Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad disifatkan sungguh angkuh dan sombong apabila bertegas akan meluluskan lesen judi bola jika beliau masih dalam kerajaan (Perdana Menteri), kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.
"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," Mahathir dipetik sebagai berkata ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya. Kata Ustaz Nasruddin, kenyataan Tun Mahathir itu cukup biadap selain bercanggah dengan Islam dan semua agama kerana judi adalah musibah dan malapetaka kepada rakyat dan negara.
Umum mengetahui Malaysia sudah telah terkenal sebagai 'Darul Kasino' pada zaman pemerintahannya bermula dari sekecil-kecil jadi seperti berlaga ayam sehinggalah judi di puncak bukit dan judi di atas kapal wujud dalam negara ini. Jelasnya, tidak hairanlah jika Mahathir begitu teruja untuk terus menyokong industri judi dan bangga dengan perluasannya di dalam negara ini.
"Lagaknya bercakap tak ubah seperti dia masih Perdana Menteri, sedangkan Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri hari ini jelas kelihatan teragak-agak untuk bercakap soal judi bila berdepan dengan penentangan dari rakyat," tegasnya kepada Harakah.
Katanya, berbeza dengan sikap Mahathir yang terus mempamerkan kejahilannya yang sukar dididik kepada umum, apabila beliau menyamakan isu judi dengan isu babi yang perlu diluluskan oleh kerajaan untuk bukan Islam dengan alasan ianya tidak haram untuk bukan Islam.
Dewan Pemuda PAS tegasnya mencabar Mahathir menjelaskan agama apa yang menghalalkan judi atau agama apa yang dianut oleh beliau? Judi telah ditentang oleh pelbagai agama dan bangsa kerana menyedari kesan buruk dari judi selain ianya turut diharamkan oleh pelbagai agama termasuk Kristian, Budha dan Hindu, jelas beliau.
Sebagai contoh, kata Ustaz Nasruddin, judi turut ditentang oleh Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen, malah mereka semuanya bergabung dalam satu wadah Gerakan Membantah Judi (GMJ).
"Semua mereka adalah Chinese dan bukan Islam. Tidak cukup lagikah pelbagai jenayah dan keruntuhan akhlak serta kepincangan sosial yang berlaku ekoran industri judi yang kian berleluasa?" soal beliau.
Sepatutnya sebagai orang tua negara, Mahathir lebih peka terhadap masa depan generasi muda dan keamanan atau kesejahteraan negara, bukannya terus mengheret rakyat khasnya generasi muda terjerumus dalam kancah perjudian yang hanya meletakkan mereka terus bergantung nasib di meja judi, tidak lagi menjadi warga negara yang berdikari dan berbakti kepada tanahair, ujarnya.
Tegas tokoh pemuda PAS itu lagi, negara masih mempunyai banyak pilihan untuk mencari dana dan meningkatkan upaya perolehan hasil negara tanpa menyuburkan industri judi yang turut membawa kesan buruk kepada pertumbuhan insan dan generasi dinamik masa depan.
Ustaz Nasruddin menyeru supaya rakyat bangkit dengan tegas dan yakin untuk mendesak kerajaan agar tidak melangsungkan usaha mereka untuk menyuburkan lagi industri judi negara . Beliau juga percaya selepas ini sukan tidak lagi menjadi riadah atau aktiviti yang bertujuan untuk menghasilkan pemikiran dan jasad yang sihat sebaliknya menjadi aktiviti yang dipertaruhkan akhirnya akan menghasilkan kesan buruk kepada masyarakat.
"Pertaruhan sering mendorong berlakunya pergaduhan. Yang menang dilihat menindas yang kalah sementara yang kalah menyimpan dendam tidak berkesudahan. Kekalahan pula membuatkan mereka terdesak lalu mereka akan terjebak dalam kancah jenayah ragut, curi, rompak dan bunuh serta bunuh diri," jelas beliau.
Perjudian adalah satu penindasan, justeru katanya hampir tiada yang berjudi menjadi kaya dengan hasil judi melainkan keuntungan besar hanya akan dikaut oleh tauke judi. Bahkan katanya, judi memerangkap penjudi menjadi hamba kepada nasib yang tidak menentu tanpa memiliki kudrat untuk bangkit berdikari mencari hasil dari sumber yang halal dengan keupayaan sendiri.
Justeru, Dewan Pemuda PAS menggesa supaya seluruh rakyat prihatin terutama generasi muda untuk turun bersama GMJ menyertai Himpunan Aman 100K pada 3 hb Julai 2010 dan berarak ke istana negara untuk menyerahkan memorandum kepada Ke bawah Duli Yang diPertuan Agong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan