblengkan kemuafakatan masyarakatnya iaitu bukit sama didaki, lurah sama dituruni; hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah; dan, kerbau dipegang talinya, manusia dipegang janjinya.
Orang Melayu juga tegasnya, mempunyai bidal dan kata nasihat apabila guruh berdentum di langit, air tempayan jangan curahkan; burung terbang jangan pipiskan lada; jong pecah, yu kenyang; dan, akibat nila setitik, rosak susu sebelanga!
Namun kata Ruhanie, bagaimana madah serapah dan bidal kata itu akan dimanifestasikan di Bagan Pinang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 11 Oktober nanti.
Mengulas lanjut, beliau berkata pilihan raya kecil di Bagan Pinang terbuka kepada semua parti dan tambahnya sama ada kalah atau tidak, ia tidak menjadi masalah. Ia satu proses demokrasi maka terbuka kepada semua pihak untuk menyertainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan