Isu kononnya wujud kembali pengganas dari kumpulan Islam Jamaiyah Islamiyyah (JI) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dibimbangi sengaja dicetuskan kerajaan Umno-BN bagi menakut-nakutkan bukan Islam di negara ini khususnya terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.
Tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, kebimbangan ini berasas setelah bukan Islam, Cina dan India, masih tegar menyokong PAS dan Pakatan Rakyat sekalipun Perdana Menteri sudah mencanangkan 1Malaysia sebagai azimat untuk mendapatkan semula undi bukan Melayu terhadap BN.
Beliau kesal dengan dakwaan IPT negara ini, sudah dibolosi JI yang dilabelkan sebagai kumpulan penganas oleh Amerika, kerana ia boleh menimbulkan suasana yang tidak tenteram dalam negara. Bagaimanapun, Ustaz Idris sangsi dengan dakwaan itu kerana setelah seminggu berita tersebut berlegar dalam media massa, pihak polis masih gagal membuat sebarang tangkapan, sedangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara yang terhebat di dunia untuk memburu penjenayah.
Tindakan kerajaan "membising-bisingkan" tentang adanya gerakan JI di negara ini katanya, akan merugikan negara kerana kemungkinan pelabur-pelabur takut untuk datang dan bimbang diancam kumpulan pengganas. Ini sudah tentulah kestabilan politik akan terjejas teruk.
"Kementerian Pengajian Tinggi juga mulai panik dan turut mengistiharkan mahu memerangi pengganas yang dilaporkan wujud kalangan pelajar dan pensyarah. Jika perkara ini benar, bermakna universiti di negara ini sudah lama tidak selamat. PAS mahu kerajaan dan polis berhenti bermain politik dan menyelesaikan isu ini secara profesional. Pihak polis perlu membuktikan dakwaan ini dengan membuat tangkapan dan dakwaan segera di Mahkamah," tegasnya ketika dihubungi Harakah.
Beliau hairan, mengapa isu keselamatan dimomok-momokkan kepada umum, sedang polis ada cara profesional menanganinya. Di sinilah, tegasnya, terdapat motif tertentu yang boleh dianggap sebagai propaganda menjauhkan bukan Melayu dengan PAS.
Ustaz Idris juga berpendapat pengunaan Akta ISA bagi mereka yang dituduh tidak tepat, kerana sehingga ke hari ini penggunaan ISA didapati tidak releven dan hanya menjadi alat bagi menutup kelemahan Kerajan dalam membuat dakwaan. Jelasnya, PAS tidak mahu isu ini dipolitikkan untuk menampakkan ketidakstabilan politik dalam negara yang akan menakutkan rakyat yang sudah tidak percaya lagi dengan kerajaan Umno-BN.
"Apa yang menjadi keutamaan adalah tindakan pihak polis sendiri. Mereka perlu pantas dalam bertindak dan menjaga keselamatan rakyat, tanpa perlu dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu," katanya. Sehubungan itu katanya, komitmen semua pihak dalam memastikan negara ini selamat perlu dipertingkatkan.
"Kami menyeru semua ahli dan penyokong untuk turut sama menyertai usaha membasmi jenayah di kawasan masing-masing. PAS menolak sebarang aktiviti keganasan dan Islam juga tidak mengajar umatnya untuk menzalimi diri dan orang lain," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan