Kenyataan angkuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan meluluskan judi sukan, jika beliau masih berkuasa (jadi PM) dianggap biadap dan jahil dari segi pemahaman agama tentang judi yang keji ini. Orang bukan Islam khususnya kaum Cina pula bertambah marah dengan dakwaan bias beliau, yang mengaitkan kononnya judi adalah budaya kaum Cina, sama seperti minum arak dan makan babi.
"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," Mahathir dipetik sebagai berkata ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menyifatkan kenyataan Mahathir itu cukup bercanggah dengan Islam dan semua agama kerana judi adalah musibah dan malapetaka kepada rakyat dan negara.
Sejak zaman pentadbiran Mahathir, Malaysia cukup terkenal sebagai 'Darul Kasino' bermula dari sekecil-kecil judi seperti berlaga ayam sehinggalah judi di puncak bukit dan judi di atas kapal wujud dalam negara ini tanpa segan-silu oleh sebuah kerajaan yang kononnya mengaku mentadbir sebuah Negara Islam.
Isu pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dan babi, memandangkan secara jelasnya tidak ada mana-mana agama yang membenarkan kegiatan judi dijalankan, tegas bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang. Ini kerana tabiat judi itu mengundang lebih banyak keburukan dan kemudaratan seperti pergaduhan, permusuhan dan perbalahan sesama manusia, selain ia turut melingkari setiap peringkat usia.
Kenyataan dan tindakan Mahathir itu kata beliau, seolah-olah bekas PM itu mewakili orang bukan Islam, sedangkan beliau mengaku beragama Islam dan ianya menjurus ke arah dosa. Sebenarnya, isu judi menjadi kudis dalam pentadbiran Najib Tun Razak yang juga cucu kepada Pengerusi Genting (Syarikat judi terbesar negara) yang pertama, Tan Sri Mohammed Noah Omar.
Menolak tuduhan liar Mahathiur kononya PAS hanya menentan isu judi bola sepak sahaja, Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad menegaskan sejak dari mula-mula PAS ditubuhkan lagi konsisten dengan perjuangan menentang judi dan dakwaan Mahathir PAS hanya menentang judi bola adalah satu fitnah. Mahathir lupa katanya, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, PAS membantah kelulusan lesen judi yang beliau hadiahkan kepada Syarikat Bukit Tinggi Resort yang hampir muflis, dedahnya.
Mengaitkan kaum Cina sebagai pencandu judi, sangat tidak wajar kata Pengerusi Gerakan Mansuh Judi (GMJ), Azmi Abdul Hamid. Tun Dr Mahahthir Mohamad patut memohon maaf dengan kaum Tionghua apabila menuduh amalan berjudi merupakan budaya kaum itu.
Apa yang Mahathir sebut dan menganggap judi tidak diharamkan dalam masyarakat Cina adalah sesuatu yang prejudis kepada kaum Cina dan sikap Mahathir yang menyamakan sesuatu bangsa dengan tabiat negatif itu hanyalah merupakan satu penghinaan terhadap sesuatu bangsa. Judi telah ditentang oleh pelbagai agama dan bangsa kerana menyedari kesan buruk dari judi selain ianya turut diharamkan oleh pelbagai agama termasuk Kristian, Budha dan Hindu, jelas beliau.
Bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Radhi Mat Din menyifatkan tindakan kerajaan Umno-BN meluluskan judi sukan telah membunuh serta menghancurkan kecemerlangan dan kualiti industri sukan negara, kerana ini menjadikan sukan khususnya bola sepak menjadi tidak mencabar serta tidak dapat dinilai prestasinya.
PAS bertekad untuk menyokong himpunan membantah judi anjuran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dan semua ahli PAS diwajibkan untuk turun pada 3 Julai ini bagi menunjukkan bantahan rasmi kepada dasar kerajaan yang jahil ini.
GMJ turut disertai Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng; wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor; Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen, malah mereka semuanya bergabung dalam satu wadah Gerakan Membantah Judi (GMJ).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan