KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Jun 19, 2010

Mengambil jenazah Ustaz Hassan Shukri di Hospital Selayang petang Isnin, 14 Jun 2010


Bersama Haji Subky, Ishak Surin, Kak Naznah bergegas ke Hospital Selayang dan terus menuntut janazah dan dibawa pulang kira-kira jam 3.40 petang. 

BEKAS Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi. Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Ustaz Hassan telah berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun lagi kerana menyertai mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang hari tersebut. Pada malamnya beliau menyertai majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik dan pada hari Khamis beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Menurut Puan Naznah Taha, isteri Haji Subky, Ustaz Hassan telah membawa kereta yang dinaiki mereka bertiga dari Kuala Krai namun berhenti di Kuala Lipis kerana mengadu sakit dada. Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.

Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan Bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli. Selain mereka, Haji Subky bersama isteri Kak Naznah, YDP PAS Batu Ishak Surin dan Editor Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam.

Naznah yang merupakan rakan rapat keluarga Ustaz Hassan ketika bercerita kepada Harakahdaily berkata, buat pertama kalinya beliau dan isteri Ustaz Hassan, Puan Hamidah tidak mengiringi bersama suami masing-masing ke muktamar.

“Kali ini, Kak Midah berbolak-balik antara hendak pergi atau tidak ke muktamar kerana ada kenduri dekat sini. Hasilnya dia tidak pergi dan saya hanya pergi ke muktamar Dewan Muslimat dan terus pulang,” cerita Naznah.

Sebelum Timbalan Presiden, Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum ke-10 lalu.

Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Semasa menggulung perbahasan ucapan dasar, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid Yusof menyebut Ustaz Hassan adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP).

Ini kerana, Ustaz Hassan adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan. Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah antara pemimpin parti yang awal menziarahi allahyarham di kediamannya di Taman Melewar.

Turut menziarah ialah Datuk Kamaruddin Jaffar, Mohd Hanipa Maiden, Khalid Samad serta Datuk Nakhaie Ahmad. Allahyarham juga pernah terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah sebelum ini.