Jumlah Paparan Halaman

Selasa, Jun 29, 2010

Tuduh Tuan Guru Abdul Hadi Awang pengganas dan Wahabi: Desak Najib mohon maaf kepada Presiden PAS


Dewan Ulama PAS Pusat mendesak kerajaan Umno-BN pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memohon maaf secara terbuka kerana melempar tuduhan dan cuba menanam persepsi buruk kepada rakyat kononnya Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai individu yang mempunyai hubungan dengan pengganas dan seorang Wahabi. Tegas Naib Ketuanya, Dato' Dr. Mahfodz Mohamad kepada Harakah, kerajaan harus bertanggunjawab dan mengemukakan bukti sebelum melemparkan tuduhan jahat tersebut.

"Kita minta kerajaan mengemukakan bukti sebelum mengaitkan seseorang dengan aliran Wahabi atau apa jua fahaman. Ia satu tindakan yang tidak wajar apatah lagi mengaitkan seorang pemimpin dengan pengganas," tegasnya.

Dakwa Dr. Mahfodz, mengaitkan Presiden PAS dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang.  Ia hanyalah sikap manusia yang 'desperate' serta dengki terhadap populariti beliau, bahkan orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.

"Presiden PAS adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980an lagi. Daripada menjadi Naib Yang Di Pertua, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002. Dia juga Ahli Parlimen dan seorang Adun. Mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara. Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media," tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

Katanya, pengganas tidak bersifat demikian, sebaliknya pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak kerana beliau takut dirinya ditangkap.  Jelasnya, segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan. Ambillah contoh beberapa figur yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya. Sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi Presiden PAS.

"Kalau Tuan Guru Presiden PAS seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru hara. Sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan sepertimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand berlaku. Pengikut PAS dan penyokong YB Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS ada di mana-mana di Malaysia ini. 

"Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau. Populariti beliau lebih daripada YAB Perdana Menteri sendiri. Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri. Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat," terangnya.

Ustaz Nasruddin bertanya, apakah kerana ketegasan Presiden PAS itu terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, Selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas?  Sedangkan tegasnya, itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen. Sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi.

Beliau menakankan, keganasan bukan cara PAS mendapatkan kuasa. Sejak tahun 1951, PAS telah menyertai pilihan raya. Kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS. Tidak pernah PAS mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pula membidas tuduhan liar itu sebagai tidak masuk akal, berniat jahat dan mahu menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan PAS.

Ustaz Nuridah Mohd Salleh ketika dihubungi mendakwa penglibatan JI dan penyebaran propaganda hitam Unit Polis Indonesia Detachment 88 yang diwujudkan dan dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia adalah usaha terdesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak. Tindakan ini ditafsirkan sebagai usaha terdesak Najib untuk meyakinkan Presiden Obama bahawa Malaysia adalah sekutunya dalam isu pengganas tersebut.

Tegas beliau, usaha jahat yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN itu sebenarnya telah memudahkan APCO serta anasir Zionis Yahudi menjalankan jarum khianatnya terhadap rakyat dan umat Islam di negara ini. Dewan Muslimat tegasnya, mohon rakyat bertenang dan jangan membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw, melihat taktik jahat ini untuk menakut-nakutkan bukan Islam/Melayu yang kini semakin ramai menerima PAS sehingga berjaya menubuhkan Dewan, sekaligus mengurangkan sokongan kaum tersebut terhadap BN.

"Ini satu percubaan yang tidak masuk akal. BN terdesak melakukannya kerana orang bukan Islam sudah tidak menerima BN. MIC tidak diterima, MCA tidak diterima.  Begitu juga PPP dan sebagainya," dakwa beliau ketika dihubungi.

Pang Chaw yang pernah menjadi setiausaha akhbar bagi akhbar Cina kepada Ustaz Abdul Hadi berkata, Presiden PAS itu merupakan seorang ulama yang alim dan seorang pemimpin yang tidak suka bercakap berputar-belit. Pang Chaw berkata, pengalaman bersama Ustaz Abdul Hadi membuktikan Ahli Parlimen Marang itu seorang pemimpin yang 'humble', selain amanah dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu dan PAS memandang serius dakwaan ini.

Tegasnya, Menurut Malaysiakini, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin membuat dakwaan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis sekarang Dr. Juanda Jaya dan mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim adalah pengganas dalam taklimatnya.

PAS katanya, mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah pengganas.

0 ulasan: