KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Jun 12, 2010

Ghairah ke Putrajaya, jangan biarkan pengundi tradisi terasa hati!

HASRAT PAS menuju Putrajaya perlu disusuli dengan persiapan bersungguh-sungguh dan bersepadu hingga menjadi kenyataan, demikian ditegaskan Perwakilan PAS Kelantan, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah.

"Banyak orang yang mempunyai cita-cita besar, tetapi banyak cita-cita besar itu menjadi impian dan angan-angan sahaja," ujarnya membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-56 di Putik, dekat sini 11 Jun lalu.

Tegasnya, untuk menjadikan cita-cita itu sebagai kenyataan, maka tindakan utama perlu dilakukan adalah memperkukuhkan PAS itu sendiri.

Menjelaskan hal itu, Mohd Amar menyeru agar usaha memperkasakan ahli di seluruh peringkat parti dilakukan dengan meningkatkan kefahaman dan penghayatan di kalangan ahli. Akuinya, berlaku peningkatan kepada jumlah cawangan dan ahli PAS, tetapi beliau khuatir kemasukan itu adalah atas dorongan semasa.

"Parti perlu susun program kefahaman khusus kepada ahli baru. Kita tidak mahu yg masuk terikut kawan atau sahabat, atau seronok ramai masuk PAS dia masuk PAS. PAS perlu merancang akan hal ini," ujar beliau mengharapkan usaha itu bagi memastikan mereka tidak tinggalkan perjuangan ini.

Selain itu katanya, ahli lama pula perlu diberi perhatian dari segi meningkatkan kefahaman semasa mereka kerana senario politik ketika ini amat berbeza. Dahulu PAS bersendirian tetapi kini telah bersama rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, perubahan yang berlaku perlu difahami dan dasar-dasar parti perlu terus dipertahankan. Melaksanakan usaha ke arah itu, memerlukan usaha yang tersusun dan terancang.

PAS juga katanya, perlu menangani soal hubungan dengan bukan Islam yang dijadikan isu oleh Umno kepada orang Melayu. Jika isu itu tidak ditangani secara baik, ia boleh menimbulkan masalah pada pilihan raya umum akan datang.

Jelas Moh Amar lagi, biarpun terdapat penjelasan, tetapi ianya belum mencukupi untuk menghilangkan keraguan umum. Selain itu, beliau turut mengingatkan agar keghairahan menarik sokongan bukan Islam tidak sehingga melupakan pengundi tradisi PAS. Ujarnya, jangan dibiarkan sehingga pengundi tradisi terasa hati lalu meninggalkan PAS.

Tiada ulasan: