NAMPAKNYA sangat Umno sebenarnya yang lebih beriya-iya mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan sempena pesta bola sepak Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung kini. Berbanding parti-parti rakan komponen Barisan Nasional (BN) lain yang sekurang-kurangnya mempertikaikan kewajaran pemberian lesen tersebut, para pemimpin parti Melayu itu pula hingga kini masih giat berusaha menampilkan berbagai hujah merasionalkan tindakan kerajaan itu.
Mana tidaknya jika diambilkira betapa yang memulakan cerita judi bola ini ialah seorang timbalan menteri dari Umno. Awal Mei lalu media memetik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussein yang membayangkan kemungkinan kerajaan BN ditunjangi Umno mengeluarkan lesen judi pertaruhan itu.
Alasan utama pemimpin Umno itu sehingga tergamak berfikir menghalalkan perkara diharamkan Allah ialah kononnya kelulusan lesen judi itu mampu membendung aktiviti judi haram. Hal itu disahkan beberapa hari kemudiannya oleh seorang lagi Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chor Chee Heung. Katanya, kementeriannya telah pun memberi lesen kepada sebuah syarikat tempatan untuk menjalankan kegiatan pertaruhan pada kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.
Chee Heung turut mengutarakan hujah serupa dengan Awang Adek. Bahawa alasan utama kerajaan menimbangkan permohonan syarikat itu ialah agar aktiviti perjudian dan pertaruhan haram dapat dikawal dan dipantau pihak berkuasa.
Hujah itu sudah terlalu kerap kita dengar. Ia bukan sahaja diucap pemimpin bukan Islam yang tidak tertakluk kepada soal halal dan haram, tetapi turut pernah dicanang seorang bekas pemimpin kanan Umno berkelulusan pengajian Islam dari Timur Tengah.
Suatu ketika apabila terpinga-pinga diserang wakil rakyat PAS dalam satu sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) berhubung kelulusan lesen judi oleh kerajaan BN dipimpinnya, pemimpin itu lantas mengajukan perumpamaan. Beliau mengibaratkan kepentingan mewujudkan premis judi adalah seumpama kepentingan mengadakan tandas.
“Setiap orang akan buang air. Maka bagi mengelakkan orang buang air merata tempat, kita perlu menyediakan tandas. Maka begitulah juga dengan kedai judi. Kita cadang tempat judi berlesen supaya orang tidak berjudi secara haram merata tempat,” begitulah hujah loyar buruk ustaz Umno itu.
Walau pun menyedari hujah itu bunyinya semacam datang dari seorang yang tidak bersekolah, Umno tetap menjulang rasional itu. Sebab itu sejak dulu hingga kini hujah memberi lesen judi untuk membendung judi haram masih digunapakainya.
Namun Umno tahu rakyat sukar menerima hujah itu. Ia bersalahan dengan realiti. Sudah sekian lama kerajaan berpegang kepada alasan itu, namun sindiket judi haram tidak juga berjaya dihapuskan. Setiap kali polis berjaya membanteras sindiket judi haram, ia ibarat satu tertumpas, sepuluh bertunas.
Ertinya sudah terbukti menghalalkan perjudian (pemberian lesen) bukan penyelesaian terbaik membendung aktiviti perjudian haram. Semua pihak akui hakikat itu. Umno juga sedar rakyat semakin mempersoalkan tindakannya terus berpegang kepada rasional tadi.
Bagaimana pun pemimpin parti itu tetap berdegil mempertahankan tindakan kerajaannya menghalalkan dosa besar itu. Lalu mereka tampil dengan berbagai hujah bodoh. Mereka mendakwa pihak yang membantah lesen judi itu sebagai sekadar beretorik, bersikap dwi-piawai dan hanya mempolitikkan isu tersebut.
Setelah kehabisan hujah, Umno kini menyandarkan pula tindakan haram itu kononnya atas dasar meraikan kehendak orang bukan Islam. Akhbar kroni BN pada Ahad (20 Jun) lalu memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Aziz yang mendakwa langkah kerajaan memberikan lesen judi kepada Ascott Sports Sdn Bhd adalah bagi menghormati hak masyarakat bukan Islam di negara ini.
Beliau mendakwa amalan bertaruh adalah sebahagian daripada cara hidup masyarakat bukan Islam. Justeru, katanya, kerajaan perlu mengambil kira kepentingan semua pihak, bukan kepentingan masyarakat Islam sahaja.
Jika benar langkah BN itu demi menjaga kepentingan semua kaum, ia suatu yang wajar dialu-alukan. Bagaimana pun, persoalannya betulkah amalan bertaruh itu cara hidup orang bukan Islam, sepertimana didakwa Nazri itu?
Dakwaan itu agak janggal apabila kita dapati para pemimpin parti berasaskan kaum Cina sendiri tidak sebegitu lantang mempertahankan kelulusan lesen pertaruhan itu berbanding Umno. Kita tahu pemimpin DAP yang memerintah Pulau Pinang secara terbuka mengumumkan kerajaannya tidak akan meluluskan lesen judi bola. Laporan akhbar Ahad lalu juga memetik ulasan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berhubung isu sama.
Berbeza dengan Nazri, Presiden Gerakan itu dilaporkan amat mengalu-alukan keputusan kerajaan menangguhkan pemberian lesen judi itu. Meski pun Nazri kononnya meraikan masyarakat bukan Islam, Tsu Koon sebaliknya menegaskan kegiatan berjudi boleh mendatangkan kesusahan hidup, termasuk masalah moral dan sosial, kepada sesiapa yang terlibat.
“Selama ini, Gerakan mengambil pendirian menentang promosi pertaruhan dan perjudian kerana kita adalah para penganut agama-agama terhebat di dunia,” kata Tsu Koon lagi. Ya Allah, tak malunya muka orang-orang Umno yang mengaku Islam tetapi menyokong lesen judi ini! - Mohd Nasir Awang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan