SULEIMAN Mohamed (Datuk Seri Dr.)mungkin bukan nama besar dalam politik Umno. Pencapaiannya dalam kerajaan, hanya setakat menjadi Timbalan Menteri selama 18 tahun di Jabatan Perdana Menteri, dan di Kementerian Kesihatan.
Tidak dapat dipastikan, apakah dia pernah dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan tetapi lama juga dia duduk sebagai Timbalan Pengerusi iaitu ketika Tun Ghafar Baba dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib menjadi pengerusi.
Awal Jun, tiba-tiba tersebar surat perletakan jawatan Suleiman sebagai Ketua Umno Bahagian Titiwangsa yang kemudiannya disambut dengan rasa gembira sebaahgian besar pemimpin Umno, termasuk Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein yang menyanjung tindakan Suleiman itu.
Khabarnya, ada usaha beberapa AJK Umno bahagian mahu mengadakan mesyuarat khas bagi memujuk Suleiman supaya tidak meneruskan hasratnya itu tetapi khabarnya pucuk pimpinan Umno tidak merestuinya menyebabkan AJK yang selama ini hidup di bawah ‘biasiswa’ Suleiman menghentikan angan-angan tersebut.
Politik Umno Titiwangsa sebenarnya cukup berwarna-warni. Hubungan Suleiman dikatakan cukup rapat dengan Datuk Seri Zulhasnan Rafique, bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.
Suleiman disisihkan pucuk pimpinan BN dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 yang lalu, kononnya kerana mahu memberi nafas baru kepada politik Titiwangsa dengan meletakkan seorang AJK Umno Bahagian, Dato' Aziz Jamaluddin sebagai calon mewakili BN.
Namun, BN kalah di tangan Dr. Lo’ Lo’ Dato' Mohd Ghazali (PAS) yang menyebabkan beberapa pihak mendakwa Suleiman tidak bekerja kuat untuk menjamin kemenangan BN di Parlimen Titiwangsa. Sejarah membuktikan, Umno Titiwangsa sebenarnya tidak pernah sepi dari ribut apabila pengaruh Allahyarham Idris Ibrahim dan Allahyarham Idris Basri menyebabkan Suleiman muncul.
Walaupun Suleiman berkali-kali cuba dikalahkan di Titiwangsa, tetapi nyata pengaruhnya cukup kuat. Kata satu sumber yang rapat dengan Umno bahagian, selagi Suleiman mahu menjadi ketua bahagian di sini, tiada siapa yang mampu mengalahkannya.
Dari kenyataan yang dibuat, Suleiman khabarnya merestui timbalannya, Johari Abdul Ghani mengantikannya. Johari bukanlah calon pilihan Suleiman ketika berlaku pertandingan merebut jawatan timbalan ketua bahagian beberapa tahun lalu, namun, apabila perwakilan memilih Johari, Suleiman dikatakan cukup terluka dengan keputusan tersebut.
Tidak pula dapat dipastikan apakah Suleiman melepaskan jawatan ketua bahagian kerana mahu mengambil tanggungjawab kekalahan calon BN di Titiwangsa. Tetapi tiada siapa yang dapat mengesahkan apakah hubungan Suleiman dengan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan sekarang, Dato' Raja Nok Chik Raja Zainal Abidin baik atau tidak.
Dalam masa yang sama, ramai menjangkakan Suleiman tidak mahu terlibat dengan PRU-13 ketika dia masih memegang jawatan ketua bahagian kerana dia sendiri tidak yakin akan diterima semula menjadi calon atau pun tidak, mewakili BN.
Sulaimen yang pernah beberapa penggal menjadi Ahli MT Umno tentunya mempunyai sebab sendiri mengapa dia kena meninggalkan kepimpinan Umno ketika ini, kerana sebagai seorang yang cukup berpengalaman, tentulah dia mengetahui sedikit sebanyak peluang BN untuk menang di beberapa kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, BN menang di Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Segambut, Batu, Titiwangsa dan Lembah Pantai. Malangnya, dalam PRU-12, BN bukan sahaja terlepas semua kerusi tradisi tersebut, malahan, terus kalah teruk di Seputih, Cheras, Bukit Bintang dan Kepong.
Suleiman juga dikatakan pernah dikecewakan oleh Tengku Dato' Adnan Tengku Mansor ketika Tengku Adnan menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, beberapa cadangan Suleiman untuk penambahan kerusi Parlimen, tidak diterima pakai.
Hari ini, Umno tidak punya sesiapa lagi di Wilayah Persekutuan yang berpengalaman seperti Suleiman. Lama dalam kerajaan dan lama dalam Umno. Jika Riduan Hamid lama sebagai Ketua Umno Bahagian Kepong tetapi Riduan tidak pernah menjadi Ahli MT dan tidak pernah menjadi Timbalan Menteri.
Suleiman mungkin berundur kerana benar-benar mahu memberi ruang kepada pelapis baru untuk ditonjolkan tetapi tidak mustahil juga Suleiman meninggalkan kerusi ketua bahagian kerana dia seperti tidak diperdulikan lagi oleh kepimpinan Umno sekarang.
Daripada terus menjadi ‘daun kari’ yang hanya diperlukan ketika menumis, tetapi diketepikan ketika dihidangkan, Suleiman dilihat membuat keputusan yang cukup bijak, sekaligus dapat menyindir kepimpinan sekarang – teruskanlah langkah tanpa perlu bantuan orang-orang lama.
Politik Umno, yang kalah kadang-kadang diberikan tempat seperti mana Dato' Seri Dr. Ibrahim Saad. Walaupun kalah sebagai calon BN di tangan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail di Permatang Pauh dalam tahun 1999, hari ini dia sudah dilantik menjadi Duta ke Filipina.
Begitu juga dengan Raja Nong Chik, walaupun tidak pernah bertanding pilihan raya, dia kini dilantik menjadi Senator dan dilantik menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Calon BN yang kalah di Parlimen Titiwangsa, Aziz Jamaluddin kini dilantik menjadi Pengerusi YADIM. Tetapi Suleiman yang tidak pernah kalah, masih ketua bahagian hingga 31 Mei 2010 yang lalu tidak diberikan tempat – walaupun BN mempunyai banyak tempat yang layak untuk Suleiman ditawarkan.
Sebagai ketua bahagian, Suleiman tentunya tidak tertanggung beban membiayai perjalanan aktiviti Umno bahagian, membayar gaji pekerja dan soal-soal kebajikan, tetapi Presiden Umno barangkali merasakan, Suleiman bukan dari ‘kumpulannya’ yang perlu diberikan perhatian!
Sepatutnya, lebih ramai lagi ketua bahagian yang berperwatakan seperti Suleiman. Berani meninggalkan perjuangan yang sia-sia kerana ‘habis madu sepah dibuang’ memang sudah menjadi amalan Umno sejak sekian lama. Sama-sama kita lihat, apakah selepas ini Suleiman akan mengikut jejak beberapa orang bekas menteri, seperti Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng, menyertai PKR kerana menganggotai Umno atau MCA dalam BN, tiada apa yang boleh disuarakan.
Untuk catatan, Suleiman pernah menganggotai Exco Pergerakan Pemuda Umno ketika Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi ketuanya. Tamrin Tun Ghafar juga adalah rakan seangkatan Suleiman dalam Pemuda, selain Mazlan Datuk Harun. Pendirian Tamrin sudah jelas, berani berada di pentas pembangkang dan bersedia menerima hukuman dari Umno.
Namun sehingga hari ini, Umno khabarnya tidak berani bertindak ke atas Tamrin kerana Umno sudah kehilangan ramai ahli, walaupun tanpa memecatnya. - Safar Jumaat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan