KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Jun 23, 2010

Bagi mengiyakan judi bola, Tun Mahathir pula dakwa orang Cina suka berjudi


PAS kesal dengan komentar Tun Mahathir Mohamad berhubung dengan isu judi yang dihalalkan oleh Kerajaan Umno-BN. Tuduhan beliau kononnya PAS hanya mengharamkan judi bola sahaja adalah suatu fitnah yang jelas dan isu judi bukanlah isu politik seperti apa yang beliau fikirkan. 


Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, PAS menolak dan mengharamkan semua aktiviti judi di negara ini dan bukan melibatkan perjudian bola sahaja.PAS jauh berbeza dengan Umno, ujarnya. 

"Umno telah memerintah negara selama 12 penggal, namun belum ada usaha dilakukan bagi menghapuskan judi. Selepas PAS memerintah, Kelantan berjaya menutup premis-premis judi. Di Kedah usaha menghapuskan judi berjalan secara berperingkat, begitu juga dengan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah Pakatan. Kita serius untuk menghapuskan judi dan mendidik rakyat ke arah kehidupan yang bebas dari maksiat," tegas beliau.

Rakyat juga tahu, katanya, lesen perniagaan judi diluluskan oleh Kerajaan Pesekutuan, bukan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri hanya meluluskan lesen premis dan iklan yang kebanyakannya diperolehi oleh tokey judi semasa zaman pemerintahan BN.

Mahathir sebenarnya dibayangi dosa-dosanya yang meluluskan judi dinegara ini semasa pemerintahannya dan rakyat akan terus mengingati beliau sebagai tokoh pemimpin yang memimpin negara dengan duit hasil judi, katanya.

"Beliau mungkin berfikir, jika beliau tidak menyokong dasar Najib hari ini, pastinya orang-orang dalam kerajaan akan mengutuk beliau kerana selama ini beliaulah orang nombor satu yang membantu membangunkan industri judi dalam negara ini," tegas beliau. Ustaz Idris kesal kerana Mahathir masih bersikap prejudis kepada masyarakat Cina di negara ini yang dalam pemikiran beliau dianggap sebagai kaum yang suka berjudi. 

Tun Mahathir hadir dan berucap dalam perhimpunan 'Melayu Bangkit' di Kuala Terengganu baru-baru ini dan mencipta prasangka buruk terhadap orang Cina. Perkara ini tidak wajar kerana masyarakat Cina juga bukanlah masyarakat yang suka berjudi, dan ucapan beliau ini adalah satu penghinaan.  Tabiat judi ini tegasnya adalah masalah yang dicipta dalam masyarakat bagi melalaikan mereka. Dan kerajaan mengambil kesempatan dari golongan yang tidak berilmu ini dengan mengeluarkan lesen bagi mengaut untuk hasil perjudian.

Sewajarnya, kata Ustaz Idris, kerajaan memberikan pendidikan kepada rakyat, memberikan maklumat dan berusaha memerangi gejala judi dalam masyarakat sama macam memerangi gejala dadah. Bila judi diharamkan maka rakyat juga tidak akan berani berjudi. Aktiviti judi haram perlu dilihat sama seperti sindiket pengedaran dadah dan hukuman berat wajib diberikan kepada penganjur aktiviti judi. Rakyat perlu diberitahu akan keburukan judi ini dan mengajak mereka bersama-sama memerangi judi, tegas beliau.

Tiada ulasan: