KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 10, 2010

Mengekang penyusupan agen-agen asing khususnya proksi zionis dari menerobos ke Malaysia

PADA pandangan saya, tempoh dua tahun mendatang sebelum menjelangnya PRU ke-13 adalah cukup kritikal, ia menuntut seluruh pencinta Islam dan pendukung kebenaran bersinergi. Sekiranya kita gagal bersinergi untuk menumbangkan golongan yang melakukan kezaliman dalam tempoh ini, tidak diketahui bilakah lagi kita akan dikurniakan oleh Allah kesempatan yang sebaik ini untuk melakukan perubahan tersebut, jelas Ustaz Nasruddin ketika menyampaikan ucap dasar sekejap tadi.

Mereka yang melakukan kezaliman itu pula semakin tidak mengendahkan kepentingan negara dan rakyat, sebaliknya terus rakus mengaut kekayaan dari khazanah negara. Oleh kerana itu, seluruh rakyat yang sedar tentang situasi ini sepatutnya berganding bahu untuk menyelamatkan negara dari golongan yang zalim dan rakus.

Salah satu daripada agenda menyelamatkan negara yang seharusnya didukung bersama, ialah mengekang penyusupan agen-agen asing khususnya proksi zionis dari menerobos masuk ke negara ini. Kesemua kita memperakui, aspek keselamatan negara adalah sangat penting dan merupakan satu perkara yang sentiasa malah sentiasa mendapat perhatian pihak Dewan Pemuda PAS.

Keselamatan negara yang lemah dan lolos akan mengundang berbagai ancaman dan serangan, bukan sahaja yang bersifat fizikal tetapi juga ancaman dan serangan yang bersifat psikologi, ideologi dan ekonomi. Lihat sahaja bagaimana sebuah negara yang gagah seperti USSR suatu ketika dahulu, ranap apabila serangan dalam bentuk ideologi dan ekonomi dilancarkan oleh blok pro-demokrasi tajaan Amerika dan Eropah Barat.

Bagi kami Dewan Pemuda PAS, berita mengenai kerajaan Malaysia yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat APCO Worldwide sebagai perunding komunikasi bagi membersihkan imej negara di peringkat antarabangsa sangatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.

Dewan Pemuda PAS tidak boleh bertolak ansur dengan perlantikan firma asing semata-mata untuk membersihkan imej kepimpinan negara yang tercalar di peringkat antarabangsa, betapa pula syarikat APCO yang dilantik sangat diragukan kredibilitinya kerana mempunyai hubungan rapat dengan rejim Zionis Israel.

Dewan Pemuda PAS menyelar tindakan kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian ini ketika kekejaman rejim Israel dan penderitaan di Palestin terutamanya Gazza masih tiada kesudahan seperti yang diperakui oleh semua pihak. Serangan darat dan udara oleh rejim Isreal tanpa henti ke atas ummat Islam Palestine bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda, tetapi kehilangan ribuan nyawa yang tidak berdosa tanpa mengenal usia dan jantina.

Terbaru dunia dikejutkan oleh serangan kejam tentera udara Israel ke atas Armada Freedom Flotilla yang sarat dengan bantuan makanan dan ubat – ubatan . Bagaimana para pencinta Islam dan pendukung keadilan boleh berasa tenang dan sabar dengan kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh rejim ini sedangkan kita selalu diperingatkan dengan ayat Allah swt: "Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh). - Surah an-Nisa’. Ayat : 75

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat mohon kepada sidang muktamar DPPP kali ke 51 ini untuk merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan penghormatan kepada semua wira negara dalam misi kemanusiaan ke Gazza, khasnya buat sdr Jamuliddin Elias dari Yayasan Amal Malaysia dan beliau juga adalah mantan EXCO DPP Pusat.

Mengapa kita tidak belajar dengan sejarah titik mula penjajahan negara kita oleh British, Belanda dan Portugis? Bukankah semuanya ini bermula dengan kelalaian dalam membuat perjanjian sehingga mendedahkan pertahanan kita untuk dilolosi oleh musuh? Apakah jaminan kerajaan yang diterajui oleh UMNO dan BN bahawa penglibatan APCO Worldwide tidak akan menyumbang kepada anasir neo-kolonialisme?

Malaysia sebagai sebuah negara yang menganggotai OIC, kerap kali menyuarakan kecaman terhadap kekejaman rejim zionis Israel. Oleh sebab itu, bagaimana mungkin Malaysia boleh membenarkan sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan rejim zionis Israel untuk menguruskan perkara strategik negara?

Dewan Pemuda PAS amat kesal dengan sikap bermuka-muka dan hipokrit yang dipamerkan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO/BN berhubung dengan perkara ini. Maka dengan ini Dewan Pemuda PAS mendesak agar perjanjian antara kerajaan Malaysia dan syarikat APCO Worlwide ini ditamatkan dengan serta-merta, atau kami akan menggerakkan rakyat untuk sekali lagi turun beramai-ramai menyatakan bantahan terhadap pengkhianatan ini.

Tiada ulasan: