KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 28, 2010

Pilihan raya Kecil Batu: Terpulang kepada SPR dan speaker putuskan - Majlis Peguam

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan berkata isu Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu dibangkitkan ekoran tafsiran terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang dikenakan denda tidak lebih daripada RM2,000 yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

"Walaupun jelas terdapat kemungkinan hukuman denda RM2,000 itu dilaksanakan tetapi isu penterjemahan denda yang tidak lebih dari RM2,000 itu terpulang kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Speaker Dewan Rakyat bagi memutuskannya," katanya. Tegasnya, isu pilihan raya kecil hanya akan relevan selepas mahkamah dan Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan.

"Jika tidak, maka tiada sebarang pilihan raya perlu diadakan. Kita kena tunggu keputusan rayuan beliau (Tian Chua) di Mahkamah Rayuan kelak," ujarnya.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat akan memberi kata putus bagi menentukan sama ada Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang didenda mahkamah RM2,000 akan dilucutkan jawatannya, kata Timbalan Speaker Dato' Dr Wan Junaidi Jaafar. Ini sekaligus bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz sebelum ini yang mengatakan Parlimen tidak ada kuasa untuk menentukannya.

Wan Junaidi berkata Pejabat Speaker kini sedang menunggu surat daripada Peguam Negara dan notis penghakiman rasmi dari Mahkamah Tinggi sebelum ia boleh meneruskan untuk pertimbangkan perkara itu.

"Kita perlu mengkaji pelbagai perkara, termasuk hujahan hakim semasa keputusan penghakiman. Apabila kita terima notis rasmi penghakiman, kita akan meneliti perkara tersebut…kemungkinan termasuk berbincang dengan peguam dan Peguam Negara sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata perkara itu kemudiannya akan dibawa ke Pejabat Speaker untuk memutuskan sama ada kerusi Parlimen Batu perlu dibawa ke dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Persoalan kini timbul membabitkan tafsiran Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan berhubung pembatalan kelayakan seseorang ahli Parlimen.

Selain itu, wujud juga gesaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pilihan raya kecil diadakan, namun SPR memutuskan untuk menunggu surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat. Namun Wan Junaidi menegaskan bahawa Parlimen perlu menunggu 'kenyataan rasmi daripada mahkamah' sebelum memutuskannya untuk tindakan lanjut.

"Kenyataan saya bukan untuk menentukan sama ada Tian Chua digugurkan kelayakannya atau tidak, tapi penghakiman rasmi perlu dikemukakan ke Parlimen dan Parlimen perlu dimaklumkan sama ada seseorang itu digugurkan kelayakannya mengikut Perlembagaan. Parlimen juga dialu-alukan jika mahu berbahas mengenainya," katanya.

Tiada ulasan: