KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Jun 23, 2010

Kerjasama dengan Umno ibarat memikul biawak hidup dakwa Presiden PAS



Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan kerjasama politik (tahaluf siasi) yang diamalkan PAS untuk bersama Pakatan Rakyat dibuat berdasarkan al-Quran dan diizinkan syarak.

"(Sebaliknya) kerjasama Umno dalam BN menggadaikan prinsip dan akhlak. Dan ia tidak boleh dijadikan contoh dalam Islam," tegas beliau ketika menggulung perbahasan dan menyampaikan ucapan penangguhan sempena Muktamar PAS ke-56 yang diadakan di Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (Putik), 13 Jun lalu.

Menurut Ustaz Abdul Hadi, PAS merujuk tahaluf yang dibuat berdasarkan al-Quran dan muzakarah ulama yang dirakamkan dalam kitab-kitab. PAS menegaskan bahawa parti itu tidak akan melaksanakan sebarang kerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk sambil menyifatkan  ia ibarat memikul biawak hidup.

"Perpaduan tersebut ibarat memikul biawak hidup, juga seperti memikul kezaliman dan segala masalah yang dimiliki Umno-BN," tegasnya lagi.

Sementara itu, tahaluf siyasi PAS membenarkan umat Islam melibatkan masyarakat bukan Islam dalam urusan politik atau dalam kata lain, bukan Islam diterima sebagai petugas dalam membantu kepada kejayaan Islam, tegasnya disahut laungan takbir para perwakilan.

Ustaz Abdul Hadi  berkata, amalan politik dalam Islam berbeza dengan sembahyang kerana Islam menetapkan dalam sembahyang berjemaah, imamnya mesti Islam, makmumnya juga mesti Islam. Sebaliknya dalam kerjasama politik (tahaluf siasi) pemimpinya Islam namun  petugasnya boleh diambil daripada kalangan Islam dan bukan Islam, tegas beliau.

Beliau juga berkata, setakat ini PAS telah bersetia dengan tahaluf yang dibuat sejak Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu bersama dengan Pakatan Rakyat. Malah, dengan tahaluf yang ada dan berdasarkan sokongan bukan Islam yang amat tinggi kepada PAS, Ustaz Abdul Hadi menegaskan parti itu telah menempa sejarahnya yang tersendiri dengan mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Presiden PAS juga, mengulangi penegasan bahawa PAS menolak perpaduan dengan Umno-BN kerana bezanya komponen itu membawa perpaduan 'rasuah' yang didalamnya terdapat kemungkaran yang jelas. Umno didakwanya mengamalkan pendekatan perkauman sempit,  justeru gagasan dengan BN tidak boleh menyelesaikan masalah kerana mereka masih tebal dengan perkauman, malah dibejati dengan rasuah.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Abdul Hadi turut memperingatkan perwakilan dan ahli PAS agar meneruskan gerak kerja dakwah dan politik kerana PAS adalah sebuah gerakan dakwah dan politik. Walaupun dengan kehadiran bukan Islam sebagai sayap baru dalam PAS, namun prinsip dan dasar parti itu tidak sesekali akan digadaikan seperti yang didakwa media milik Umno-BN, katanya.

Selain itu, beliau turut menekankan agenda 'Sepakat Menuju Putrajaya' dan pelan bertindak kepada seluruh perwakilan untuk bersama-sama memastikan usaha menjatuhkan Umno-BN berjaya. Beliau berulang kali menyebut persoalan tarbiyah dan memantapkan gerakan PAS kepada akar umbi agar cita-cita mentadbir negara ini menjadi kenyataan pada pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan: