KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 10, 2010

PAS janganlah dipatuk dua kali dengan menyertai Barisan Nasional - Mursyidul Am PAS

PAS memilih untuk berjuang melalui medan siasah iaitu medan yang ditutup rapat pada zaman penjajah. Itulah penjajah Inggeris di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia, Inggeris dan Perancis di Timur Tengah. Siasah PAS adalah politik-dakwah. Maka, kita bergerak sebagai parti politik dan kita berdakwah (berkempen) ketika bertanding dalam pilihan raya dan selepasnya demi mencapai cita-cita untuk mempersembahkan Islam yang sebenar kepada masyarakat.

Dalam perjuangan inilah, PAS telah melalui sejarah panjang yang dipenuhi dengan peristiwa jatuh bangun di dalam arena politik-dakwah. Kesemua pengalaman pahit manis ini merupakan khazanah PAS yang berharga di dalam mendepani cabaran pada masa akan datang.

Dalam menyertai pilihan raya, PAS pernah bersendirian meraih sokongan rakyat. Hasilnya, PAS berjaya menguasai Kelantan dan Terengganu di dalam pilihan raya umum pada tahun 1959. Sekalipun berdepan dengan parti gabungan Perikatan pada masa itu, namun kita berjaya mentadbir Kelantan dan Terengganu dengan baik. Sejarah juga mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973.

PAS pada masa itu dengan hati yang ikhlas menyambut huluran tangan perpaduan dengan harapan berlaku kebaikan berpanjangan. Rupanya Barisan Nasional adalah perangkap bagi PAS.
Kita menyertai Barisan Nasional demi perpaduan, namun kesannya amat parah kepada PAS khususnya di Kelantan, PAS sendiri telah berpecah empat – selain PAS, munculnya Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa.

PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Ia ditambah lagi dengan peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978.

Inilah sejarah jatuh bangun PAS di dalam politik negara. Saya rakamkan semula di sini bukan untuk mengungkit luka lama agar berdarah kembali, jauh sekali mahu melemparkan bara dendam untuk dimarakkan, tetapi untuk menjadi pengajaran kepada kita semua di dalam menongkah perjuangan. Ingin saya peringatkan, lembaran sejarah mencatit UMNO dan Barisan Nasional ialah rakan yang tidak setia, tangan kanan menghulur salam, tangan kiri melipat senjata.

Selepas ditendang keluar dari Barisan Nasional, PAS bersendirian, kembali dagang mengatur tapak membina kekuatan seperti dagangnya Nabi Muhammad SAW sekembalinya dari Thoif dengan kakinya yang mulia berlumuran darah sambil merayu kepada Allah SWT dengan doanya yang masyhur. Berkat kegigihan, kita bengah dengan semaraknya Kepimpinan Ulama disokong oleh penggerak tarbiyah parti yang terus.

Landasan tarbiyah turut sama mengukuhkan kepimpinan Pemuda dan Muslimat. Berkatnya Kepimpinan Ulama telah mendapat sokongan semakin ketara, sehingga mampu mengatur perancangan politik-dakwah mendepani segala cabaran.

Antaranya, persepakatan dengan Semangat 46 membolehkan PAS menguasai Kelantan semula pada tahun 1990, persefahaman dan penyertaan PAS dalam Barisan Alternatif menghadiahkan kemenangan di Terengganu pada tahun 1999 dan akhirnya melalui percaturan satu lawan satu di dalam pilihan raya umum ke-12 lalu, ian telah mencatit sejarah di mana kita berjaya menafikan majoriti dua pertiga (2/3) Barisan Nasional di parlimen.

Tiada ulasan: