KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Jun 23, 2010

Peneroka Felcra juga alami kesengsaraan dan penderitaan yang sama dengan peserta Felda

SEBAGAIMANA juga Felda, Felcra tidak sunyi dibelenggu dengan pelbagai isu meskipun para peserta diikat dengan perjanjian, ketidakadilan terus berlaku dan kian berleluasa. Ini termasuklah kadar dividen yang rendah, kos pembangunan ladang yang mengelirukan, aktiviti tanam semula yang tidak sempurna, penyata bayaran peserta gagal dikeluarkan dan dakwaan salahguna kuasa serta penyelewengan antara isu utama melanda agensi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Peserta Felcra Bhd, Akmalluddin Mohd Noor berkata, semenjak agensi itu diswastakan pada tahun 1997 dilaporkan lebih RM100 juta kerugian berlaku akibat penyelewengan dan salah guna kuasa. Beliau yang mewakili 95,000 peserta Felcra dari seluruh negara kecewa dengan langkah kerajaan mengkorporatkan agensi itu akhirnya pihak Pengurusan Kanan Felcra Bhd mendapat lesen dan restu untuk berbuat apa sahaja sehinggakan matlamat asal penswastaan itu tersasar jauh dari objektif sebenar.

Akmalluddin yang mengunjungi Harakah baru-baru ini, menegaskan para peserta terus di tahap lama malah lebih teruk apabila pemberian dividen yang mengecewakan dan dibebankan dengan hutang yang tinggi. "Peserta-peserta juga langsung tidak mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi  bahkan aduan kami tidak mendapat layanan dan terus diketepikan," kata beliau.

Amat malang sekali, katanya peserta diikat dengan perjanjian zalim (simpul mati), dan berat sebelah yang memihak kepada Felcra sahaja sehinggakan mereka tidak ada ruang untuk menyuarakan pandangan.  Jelasnya, hak-hak peserta terus dirampas misalnya, kadar faedah melalui simpanan tetap hasil daripada projek peserta bernilai RM600 juta di dalam bank juga belum diagihkan.

"Bayangkan berapa faedahnya, siapa yang samun? Begitu juga keuntungan kilang-kilang sawit Felcra Bhd di mana akan diagihkan balik kepada peserta, malangnya tidak ada," katanya. Justeru, jelas beliau setiap peserta Felcra berhak mendapat hak mereka sepatutnya termasuklah mengetahui pengurusan yang berlaku di dalam agensi itu.

Oleh itu, Akmaluddin menyeru seluruh warga Felcra untuk sama-sama menyertai perhimpunan Warga Felcra Kebangsaan yang akan diadakan pada 1 Ogos ini di dalam kawasan Parlimen Pasir Salak.  Antara resolusi yang bakal diputuskan dalam himpunan itu adalah penubuhan sebuah badan bukan kerajaan menyerupai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sebagai wadah perjuangan masyarakat Felcra.

"Para peserta dialu-alukan menyertai himpunan itu nanti sebagai menuntut hak mereka selama ini ditindas oleh Felcra, kita harus berusaha untuk memperjuangkan nasib kita selama ini,"katanya.

Tiada ulasan: