Kerajaan dicabar mengemukakan bukti serta memberikan penjelasan berhubung isu pengganas yang dibangkitkan kononnya berleluasa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akhir-akhir ini. Demikian ditegaskan ahli-ahli parlimen PAS pada sidang media di lobi Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Tiada sebarang bukti yang sampai ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tentang kegiatan kumpulan Jamaah Islamiyah (JI) menggambarkan persepsi untuk mengukuhkan dakwaan terdapat kegiatan keganasan yang melibatkan para pelajar," ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Dalam nada kesal, beliau turut menjangkakan kumpulan pro-agama di kampus-kampus akan menjadi sasaran yang akan dikambing hitamkan dalam isu ini.
"Kita bimbang terdapat individu tertentu terutamanya golongan pro-agama akan dijadikan kambing hitam," tegasnya. Dalam nada mencabar, ahli parlimen Kubang Kerian itu mendesak jika kerajaan enggan memberi penjelasan pihaknya akan bertindak mendedahkan hasil mesyuarat sulit antara Ketua Polis Negara dan KPT.
"Jika tidak ada penjelasan daripada Perdana Menteri dan KPT, saya akan dedahkan secara terperinci tentang taklimat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dengan pegawai-pegawai tertinggi KPT yang mahu meyakinkan mereka tentang kewujudan kegiatan keganasan di IPT pada 19 Jun lalu," ujarnya lagi.
Selain menegaskan ianya satu strategi bagi mengalihkan isu dan perhatian rakyat daripada isu-isu besar dalam negara, Salahudin mengakui pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat perkaitan antara isu ini dengan pertemuan Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama baru-baru ini. "Ini konspirasi murahan untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan Najib yang kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan