MUQADIMAH: Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak diberi laluan mudah untuk menang. PAS mengemukakan calon muda yang berwibawa, profesional dan berintegriti. Pembabitannya dalam perjuangan rakyat dan membela nasib mereka selama ini, begitu meyakinkan. Tiada sebab pengundi menolak beliau dan memilih tokoh rasuah dalam Umno. Ikuti interbiu eksklusif bersama Calon PAS Bagan Pinang, Zulkefly Mohamad Omar memperkatakan misi dan visi beliau.
Boleh ceritakan sedikit latarbelakang saudara?
ZULKEFLY MOHAMAD OMAR: Assalam'mualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih kepada pihak media kerana melaporkan dengan adil aktiviti saya di sini, PAS dan Pakatan Rakyat sehingga petang ini.
Saya Zulkefly Mohamad Omar. Dilahirkan di Lenggeng, Negeri Sembilan. Saya seorang peniaga, mempunyai seorang isteri dan enam orang anak. Kini menggalas tugas selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan sejak 2 penggal. Memiliki Ijazah Sarjana Muda dari UITM dalam bidang komunikasi dan Ijazah Sarjana Sains dari UPM. Alhamdulillah saya diamanahkan selaku calon di Bagan Pinang.
Apakah fokus dan agenda kempen saudara di sini?
Kesempatan ini, ingin saya sebutkan beberapa fokus kempen saya serta agenda kesejahteraan yang ingin saya tawarkan kepada pengundi N31 Bagan Pinang. Ikhlas saya katakan bahawa di Port Dickson, khususnya di Dun Bagan Pinang ini terdapat banyak isu malar segar yang perlu ditangani bersama.
Daripada 13 permasalahan yang dekat dengan rakyat, umumnya mahu isu penaiktarafan jalan utama dari Telok Kemang ke Pasir Panjang segera diselesaikan. Kedua, rakyat mahu masalah perparitan yang menjadi punca utama banjir kilat, pembiakan lalat serta nyamuk segera diselesaikan.
Ketiga dan terakhir, rakyat mahu isu alam sekitar diselesaikan yang melibatkan Pantai Port Dickson kerana dengan berbuat demikian, bukan sahaja menggamit semula kehadiran pelancong malah menjana ekonomi setempat.
Memandangkan kempen sudahpun bermula dan isu-isu tempatan diketengahkan oleh PAS, apakah isu-isu itu dan sejauh mana komitmen saudara dalam menangani masalah tersebut?
Saya akan berusaha untuk menyelesaikan isu-isu yang disuarakan penduduk di Bagan Pinang antaranya golongan berpendapatan rendah serta mendapatkan gaji minimum untuk pekerja ladang.
Isu-isu ini telahpun dibawa dalam kempen-kempen terutamanya melalui pertubuhan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) dan saya sendiri. Jerit sudahpun turun untuk menemui mereka dan pada saya isu ini perlu diketengahkan kepada pengundi berpendapatan rendah di kawasan berkenaan yang tidak mendapat perhatian oleh kerajaan BN.
Selain itu saya juga telah menemui keluarga nelayan di sekitar Batu 7, 8 dan 9 yang terjejas pendapatan mereka akibat buangan industri ke kawasan pantai berkenaan.
Mereka ini adalah nelayan pantai. Apa yang terjadi apabila pantai tercemar akibat pembuangan toksid, tangkapan mereka terjejas. Mereka mengadu kepada saya, mereka perlu keluar lebih jauh ke tengah laut yang menyebabkan kos meningkat. Bagi saya, mereka sepatutnya diubah supaya menjadi nelayan laut dalam. Ini semua menuntut satu komitmen yang besar.
Seterusnya isu tekanan air rendah yang sering dialami penduduk di sini dan masalah banjir. Sebenarnya masalah air ini berlaku semenjak bekalan air diswastakan kepada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains), malah paling menyedihkan caj air meningkat dan membebankan pengguna.
Apakah isu lain yang difokuskan?
Tahun lepas, Dato' Shaziman Abu Mansor kata di Parlimen, tiada peruntukan untuk membaiki jalan di sini. Sedangkan tanggungjawab membina jalan sebenarnya di dalam Senarai Persekutuan (Federal List).
Jadi, Umno tidak perlulah memperbodohkan rakyat dengan kempen adakah saya mampu memperbaiki jalan jika saya menang. Sedangkan jika Tan Sri Mohd Isa Samad menang sekalipun, itu bukan tanggungjawab dia untuk membina jalan.
Maka, saya akan sentiasa membawa isu penaiktarafan jalan ini di Dun kelak, di samping membantu Ahli Parlimen Telok Kemang membawa isu ini di Parlimen. Sama ada jalan siap dulu, atau Umno tumbang di Negeri Sembilan, biarlah rakyat terus membuat perhitungan.
Begitu juga dalam isu perparitan. Port Dickson dikenali khalayak tempatan sebagai bandar pembiakan lalat, banjir kilat dan beberapa isu lagi. Akar masalah pada segala permasalahan kedua ini adalah sistem perparitan yang tidak efisyen.
Pembiakan lalat adalah natijah pada masalah perparitan. Bau busuk juga adalah natijah pada masalah perparitan. Banjir kilat yang berlaku setiap kali musim hujan juga adalah natijah pada masalah perparitan.
Selesaikan akan masalah perparitan, bermakna selesailah segala natijah/masalah berantai tersebut. Selesaikan masalah perparitan, insyaAllah selesailah segala yang membelenggu rakyat hampir sedekad ini.
Bagaimana dengan isu pantai?
Saya yakin rakyat tempatan tahu tentang privasi pantai awam oleh segelintir pemimpin Umno bersama-sama pihak tertentu. Rakyat tempatan semuanya tahu isu masalah sampah-sarap ini berpunca oleh sistem pengangkutan sampah oleh syarikat SWM.
InsyaAllah, pengalaman menjadi sukarelawan dan aktivis alam sekitar dan kemasyarakatan, menjadi pengerusi 'No Incinerator Broga', saya sedia mengetengahkan idea-idea yang lebih progresif demi kepentingan rakyat.
Apa maksud manifesto saudara?
Dalam maksud yang lebih mudah, manifesto saya untuk rakyat adalah memperjuangkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat khususnya di Telok Kemang. Jadikan Adun Bagan Pinang sebagai satu lagi suara pendesak di Dewan Undangan Negeri (Dun), agen semak dan imbang terhadap projek-projek terbekangkalai serta urus tadbir kerajaan negeri yang dilihat pincang dan pembaziran oleh kerajaan Umno dan BN.
Apa harapan saudara kepada pengundi, ke arah mana jika menang? Adakah ia akan memberi kesan kepada rakyat di sini?
Ikhlas saya katakan, kemenangan saya tidak akan mengubah lanskap kuasa kerajaan negeri. Tetapi, kemenangan ini akan membawa satu lagi 'kehendak rakyat' ke Dewan Undangan Negeri. Pakatan Rakyat tambah satu kerusi Adun lagi, menjadikan 16 keseluruhannya. Umno tinggal 18 kerusi sahaja. Beza kerusi kita (Pakatan) dan BN hanya 2 kerusi sahaja. Semoga inilah yang dikatakan bersama kehendak rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan