KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Jun 29, 2010

Maruah Najib Tun Razak dicalar puak-puak Umno Kelantan akibat politicking dalaman



Lawatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kelantan pada 16 Jun lepas telah melakar sejarah tersendiri kepada maruah politik beberapa pihak. Lakaran sejarah itu dilihat lebih bersifat maruah politik kerana di sebaliknya ada sesuatu yang tidak kena telah dilakukan oleh Umno Kelantan selaku tuan rumah kepada lawatan tersebut. Antaranya, tindakan Umno Kelantan membelakangkan Kerajaan Negeri, terutama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sesuatu yang mencalar maruah politik di depan rakyat Kelantan.


Berikut adalah catatan diari Perdana Menteri sepanjang sehari membuat lawatan rasmi ke Kelantan.  Diari ini boleh dicapai menerusi lama web rasmi Perdana Menteri di alamat http://www.pmo.gov.my/index.php?menu=event&page=1855. 

Masa dan acara pada 16 Jun 2010:
9:30 pagi - Perjumpaan bersama Bandan Perhubungan Umno Kelantan di Hotel Renaissance, Kota Bharu.
10:30 pagi - Majlis Pelancaran Ar0Rahnu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersebelahan Komnpleks MARA Kota Bharu.
10:50 pagi - Tinjauan mesra bersama pemandu teksi, kereta sewa dan penarik beca di Tapak Bomba Lama & Stesen Pohon Pinang, Kota Bharu.
1:10 petang - Mengadap KDYMM Al-Sutan Kelantan di Istana Mahkota.
3:30 petang - Program bersama rakyat di Wat Machimaran, Jubakar Tumpat.
6:15 petang - Mengadap YMM Pemangku Sultan Kelantan di Istana Telipot.
9:00 petang - Majlis Perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 di Stadium Sultan MUhamad Kota BHaru.

Analisis mudah lawatan Perdana Menteri

Berdasarkan acara ketat daripada catatan diari Perdana Menteri di Kelantan itu, ternyata sifat lawatannya berstrategi serampang dua mata. Maksudnya adalah bermotif politik dalaman Umno Kelantan dan Barisan Nasional amnya, dan acara perasmian anjuran pihak di luar kelompok parti politik. 

Acara politik dalaman melibatkan perjumpaan Badan Perhubungan Umno (bukan BN) diikuti perjumpaan masyarakat Siam di Tumpat sebagai langkah pemerkasaan politik BN di akar umbi. Sementara acara perasmian anjuran pihak di luar kelompok parti politik ialah melibatkan BIMB untuk merasmikan pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan syarikat Red Carpet untuk merasmikan Karnival Kelantan Fiesta 2010. Pun begitu ada juga program sampingan yang bersifat kosmetik iaitu melibatkan penerimaan memorandum pemandu teksi dan minum-minum di restoran bersama pemimpin Umno dan MCA Kelantan.

Lawatan politik

Sumber berita (Berita Harian, 17 Jun 2010) melaporkan, Ar-Rahnu Bank Islam adalah pajak gadai Islam pertama Kota Bharu. Pembabitan Bank Islam dalam perkhidmatan pajak gadai Islam merupakan agensi kewangan keempat berlaku di Kelantan. Sebelum ini telah ada Ar-Rahn Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Ar-Rahnu Bank Rakyat dan Pajak Gadai Islam Farihan Corporation. Di samping telah ada juga pajak gadai Islam anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM) dan koperasi serta pajak gadai konvensional (riba) yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Namun, pembabitan BIMB dengan pajak gadai di Kelantan adalah hasil pengambil-alihan dan usaha sama strategik dengan Farihan Corporation Sdn Bhd (FCSB) yang dimiliki oleh mantan Pengurus Besar PKB, Haji Aziz Nawi. Sekadar catatan, Aziz yang mengasaskan Farihan telah mendapat lesen Kementerian Kewangan bagi membuka pajak gadai Islam sebaik beliau berundur dari PKB.

Melalui Ar-Rahnu Bank Islam ini, BIMB menguasai 80 peratus kepentingan dalam FCSB dan 20 peratus lagi dimiliki oleh Pengarah FCSB, Haji Aziz Nawi dan keluarganya. Maka, kemunculan Ar-Rahnu Bank Islam ini sudah tentu bakal bersaing dengan pajak gadai Islam yang sedia ada. Sekali gus, menjadikan pasaran pajak gadai Islam di Kelantan adalah antara pemacu ekonomi Islam di negeri ini.

Namun, apa yang menjadi isu di sebalik pembukaan Ar-Rahnu Bank Islam adalah terserlah nilai politik tersendiri. Ia mencatat maruah politik berikutan kehadiran Perdana Menteri merasmikan pajak gadai tersebut tanpa menjemput Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Sedangkan Menteri Besar Kelantan adalah pencetus dan pendorong serta faktor pertumbuhan kepada sistem kewangan Islam di Kelantan. Hatta, Aziz sendiri pun ketika di PKB dulu adalah penggerak asal yang berjaya merealisasikan cetusan dan dorongan kewangan Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tiba-tiba, kejayaan itu telah tidak dikongsi bersama Perdana Menteri semasa majlis perasmian premis kewangan Islam tersebut. Maka, ia sudah dilihat sebagai isu politik Kelantan dan lawatan Perdana Menteri merasmikan pajak gadai itu adalah lawatan politik.

Di manakah silapnya? 

Ada khabar mengatakan berlaku demikian bukan atas kehendak pihak Bank Islam, tetapi disebabkan tekanan politik Umno Kelantan yang tidak ingin Menteri Besar Kelantan hadir bersama-sama Perdana Menteri. Mungkin ada hubungannya dengan isu fitnah membabitkan penggunaan masjid semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor (25 April 2010) apabila Najib menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai mengengkari Sultan Selangor.  Mungkin logik dan benar, kerana Umno Kelantan sekarang sudah lemas dan tercungap-cungap. Oleh itu, tidak bolehlah dipersalahkan kepada pihak Bank Islam dan jangan nanti Bank Islam dipulau pula oleh rakyat Kelantan.

Memperkukuhkan lagi perkara yang berlaku di sebalik perasmian pajak gadai Islam itu, adalah jadual lawatan Perdana Menteri seperti dalam diari, menunjukkan keutamaan acara adalah nilai politik. Antaranya, permulaaan acara lawatan itu sebaik tiba dari jet khas di Pengkalan Chepa adalah perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno Kelantan di hotel penginapan (tidak di bangunan Umno – sudah menggambarkan naifnya Umno Kelantan kerana melayan Perdana Menteri selaku Presiden Umno di hotel bukan di bangunan sendiri).

Pada perjumpaan itu, sudah tentu Perdana Menteri telah mendengar beberapa asakan politik berkaitan program sehari lawatan ke Kelantan (sebenarnya lawatan hanya berlaku di Kota Bharu dan Tumpat sahaja). Oleh itu, wajarlah semua program lawatan Perdana Menteri tidak disertai sama pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan. Atas rasional tersebut, semasa lawatan ke Wat Budhha bertemu masyarakat Siam di Tumpat maka tiada seorang pun pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dijemput.

Perdana Menteri menabur janji

Justeru, ia mendorong Perdana Menteri mengumumkan banyak janji dan umpan bagi memperkasakan sokongan akar umbi kepada politik BN. Ia dipekukuhkan lagi dengan seruan memujuk masyarakat Siam supaya memberi kerjasama kepada BN untuk bersama menegakkan 'dacing' supaya 'seimbang' tidak senget seperti yang disindirkan oleh wakil masyarakat Siam yang berucap. 

Mengukuhkan lagi seruan memujuk itu ialah janji untuk meluluskan peruntukan RM200 ribu bagi membiayai pengajian bahasa Siam. Janji tersebut diungkapkan di depan pemimpin Umno Kelantan dalam keadaan rakyat mempersoalkan di mana janji untuk mendaulatkan bahasa Melayu tanpa diketahui berapa kos yang diluluskan. Semua janji itu, telah disiar langsung pihak RTM Kelantan dan didengari oleh majoriti orang Melayu, termasuk ahli Umno.

Maka, ucapan politik Perdana Menteri bersama masyarakat Siam nampaknya cukup janggal. Ia kelihatan janggal bukan sahaja berpolitik dalam wat (tempat ibadat), tetapi juga kerana masyarakat Siam yang minoriti itu sudah nampak majoriti. Lebih-lebih lagi, tindakan Perdana Menteri itu turut mempromosikan jenama perniagaan politik Umno bertemakan "1Malaysia" sebenarnya berniat memujuk sentimen masyarakat bukan Melayu kembali menyokong BN. 

Sedangkan majoriti rakyat Kelantan adalah majoriti orang Melayu yang tertunggu-tunggu sekian lama akan pengumuman Perdana Menteri bagi merungkaikan kemelut pembangunan Melayu Kelantan, khususnya bagi pemimpin Umno Kelantan yang sentiasa tak puas hati dengan pencapaian pembangunan negeri Kelantan sepanjang 20 tahun di bawah PAS. 

Namun, kehadiran Perdana Menteri kali ini tidak memenuhi harapan majoriti rakyat Kelantan yang masih mempersoalkan kewibawaan Dato' Mustapa Mohamad selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di dalam menguruskan projek besar yang kesemuanya tergendala. Tiada jawapan daripada Perdana Menteri kenapa tergendalanya projek-projek pembinaan Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Jabatan Sultan Yahya Petra, Jalan Pasir Puteh-Tok Bali, Jalan Jeli-Jelawang dan Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang serta perlebaran lapangan terbang. 

Malah lebih dari itu, majoriti rakyat ingin kepastian kenapa judi bola diluluskan dan bila wang royalti petroleum akan diberikan kepada kerajaan negeri? Realitinya, Perdana Menteri datang dengan alunan sumbang, maka kekecewaan terluah di kalangan majoriti rakyat Kelantan.

Maruah Perdana Menteri tercalar teruk

Demikian juga pemimpin dan ahli Umno begitu kecewa, kerana lawatan yang merangkumi agenda ketat lagi besar termasuk menghadap Sultan dan Pemangku Raja serta kemuncaknya adalah perasmian Karnival Kelantan Festa 2010 dianggap gagal mencapai matlamat. Paling kecewa kerana Karnival Kelantan Fiesta 2010 dengan misi pelancongan, perdagangan dan pemaklumatan telah bertukar kepada pesta menjatuhkan maruah Perdana Menteri. 

Apa yang terjadi ialah sirami hujan dan cakap tanpa suara gembira Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan karnival yang sudah tidak bertaraf sukaneka Umno cawangan. Kekecewaan itu jelas tergambar melalui kenyataan penganjur (Red Carpet) yang mengaitkan kepulangan Perdana Menteri tanpa hadir merasmikan karnivalnya sebagai berpunca daripada sabotaj oleh Kerajaan Negeri (Sinar Harian, 21 Jun 2010). 

Secara tidak langsung juga kenyataan Red Carpet (dilihat selaku proksi kepada Umno Kelantan) itu turut mengaitkan maruah Pemangku Raja dan Menteri Besar Kelantan. Layaklah dikatakan penganjur karnival itu adalah agen besar yang sudah kecewa (desprate). Kekecewaan itu telah terpalit sama Umno Kelantan yang diluahkan oleh olak fikiran di luar rasional.

Sepatutnya, ketidak hadiran Pemangku Raja Kelantan dan Perdana Menteri merasmikan karnival tersebut tidak boleh dipersalahkan kepada kerajaan negeri. Sebaliknya yang bersalah adalah pihak penganjur sendiri yang tidak mengamalkan sikap hormat menghormati. Apa yang tersebar luas, pihak penganjur telah menolak penglibatan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, sedangkan penganjuran majlis telah menggunakan nama negeri, premis dan prasarana serta perundingan awal dengan wakil kerajaan negeri. 

Apakah motif sebenar pihak penganjur? 

Jawapan kepada persoalan tersebut adalah apa yang tersirat di sebalik realiti. Di sana telah ada politicking sesama pemimpin Umno Kelantan. Akibatnya, perjumpaan sesama pemimpin Umno didahulukan, kunjungan hormat menghadap Pemangku Raja dikemudiankan serta menafikan kebersamaan Menteri Besar di semua majlis yang dihadiri Perdana Menteri. Nampak sangat ia adalah acara lawatan politik seorang Presiden Umno untuk Umno Kelantan. 

Demikian lagi, berlaku secara halus gerakan anti-Mustapa sehingga menjatuhkan maruahnya yang terpaksa merasmikan Karnival Kelantan Fiesta 2010 dalam cahaya 'blackout' di padang bola stadium yang muatnya 30 ribu tetapi dihadiri hanya tiga ratus orang. Natijahnya, Perdana Menteri sudah diaibkan dan maruahnya sudah dicalar kerana penganjur gagal mempromosikan karnival itu ke taraf nasional akibat daripada otak sempit yang turut menafikan pengaruh Menteri Besar Kelantan di dada rakyat. 

Maka, tugas Mustapa selepas ini adalah menjawab secara logik untuk memujuk dan menyapu calaran di muka Perdana Menteri. Di samping terpaksa membersihkan syak wasangka pemimpin Umno akar umbi akibat kegagalannya memantau dan menjamin lawatan Perdana Menteri pada sehari 16 Jun mencapai matlamat.

Berdasarkan apa yang berlaku, sebenarnya majoriti rakyat Kelantan sudah tahu ceritanya kenapa semua itu terjadi. Apa yang pasti takdir Ilahi, Tuhan Yang Maha Esa telah mengarahkan aparatusnya, berupa hujan dan ribut serta 'blackout' sebagai pengiring mengakhiri lawatan Perdana Menteri ke Kelantan. 

Sudah pasti tercatat rasa kekecewaan pemimpin Umno, tetapi janganlah sampai Tuhan dipersalahkan. Ingatlah manusia sekadar merancang, Tuhan pun merancang dan segala-galanya adalah Tuhan yangmenentukan. Rumusannya, Umno Kelantan sudah mengalami kecelaruan akibat kekecewaan yang turut mencalar maruah seorang Perdana Menteri.- Wan Nik Wan Yusoff

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

I almoѕt neveг leаve a responsе, howеver i diԁ ѕome sеarching and wound
up here "Maruah Najib Tun Razak dicalar puak-puak Umno Kelantan akibat politicking dalaman".
And I асtually do haνe 2 questions for уοu if you tеnԁ not to
mind. Iѕ it just me οr doеѕ it aρρear like some of
the responses look like left by brаin deaԁ indiviԁuals?
:-P And, if you агe writing at adԁitional оnline sіtes,
I wоulԁ lіke to keep up with anything fгesh you haνe to post.
Cοuld уou maκe a list of
all of all youг publіc sites liκe уour linkеdіn profile, Faсеbook page or twitter feed?


Feel free to suгf to mу weblog .
.. payday loans