Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar tidak melihat isu sama ada status Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjadi konkrit jika semua pihak berpegang kepada keputusan yang dibuat hakim mahkamah tinggi. Jelasnya, walaupun terdapat pandangan mengatakan kes tersebut perlu dirujuk kepada perlembagaan, penghakiman yang dibuat telah memutuskan tidak ada pilihan raya kecil ekoran kes tersebut.
Tegas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, jika terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan penghakiman tersebut, perlu membuat rayuan pada yang lebih tinggi untuk membatalkan keputusan yang dibuat hakim mahkamah tinggi tersebut.
"Saya tidak faham kenapa Timbalan Speaker menyatakan Tian Chua kena masuk penjara. Hukuman itu ialah hukuman denda atau penjara dua bulan, bukan denda dan penjara dua bulan. Jika Tian Chua dikenakan denda, dia tidak patut masuk penjara. Beliau turut mempersoalkan apakah keperluan Parlimen untuk membuat satu usul bagi menentukan status Tian Chua.
"Kita dapati Parlimen tidak menghormati mahkamah sedangkan ini konsep 'separation of power'. Kita hanya boleh meminda undang-undang, bukannya membatalkan hukuman. Parlimen tidak boleh membatalkan hukuman yang dibuat mahkamah. Parlimen hanya boleh meminda undang-udang untuk membolehkan mahkamah merujuk sesuatu perkara itu berasaskan undang-undang. Saya nampak keadaan ini berlaku kerana masing-masing tidak mahu memahami situasi yang dilakukan hakim Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut," katanya sewaktu ditemui di lobi Parlimen. Beliau juga berpendapat Tian Chua tidak perlu membuat rayuan kerana bukan 'tanggung jawabnya' beliau.
"Tanggung jawab merayu di bawah Timbalan Pendakwaraya. Jika mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan hakim tidak perlu pada pilihan raya, dan berhasrat menggugurkan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen, mereka yang harus merayu," tegas Mahfuz. Keputusan hakim itu katanya cukup membuktikan Tian Chua kekal sebagai ahli parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan