Ahli Parlimen Pakatan Rakyat digesa membuat usul tergempar di Parlimen bagi membincangkan masa depan Felda yang berkemungkinan besar akan gulung tikar sebagaimana berlaku kepada Bank Bumiputera. Kedudukan tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kemerosotan RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun adalah suatu malapetaka yang berpotensi membankrapkan Felda, tegas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman.
"Felda adalah Institusi pembangunan tanah milik bumiputera yang bertujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Pendedahan yang dibuat oleh Dr Tan Kee Kwong selaku bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi yang menterinya ketika itu Tan Sri Kasitah Gadam adalah sangat serius," katanya.
Bahkan, pengakuan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Ahmad Maslan sangat memeranjatkan apabila jelas kemerosotan rezab tunai Felda lebih 60 peratus dalam tempoh lima tahun di bawah pengendalian Najib adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Apa yang menghairankan tegas Mazlan, sebagai institusi multi nasional yang membangunkan tanah terbesar dunia dengan mempunyai 43 anak syarikat dan 23,000 kakitangan kumpulan kestabilan Felda telah menjadi tanda tanya.
"Wang peneroka telah dibazirkan sesuka hati. Adakah betul untuk kepentingan rakyat atau kegiatan politik kerajaan Umno-BN kerana Felda adalah talian hayat terakhir mereka. Logiknya, beberapa tahun akan datang, sama ada Felda terpaksa membuat pinjaman baru berskala besar atau diisytiharkan bangkrup!" tambah beliau. Isu ini membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan 800,000 generasi baru Felda.
Selain mendesak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Anak telah mengambil inisiatif memimpin road show ke seluruh negara untuk mendedahkan penyelewengan dan salahguna kuasa yang diketuai oleh Najib Tun Abd Razak yang menerajui Felda sehingga kini. Antara langkah awal, adalah membuat laporan polis beramai-ramai. Pada 23 Jun baru-baru ini, 30 orang peneroka dan Generasi Kedua sekitar Temerloh bersama Mazlan membuat laporan polis di IPD Temerloh.
Pada 25 Jun pula, 12 orang aktivis peneroka dan Pakatan Rakyat telah membuat laporan serupa di IPD Kota Tinggi. Kata Mazlan lagi, oleh kerana isu ini membabitkan institusi pembangunan tanah terbesar bumiputera dan berada ditahap kritikal dijangkakan beratus-ratus laporan polis akan terus dibuat dalam jangkamasa terdekat antaranya di gugusan Keratong, Taib Andak, Serting, Jengka, Redong, Kerteh dan lain-lain.
Tambahnya, laporan beramai-ramai di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mendesak Najib dan Ahmad Maslan disiasat dan diambil tindakan segera kerana bertanggungjawab menyalahgunakan wang warga Felda. Konvoi 30 buah kenderaan termasuk sebuah bas akan dilancarkan pertengahan Julai ini selama seminggu di beberapa destinasi penempatan Felda seluruh negara untuk mengedarkan pamplet 'Najib Bankrapkan Felda'.
"Sedih, marah dan terkilan yang amat sangat terhadap pemimpin Melayu yang seperti harapkan pagar, pagar makan padi," kata Mazlan. Justeru, katanya warga Felda harus bangkit menentang penyelewengan ini, bukan sekadar membantah, cukuplah pengundi Felda selama ini menjadi talian hayat kepada BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan