Mungkin sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan daftar pemilih ke atas rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan undang-undang saran, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Maidin. Cara tersebut katanya, tidak pelik lagi kerana sesetengah negara telah mewajibkan pendaftaran pengundi rakyat mereka.
"Mungkin sampai masanya kerajaan kena pinda undang-undang mewajibkan pendaftaran mengundi ataupun melaksanakan pendaftaran terus menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Satu lagi SPR boleh menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi merekodkan nama mereka apabila mencapai umur 21 tahun," katanya mengulas satu kajian yang mendapati nisbah 1 Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40) yang mendaftar sebagai pengundi baru.
Akhbar Berita Harian Isnin lalu, melaporkan Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno mendapati nisbah orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga bulan ini, satu Melayu dan 40 bukan Melayu.
Menurut Hanipa, SPR juga mesti ada satu mekanisme mewajibkan mereka mendaftar dan sekiranya rakyat tidak diwajibkan mereka tidak ada rasa tanggungjawab sebaliknya bertindak sambil lewa. Beliau mendakwa, ini mungkin akibat daripada parti-aparti politik yang tidak aktif mendidik rakyat selain SPR sendiri yang tidak agresif menggalakkan rakyat mendaftar.
Mengulas lanjut katanya, orang Melayu kurang mendaftar berbanding orang Cina kerana kesedaran politik orang Melayu tidak tinggi. Sepatutnya orang Melayu Islam mempunyai kesedaran politik kerana dunia politik melibatkan pemerintahan negara dan juga masa depan agama bangsa dan negara, ujar Hanipa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan