MERUJUK kepada Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen Batu yang disabitkan kesalahan menyifatkan artikel itu cuba menyekat hak rakyat dan menutup pintu bersuara. Beliau hairan, mengapa isu ini menjadi perdebatan hangat. Baginya, beliau tetap wakil rakyat yang sah, akan terus berkhidmat dan menolak sebarang hipotesis. Wartawan SALMIYAH HARUN cuba menjolok minda Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua dalam isu yang sedang dihadapinya.
Kes saudara mengundang kontroversi. Ia menjadi kelam-kabut samada kosongkan kerusi atau tidak di Parlimen Batu. Seolah-olah ada "permainan" pihak tertentu untuk mewujudkan pilihan raya kecil di Batu. Apa respons saudara?
Bagi saya tidak perlu risau hal ini sebab ia bukan masalah saya. Masalah saya, apa yang saya fahami kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen Batu tidak tergugat atau terancam. Kita sepatutnya jangan terlalu fokus dalam perbahasan ini sebab kita harus faham Artikel 48 adalah satu artikel yang 'repressive' macam ISA. Katakanlah mahkamah bebaskan seseorang daripada ISA, jadi sama ada undang-undang ISA membenarkan mahkamah bebaskan itu sepatutnya kita tidak perlu bahas.
Bagaimana saudara memahami Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan?
Artikel 48 itu adalah artikel yang tidak patut wujud. Ia menekan suara wakil rakyat. Kerajaan menggunakan artikel ini sebagai alat untuk menakutkan wakil rakyat supaya mereka tidak berani untuk pergi demontrasi atau tidak berani bersuara. Ini tutup hak rakyat. Sekat kebangkitan rakyat. Bimbang rakyat berhimpun. Artikel ini digunakan. Isunya sekarang adalah saya tidak melakukan apa-apa dan saya rasa... saya berhak untuk terus berkhidmat sebagai ahli parlimen dan saya fikir rakyat tidak bimbang dengan tindakan undang-undang itu.
Apakah Artikel 48 itu perlu dipinda?
Kita bukan hendak ketepikan undang-undang, tetapi undang-undang ini tidak adil dan tidak patut kita diikat. Jika tidak kita patut ubah artikel ini supaya membolehkan ahli-ahli parlimen kita bebas bersuara dan berani melawan. Oleh kerana kita terikat dengan artikel itu, akhirnya kita tidak berani untuk turun ke padang dan tidak berani bersuara. Bimbang akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen. Baik parlimen atau kehakiman saya memang dipilih oleh rakyat, saya tidak mahu fokus sangat kepada masalah ini.
Bagaimana reaksi saudara jika keputusan selepas ini memihak kepada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu?
Kalau pilihan raya kecil betul-betul berlaku barulah saya boleh bagi kenyataan. Oleh kerana tidak berlaku saya tidak mahu fokus ke arah itu. Kita tidak mahu layan hipotesis sebab ini bukan berada di depan kita. Jadi saya tidak mahu cakap perkara itu.
Dalam isu ini apa yang dilihat adalah permainan media. Pada hakikatnya senario ini juga membimbangkan Umno-BN untuk mengadakan pilihan raya kecil. Jika BN kalah, akan jadi pukulan maut kepada mereka dan kayu ukur hadapi PRU-13 nanti. Reaksi saudara?
Saya tidak nafikan, ia adalah dilema Umno-BN. Saya bukan ahli Umno dan bukan kedudukan saya untuk memahami apa kebimbangan Umno-BN. Bagi saya jelas, dalam Pakatan Rakyat kita harus berkerja dan terus memberi khidmat kepada rakyat atas kapasiti kita sebagai wakil rakyat.
Bagaimana saudara melihat 'mood' pengundi di Parlimen Batu sekarang berdasarkan pelbagai isu yang mencengkam BN?
Bagi saya bukan sahaja 'mood' pengundi di Parlimen Batu akan berubah tetapi keseluruhannya. Rakyat keseluruhannya tidak setuju dengan dasar dan taktik mereka yang tidak adil. Baik pun Umno-BN hendak membeli ahli parlimen Pakatan Rakyat atau hendak tekan mereka supaya hilang kelayakan. Itu semua akan dimarahi rakyat. Kalau lebih banyak lagi taktik macam ini, saya agak lebih ramai pengundi yang akan sokong Pakatan Rakyat.
Jika saudara dikenakan tindakan penjara, apa langkah seterusnya?
Ini bukan kerja saya dan bukan masalah saya. Artikel 48 ini bukan dibuat oleh saya dan saya pun tidak ada kuasa. Saya tidak ada tindakan apa-apa. Saya akan tetap meneruskan kerja sebagai Ahli Parlimen Batu. Misalnya kalau orang bertanya "kalau 'u' dapat kanser apa yang 'u' akan buat? Masalahnya saya belum dapat kanser (Gelak). Saya fikir ini adalah hipotesis.
Jadi apakah ini mainan media sebenarnya?
Saya tidak menafikan, hari ini awak tanya soalan. Esok awak tanya soalan lain pula jadi jawapannya akan berubah-berubah mengikut soalannya. Daripada tidak ada isu akan timbulnya isu. Bagaimana pun saya tidak nampak kedudukan dan relevannya isu ini pada hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan