KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Jun 23, 2010

Najib Tun Razak bakal bawa petaka tumbangnya BN dalam PRU-13?

PAS tidak terkejut dengan pendedahan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengatakan bahawa Pakatan Rakyat menang di Sibu kerana bijak memainkan isu terutamanya isu Kapal Selam Scorpene dan kehilangan dua enjin Jet TUDM.

Pendedahan yang dibuat ketika pertemuan dengan ahli-ahli Umno di Bagan Datoh Ahad lepas sebenarnya membongkar kelemahan Najib sendiri kerana dua isu ini berlaku ketika zaman beliau menjadi Menteri Pertahanan, tegas Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad. 

Ahli Umno dan BN kena katanya, mesti melihat fakta ini dan Najib kini menjadi beban kepada mereka. Jika Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu dijatuhkan kerana dikatakan menjadi punca kekalahan BN akibat sikapnya yang tidak tegas dan mengutamakan keluarga, kini Najib juga bakal membawa petaka yang sama kepada BN menjelang PRU-13.

Ustaz Idris berkata, Umno-BN tidak mampu menafikan dakwaan dan fakta yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat, malah kes rasuah kapal selam yang kini sedang dibicarakan di Mahkamah Perancis turut menghantui Najib. 

"Kebocoran yang berlaku kepada kapal selam itu turut memalukan sistem pertahanan negara di kalangan negara ASEAN. Malah kematian Altantunya yang dikaitkan dengan urusniaga kapal selam itu juga masih menjadi misteri dan rakyat hingga kini tidak tahu siapakah sebenarnya Sirul Azhar dan Azilah Hadri yang dijatuhkan hukum. Bagaimana wajah mereka, kenapa hendak disembunyikan?" soal beliau.

Katanya, dua enjin jet yang dicuri juga belum dipulangkan ke negara ini dan paling tidak boleh diterima rakyat, dua enjin ini hilang dari kawalan ketat pihak keselamatan negara. 

Dalam erti kata lain, keselamatan negara kini tidak lagi berada pada tahap yang sepatutnya, malah dakwaan terbaru wujudnya gerakan Jemaah Islamiyah (JI) di IPT dalam negara jelas menunjukkan ketidakseriusan Najib menjaga rakyat, tegasnya.

"Bagaimana gerakan ini masih boleh wujud? Benarkah ada gerakan ini lagi? Kenapa Polis belum mampu buat tangkapan tapi sibuk buat dakwaan dalam media?" tanyanya.

Ustaz Idris berkata, Najib turut dilihat kehilangan punca dalam mengawal pemilikan aset negara kepada pelabur asing. Tekanan ekonomi dan pasaran antarabangsa membuatkan beliau mati akal dan terdesak mewujudkan dasar-dasar yang menjual negara seperti Dasar Liberalisasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baru (MEB).

Rakyat tegasnya, tidak melihat perubahan besar kepada organisasi kerajaan dan cara kerja mereka, tetapi rakyat penat mendengar berita aset negara yang mahu digadai dengan pakej 60:40 seperti yang berlaku di Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), Tanah KTM di Singapura dan terbaru di Kg. Bharu, Kuala Lumpur.

Menurut Ustaz Idris lagi, rancangan membina rektor nuklear juga kabur dan kerajaan dilihat mahu membuat keputusan sendiri, begitu juga dengan cadangan memansuhkan peperiksaan UPSR dan PMR. 

"Langkah mahu diambil tanpa adanya pelan tindakan alternatif yang jelas. Kerajaan banyak berbincang tindakan afermatif sahaja. Kerajaan Najib juga akhir-akhir ini dilihat tidak mesra rakyat dan menolak Parlimen sebagai wakil suara rakyat. Keputusan-keputusan besar dibuat hanya dengan merujuk kepada Kabinet seperti keputusan pemberian lesen judi bola baru-baru ini," dakwa beliau.

Katanya, PAS meminta agar semua jentera parti, jentera Pakatan Rakyat semua peringkat agar terus membongkar kelemahan pentadbiran Najib, dalam masa yang sama, kedua-dua jentera ini juga tidak boleh leka dan menganggap kelemahan Najib sudah cukup untuk tumbangkan BN.

Tiada ulasan: