KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 10, 2010

Pemuda PAS akan cetak pemuda-pemuda yang berkualiti tinggi dan memiliki skill dakwah yang hebat

EPISOD perjuangan yang sedang direntas oleh Dewan Pemuda PAS pada hari ini sangat berbeda. Kita bersama memimpin tangan dalam pemuafakatan Pakatan Rakyat, kita giat memposisikan peranan untuk membantu masyarakat dengan ruang dan peluang yang lebih besar diperingkat negeri dan persekutuan, kita juga tegas menangkis angkara fitnah dan tohmahan dalam dunia langit yang lebih terbuka tanpa sempadan. Kita juga santun menghormati saudara-saudara bukan Islam dalam institusi parti yang semakin berkembang.

Demi untuk melangsungkan perjuangan itu, PAS telah mengambil langkah bijak [hikmah] dalam berpolitik sesuai dengan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi. Sepanjang lima dasawarsa itu, PAS telah menghadapi jerih-perih, pahit-getir dan jatuh-bangun dalam melangsungkan perjuangan, sehingga PAS kini boleh “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan parti-parti yang menerajui negara semenjak merdeka. Dengan pengertian lain PAS semakin bersedia untuk berkongsi masa depan bersama rakyat Malaysia. Insyaallah.

Para Pemuda PAS telah memainkan peranan besar dalam menunjangi perjuangan ini dengan usaha gigih yang tidak pernah kenal lelah dan bosan demi memahamkan golongan muda tentang hala tuju perjuangan PAS. Tiada siapa yang boleh menyangkal bahawa golongan muda lebih mudah untuk menerima dakwah kita , seterusnya berkongsi cita-cita untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih sejahtera , adil dan saksama.

Dewan Pemuda PAS bertekad untuk meneruskan usaha memberi kefahaman tersebut dengan pendekatan yang dianjurkan oleh Rasulullah saw. sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Ash`ari rha: Berikanlah khabar gembira, janganlah menyebabkan mereka lari dan permudahkan olehmu, jangan kamu menyusahkan. - [Riwayat Muslim]

Menyedari betapa pentingnya pendekatan yang dianjurkan oleh baginda s.a.w ini, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Tarbiyah, Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam serta Akademi Kepimpinan Pemuda [AKP] akan meneruskan usaha mencetak pemuda-pemuda yang berkualiti tinggi dan memiliki skill dakwah yang hebat untuk mendekati masyarakat lantas memahamkan halatuju perjuangan PAS kepada mereka .

Selepas Tsunami Besar Pilihanraya Umum pada Mac 2008 sehingga Tsunami Kecil pada Pilihanraya Kecil Sibu bulan Mei baru-baru ini, sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat [PR] termasuklah PAS kelihatan tidak surut. Secara khususnya, PAS sendiri melalui satu pengalaman yang menakjubkan apabila ramai kaum bukan Melayu khususnya dari kalangan kaum Cina dan India menjadi sukarelawan menyampaikan mesej perjuangan PAS.

Fenomena ini lebih ketara ketika PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam beberapa pilihanraya kecil seperti di Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, DUN Permatang Pasir, DUN Manek Urai dan DUN Bagan Pinang. Dewan Pemuda PAS yakin fenomena ini bukan sementara, tetapi disebabkan mereka kian memahami halatuju perjuangan PAS.

Dewan Pemuda PAS melihat fenomena ini sebagai kejayaan awal PAS dalam melaksanakan Da`wah . Mawdu` [bahan] kepada dakwah kategori ini ialah kesejahteraan sistem politik Islam dan keadilan serta kesaksamaan yang dijamin oleh sistem tersebut kepada seluruh kehidupan.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi, termasuk dalam rahmat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w ialah dalam perkara dunia selain daripada rahmat dalam perkara al-Din. Maka dengan rahmat yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w kepada seluruh alam, PAS berjuang untuk mewujudkan negara Malaysia yang sejahtera, adil dan saksama untuk semua.

Dewan Pemuda PAS melihat masyarakat bukan Melayu khususnya golongan muda semakin celik daripada hasutan BN yang menakut-nakutkan mereka dengan perjuangan PAS. Sebaliknya situasi mutakhir ini menunjukkan UMNO dan proksinya yang bertindak secara melampau, membakar sentimen keagamaan termasuk menghina penganut agama lain.

PAS telah memperlihatkan kematangannya, dengan berusaha membuka lebih luas ruang dialog dalam menghadapi provokasi yang menggugat keharmonian rakyat. Sehubungan dengan itu , Dewan Pemuda PAS begitu serius untuk menyahut seruan Majlis Syura Ulama’ dan YB Datuk Seri Tuan Guru Presiden supaya ruang dialog antara agama dan peradaban ini dibuka dengan lebih luas.

Langkah ini menganjakkan paradigma dakwah yang dipelopori oleh PAS kepada dakwah tahap ketiga iaitu: "…dan berdialoglah dengan mereka dengan cara yang terlebih baik…" - Surah al-Nahl . Ayat : 125

Tiada ulasan: