PBB dan OIC hanya layak menjadi pertubuhan orang kurang upaya kerana 'kelembapan' bertindak dalam menangani isu serangan Israel terhadap misi bantuan kemanusian kepada penduduk Gaza. Itu antara yang disifatkan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar tentang sikap yang ditunjukkan pertubuhan yang berpengaruh di dunia itu. wartawan Harakah, NYZA AYOB mempunyai butirannya.
Bagaimana Dato' melihat peranan PBB dan OIC dalam menangani serangan Israel yang menyalahi undang-undang antarabangsa?
DATO' MAHFUZ OMAR: Saya menganggap PBB dan OIC ini menjadi pertubuhan Orang Kurang Upaya (OKU). Malah lebih teruk daripada OKU itu sendiri. Sebab pertubuhan OKU hari ini dapat mencungkil bakat-bakat seperti dalam bidang sukan. Maknanya orang tidak ada kaki boleh main bola, tetapi PBB dan OIC ini lebih teruk daripada orang kurang upaya. Saya anggap mereka bukan hanya orang kurang upaya tetapi sudah koma dan hanya menunggu masa untuk menghembuskan nafas terakhir. Saya amat kecewa kedua-dua pertubuhan ini menjadi pak turut kepada Israel dan Amerika. Oleh sebab itu, saya juga melihat negara-negara anggota pertubuhan ini sudah hilang kejantanannya. Mereka inilah yang sepatutnya dimasukkan ke penjara Israel. Jika Israel inginkan tebusan, saya rasa pemimpin-pemimpin OIC dan PBB ini elok dihantar menjadi tebusan kerana mereka imenjadi beban kepada keamanan dan keselamatan dunia. Lebih baik mereka ini berada dalam penjara Israel.
Mengapa PBB, OIC lambat bertindak dalam isu ini?
Kelambatan dan 'kelembapan' PBB, OIC dan NATO kerana mereka dikuasai kepentingan politik Israel. Ini bermakna gerakan zionis antarabangsa yang telah menutup mulut dan mengikat kaki tangan mereka daripada bertindak. Jadi mereka sudah menjadi alat kepada Israel dan Amerika.
Mengapa Israel beriya-iya menghalang misi kemanusiaan yang dilakukan masyarakat dunia?
Saya lihat Israel yang melakukan sekatan terhadap masyarakat Gaza mahu melihat masyarakat Gaza terus ditindas. Mereka mahu penduduk Gaza sengsara dan mahu melihat kemusnahanan Gaza. Misi kemanusian Gaza yang ingin membebaskan Gaza daripada cengkaman Israel bagi memastikan kelangsungan hidup masyarakat Gaza ini dianggap Israel bertentangan dengan apa yang ingin dilakukan mereka. Mereka ingin memusnahkan Gaza dengan cara begini.
Apakah sikap PAS dalam isu ini?
PAS sebagai sebuah parti yang tidak menguasai kerajaan yang mempunyai kekuatan dasar luar, kita berperanan memberikan tuntutan kita terhadap anggota-anggota OIC dan PBB. Ini termasuk Malaysia. Kita mendesak Malaysia supaya menjadi sebuah kerajaan dan Perdana Menteri bertindak sebagai seorang Perdana Menteri dan bukan sebagai 'penghulu kampung pening lalat'. Jika sebagai 'penghulu kampung pening lalat', beliau tidak mempunyai sebarang kekuatan. Saya nampak ini yang menjadi masalah kerana kerajaan tidak boleh bertindak sebagai kerajaan. Perdana Menteri dan Presiden negara-negara seluruh negara tidak bertindak sebagai Perdana Menteri dan Presiden dalam isu ini. Perkara ini amat memalukan kerana mereka mempunyai kuasa tetapi tidak bertindak sebagai orang yang mempunyai kuasa. Acap kali apa sahaja dilakukan Israel, tindak balas kita hanya mengecam sahaja dan tidak ada tindakan lain. Kita mengatakan menghormati undang-undang antarabangsa tetapi Israel tidak pernah menghormati undang-undang antarabangsa. Mavi Marmara ini berada di perairan antarabangsa dan bukan perairan Israel.
Tapi inilah masanya kita 'wake up call'...
Ya! Inilah masa untuk dijadikan 'wake up call' oleh pemimpin-pemimpin dan kerajaan dunia termasuk Kerajaan Malaysia. Ini merupakan 'wake up call' untuk kita bangkit untuk kesejahteraan dan keselamatan dunia. Kita seharusnya memberi tekanan ke atas Israel. Jika ada yang mengatakan kenyataan saya ini keras, jika Israel gunakan tentera, kita hendak gunakan apa? Takkan kita masih hendak menggunakan kertas yang berbentuk memorandum. Kemana arah kita sekarang? Jika PBB tidak boleh bertindak dan tidak boleh membuat resolusi penyerahan tentera, saya rasa semua anggota PBB boleh keluar daripada pertubuhan ini.
Bagaimana Dato' melihat kepentingan misi kemanusian ini terhadap penduduk Gaza dan politik Timur Tengah?
Seharusnya masyarakat Timur Tengah membuka mata daripada misi kemanusiaan ini. Mereka harus melihat ianya sebagai peranan yang harus dimainkan Mesir. Saya juga menghormati sukarelawan seluruh dunia yang menyertai misi kemanusiaan ini. Mereka telah berjaya membuka mata dunia. Apa lagi yang hendak di tunggu pemimpin peringkat dunia. Israel telah menggunakan tentera untuk menyekat misi kemanusiaan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan