UMAT Islam di negara ini makin sedar kaitan Umno-BN dengan industri perjudian. Diumum sahaja Timbalan Menteri Kewangan, Dato' Dr. Awang Adik kerajaan telah luluskan lesen judi bola sepak sempena Piala Dunia Julai ini, rakyat terus menyanggah dan menentangnya.
Sekalipun ulama Umno, dan Mufti berdiam diri, tetapi kebangkitan rakyat semua agama sepakat menolak judi. Ia kian mencemaskan Perdana Menteri. Tentangan semakin kuat, dan Julai ini satu Himpunan 100 ribu Rakyat Bantah Judi Bola Sepak akan diadakan. Tujuannya menghantar memorandum kepada Yang DiPertuan Agong agar "mengharamkan" judi tersebut. PAS mengetuainya.
Memberi kebenaran menjalankan perniagaan yang mengendalikan perjudian boleh dianggap sebagai menghalalkan judi kerana di sisi undang-undang kegiatan tersebut adalah dilarang dan hanya boleh dibuat jika dibenarkan, komen ringkas Profesor Dr. Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas keputusan Kerajaan Persekutuan memberikan kebenaran kepada Tan Sri Vincent Tan untuk menjalankan judi bola sepak.
"Itu sebab timbul istilah judi haram. Ertinya, sama juga dengan pelacuran, kegiatan tersebut pada hakikatnya adalah dilarang di sisi undang-undang kerana sebab-sebab yang amat jelas yakni mendatangkan mudarat kepada masyarakat", katanya sambil menyifatkan kerangka itu juga diterima oleh masyarakat sekular Barat.
"Di sana ia dibenarkan dalam bentuk loteri dan pertaruhan tetapi ini dibuat setelah kerajaan mendapat kebenaran dari rakyat. Jadi kalau kita kata negara ini demokratik maka tanyalah dahulu pandangan rakyat sebelum kerajaan beri lesen itu", jelas beliau lagi.
Dua minggu lalu Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak enggan menjawab soalan wartawan mengenai kebenaran yang diberi kepada Vincent Tan itu. Pada tahun 1960-an pentadbiran Tunku Abdul Rahman menubuhkan Lembaga Loteri Kebajikan Masyarakat yang menjual loteri untuk tujuan kebajikan. Bagaimanapun ini dimansuhkan pada awal 1980an.
Ditanya mengenai kuasa Kerajaan Persekutuan Aziz berkata: "Dalam konteks federalisme kita, kuasa itu tidak jelas dan mungkin tidak ada. Ini kerana perlembagaan cuma menyebut kuasa Persekutuan membuat undang-undang mengawal pertaruhan dan loteri. Negeri pula cuma diberi kuasa memberi lesen untuk panggung dan tempat hiburan awam".
Dengan itu, katanya lagi, kuasa membenarkan judi tidak disebut dengan jelas oleh perlembagaan sebagai sumber undang-undang tertinggi negara. Pakar perlembagaan itu berkata kekaburan kuasa itu memberi alasan untuk menuntut kerajaan membentangkan kertas putih mengapa ia memberi kebenaran kepada Vincent Tan.
"Selain kontroversi yang timbul sekarang kerajaan sendiri telah pun membubarkan lembaga loteri meskipun judi-judi yang lain termasuk kasino masih dibenarkan," tambahnya.
Aziz berkata kerangka perlembagaan yang ada sekarang sebenarnya memberi ruang untuk pelaksanaan Islam. "Yang jadi masalah, seperti yang berlaku dalam soal judi ini ialah sikap politik yang enggan mendengar suara rakyat. Undang-undang jelas tidak menggalakkan judi," tegas Aziz lagi.
Di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya, lebih 300 ahli kariah Masjid Jumhuriyah bangkit menyatakan tentangan terhadap judi ini. Ia diketuai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad bersama pimpinan PAS dan KeADILan Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara dan Kelana Jaya.
Muslimin, muslimat serta kanak-kanak turut menunjukkan sensitiviti mereka dengan judi yang diluluskan oleh Umno-BN ini. Mereka menaikan sepanduk, banner dan pelbagai slogan serta sorakan dimuntahkan sepanjang perhimpunan aman yang diadakan di hadapan masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan