KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Jun 29, 2010

Jenayah beli Adun dan tawaran jadi MB selepas PRU 1969 kini berulang - bekas Adun Kg. Gajah, Cikgu Mahmud Zainal Abidin


Mungkin sejarah hari ini sepatutnya telah dipahat sejak beberapa dekad lalu, namun ia tidak berlaku lantaran pilihan keputusan dan tindakan di masa itu. Akhirnya ia tempa di masa ini, mengisi makna di era ini bersama tokoh-tokoh yang melakarkannya.

Tatkala berlangsungnya Muktamar PAS, di situ juga pasti sejarah dan tokoh ditemui. Pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berlangsung di Kelantan Trade Center (KTC), Kota Bharu, 10 Jun, Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim berkesempatan bertemu bekas Adun PAS Kampung Gajah, Perak (sekarang Dun Bota) iaitu Mahmod Zainal Abidin, 73 tahun yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mahmod.

Berkongsi nostalgia lalu, beliau mengimbau sejarah Pilihan Raya Umum 1969 yang menyaksikan Pulau Pinang dan Kelantan bertukar kerajaan. Manakala di Perak, Perikatan yang diketuai Umno telah kehilangan majoriti. Perikatan hanya mempunyai 19 kerusi Dun, sedang pembangkang terdiri daripada PPP, DAP, Gerakan dan PAS memiliki 21 kerusi.

Keadaan itu menimbulkan usaha dari Perikatan untuk 'membeli' Adun-adun pembangkang. Cikgu Mahmod selaku Adun PAS juga diajak menyertai Perikatan, namun beliau bertegas bahawa hal itu mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan parti. Selepas satu perundingan oleh rakannya, Haji Taib di Chemor, maka Mahmod dibawa ke Kelantan bertemu Yang DiPertua PAS, Dato’ Asri Muda.

"Tidak boleh macam itu Cikgu Mahmod. Kita sekarang dah jadi kerajaan (di Kelantan). Usah kata membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PPP, dengan Umno lagi tidak boleh kerana Umno musuh PAS," ujarnya termasuk memetik peringatan Dato' Asri yang menolak untuk bergabung dengan Perikatan.

Akur dengan keputusan itu beliau terus pulang ke Perak dan memaklumkan kepada Yang DiPertua PPP, Dharma Raja Seenivasangam. Maka berlakulah perundingan dengan DAP untuk membentuk kerajaan campuran serta bersetuju melantik antara tiga Adun Melayu yang ada iaitu Shamsudin Harun (PPP), Ibrahim Singgeh (DAP) dan beliau (Cikgu Mahmod) sebagai Menteri Besar. Malangnya, Shamsudin yang merupakan 'anak emas' PPP telah melompat parti menyertai Umno sekaligus mengembalikan majoriti kepada Perikatan.

Menurut Mahmod, beliau dimaklumkan bahawa Shamsudin telah dipujuk dengan bayaran jutaan ringgit, tetapi hanya menerima RM80,000 sahaja. Nilai yang agak besar waktu itu. Pada Pilihan Raya Umum 1974, Mahmod bersama beberapa Adun PPP bertanding sebagai calon Bebas berikutan semua parti ketika itu kecuali DAP telah menyertai Barisan Nasional (BN) selepas pemerintahan MAGERAN. Beliau bertanding di Dun Bota, yang sebelum itu dimenanginya atas tiket PAS.

Menurut beliau, Dato' Asri yang berhasrat untuk menjadi Menteri Kemajuan Tanah di bawah Kerajaan BN ketika itu tidak meletakkannya semula bertanding sebaliknya menggantikan dengan Dato' Latif Mohd Lazim (allahyarham) dari Kg. Lambor Kiri, Parit. Turut diberi bertanding ketika itu ialah adik ipar Dato’ Asri bernama Md Junid.

Penyertaannya bersama rakan calon Bebas lain disepakati untuk membentuk kerajaan bersama selepas itu, malangnya semua mereka tewas. Pun begitu ujar Cikgu Mahmod, rakyat masih memberi sokongan kuat kerana mereka semua tidak hilang deposit. Jelas beliau, gelombang rakyat ketika itu khususnya sebelum PRU 1974 sememangnya kesedaran untuk berubah. Rakyat merasakan Perikatan gagal memberi khidmat yang baik serta tidak berlaku adil dalam banyak perkara.

Malang juga, kesedaran dan semangat itu semakin terpadam setelah BN membina imejnya. Manakala keyakinan kepada PAS kian menjunam ekoran beberapa tindakan Dato' Asri termasuk memecat Ahli Parlimen Parit, Hashim Gera yang sangat diterima ketika itu. Pun begitu, sejarah tersebut telah berlalu. Jelas Cikgu Mahmod yang ditemani rakannya Ustaz Helmi Samad Noh iaitu anak Tuan Guru Samad Noh Padang Rengas, kebenaran pasti tetap datang dan kini PAS sudah pun berada dilandasan kejayaannya.

Selian Ustaz Helmi, turut hadir dalam pertemuan itu bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Darji Mutalib; Yang Dipertua PAS Tapah, Abdul Rahim Nordin, Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam dan wartawan Bernama, Mohd Nasir Rani. 

Tarmizi yang mengenali Cikgu Mahmod, Darji, Rahim dan Ustaz Helmi meminta saya mengutip sejarah silam yang terselit dalam lipatan minda Cikgu Mahmod kira-kira 42 tahun lalu. Jika kekuatan pakatan pembangkang sekuat Pakatan Rakyat Perak hari ini ketika itu, nescaya Cikgu Mahmod ada kemungkinan boleh menjadi Menteri Besar Perak, seperti Dato' Seri Nizar Jamaluddin sekarang.

Baik Perikatan mahupun pembangkang, Mahmod adalah Adun PAS yang satu-satunya jadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Perak ketika itu. Secara khusus, masa depan PAS di Perak katanya sangat baik tetapi perlu terus kuat berusaha. Ujarnya, rakyat terutamanya masyarakat bukan Melayu sangat menyayangi PAS lebih-lebih lagi setelah peristiwa rampasan kuasa tahun lalu. Bahkan, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, telah menjadi ikon dan buah mulut yang sangat dikagumi dan disegani rakyat di Perak, jelas Mahmod mengakhiri sembang panjang kami. - Izuan Abdul Halim

Tiada ulasan: