KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Jun 29, 2010

Belakang tabir: Team IT PAS Pusat nadi utama siaran Muktamar Tahunan PAS ke-56


Setiap kali munculnya program besar atau peristiwa penting seperti pilihan raya kecil/umum atau Muktamar Tahunan PAS, pasukan sokongan bersifat fasiliti atau service provider seperti Team IT akan turun padang bagi mengendalikannya. Biarpun hanya segelintir yang mengetahui individu yang menjadi tenaga kerja serta operasi yang dijalankan di belakang tabir, namun kerja mereka tetap diteruskan tanpa mengenal erti penat-lelah, termasuklah pada setiap kali Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di mana-mana jua.

Pada Muktamar PAS ke-56 yang berlangsung daripada 9 hingga 13 Jun, bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah PAS Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan; Team IT yang terdiri dari kalangan profesional turut sama menyumbangkan masa dan tenaga serta kepakaran mereka bagi mempastikan medium utama seperti laman web Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang boleh dilayari di http://muktamar56.pas.org.my terus diisi dengan pelbagai info berkaitan kepada pengunjung web yang tidak berkelapanagn hadir mengikuti acara tahunan PAS itu secara dekat.

Bermula dari 9 Jun, kesemua petugas atau Team IT bersiap sedia dengan segala keperluan bagi melicinkan perjalanan majlis perasmian muktamar  bagi ketiga-tiga sayap kanan PAS iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang dibuat secara serentak di Putik buat pertama kalinya. Penyediaan montaj, tayangan video dan slaid, gimik perasmian yang menggunakan teknologi maklumat yang diselaraskan dengan bahagian kawalan audio-visual menjadi fokus utama sepanjang majlis.

Kelantan yang sudah berpengalaman menjadi tuan rumah pada program seumpama muktamar ini, menggalas tugas dan amanah bagi mempastikan kesemua acara berjalan berdasarkan perancangan. Dua tahun lalu, Putik yang merupakan lokasi utama muktamar, selain muktamar dewan-dewan, khidmat tenaga Team IT sangat diperlukan bagi melaporkan perkembangan terkini dalam laman web rasmi muktamar.

Selain ucapan penuh perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am PAS, teks ucaptama ketua-ketua dewan turut disiarkan. Malah teks penuh Ucapan Presiden juga dipaparkan sepenuhnya untuk tatapan pengunjung selain pelbagai berita berkaitan. 

Team IT juga turut menyiarkan perjalanan muktamar penuh dan dewan-dewan secara live atau rakaman, serta menyiar ceramah perdana sempena muktamar untuk tatapan ahli dan pelayar di laman sesawang yang disediakan. Bagi melaksanakan tugas sebagai stesen penyiar rasmi sempena Muktamar Tahunan PAS tersebut, Team IT mempunyai tenaga pakar yang berpengalaman dalam tugas-tugas penyiaran dan pengurusan laman web.

Begitu juga dengan kandungan informasi yang disiarkan mendapat kelulusan daripada kepimpinan PAS, malah sepanjang bertugas di bilik operasi Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut meluangkan masa meninjau perjalanan operasi yang dilakukan. Pada masa yang sama, beberapa program secara rakaman seperti wawancara dengan pimpinan utama PAS, tetamu asing serta forum turut dilangsungkan oleh Unit WebTV PAS bagi mempastikan maklumat disampaikan secara berkesan dengan penjelasan yang lengkap.

Manakala rakaman berbentuk dokumentari dan tinjauan dilakukan bagi merancakkan lagi kemeriahan muktamar sempena pameran di perkarangan Putik. Kesemua bahan disiapkan segera, kerana mesti disiar terbit secepat kilat untuk tatapan, berbanding media cetak yang lain. 

Dengan laman web yang disediakan, Team IT melaporkan berita, menyiarkan acara secara langsung dan rakaman tertunda melalui webtv. Pendek kata sepanjang muktamar, team ini tidak menang tangan untuk menjayakan pelbagai pengisian kepada pengunjung web. Dalam situasi tiada sebarang program, Team IT ini berperanan membantu pembangunan dan pengemaskinian laman web rasmi parti di alamat laman web www.parti-pas.org. 

Lajnah IT PAS Pusat diketuai oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan memberi tanggungjawab utama kepada Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, Suhaimi Embong. - Intan Abdullah

Tiada ulasan: