KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 11, 2009

Dr Mahfodz Mohamad setuju Majlis Syura Ulama PAS diperkasakan lagi!


Dr Mahfodz Mohamad antara yang dicalonkan untuk kerusi Naib Presiden PAS pada pemilihan parti itu Jun depan.

BERNARKAH, kuasa eksekutif iaitu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dikatakan menjadi tembok menyebabkan ulama sukar untuk tampil ke depan walaupun mereka sebenarnya adalah kuasa tertinggi iaitu Majlis Syura Ulama. Sebagai ahli Majlis Syura Ulama Dato' Dr Mahfodz Muhamad turut mengakui majlis itu perlu dimantapkan. Ikuti temubual wartawan SALMIYAH HARUN bersama Pesuruhjaya PAS Johor itu.

25 tahun kepimpinan ulama sehingga hari ini bagaimana Dato' melihat sokongan Melayu dan bukan Melayu terhadap kepimpinan ulama?

DR MAHFODZ MUHAMAD: Inilah yang membezakan antara PAS dengan Umno sebagai parti Melayu Islam yang terbesar selepas Umno. PAS memang kekal dengan konsep kepimpinan ulama. Jadi oleh kerana dengan kepimpinan ulama orang Melayu khususnya mempercayai kepada PAS yang diterajui oleh ulama.
Oleh kerana PAS menunjukkan parti yang beramanah dan bertanggungjawab secara tidak langsung menarik orang bukan Islam kepada PAS. Tambahan pula PAS memberi keadilan semua kaum malah ditambah lagi dengan slogan PAS For All. Dan akhirnya bukan sahaja diterima oleh orang Melayu bahkan bukan Melayu.

Pada penelitian Dato' apa yang dikatakan kepimpinan ulama sejak ia diasaskan pada tahun 1982.

Saya ingat yang tertulis, sebelum 1983 itu apa yang dipanggil ialah Majlis Syura Ulama. Jadi kalau kita menggunakan sepenuhnya 'priority' Majlis Syura itulah menggambarkan kepimpinan ulama, kerana ulama berada di dalam Majlis Syura.
Sebab itulah, bagi saya kita teruskan memperkasa Majlis Syura Ulama supaya ia disegani dan dihormati. Sebab majlis ini mempunyai kuasa paling tinggi, dan organisasi yang paling tinggi dalam PAS yang menjaga dasar parti.
Sebenarnya Majlis Syura Ulama boleh mentafsirkan dan memberikan nasihat serta teguran termasuklah kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Sekiranya ada yang tidak kena dengan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Majlis Syura boleh memanggil dan memberi nasihat kepada mereka. Hari ini Majlis Syura Ulama tidak menampakkan autoritinya, itulah sebabnya orang PAS tidak nampak keberkesanan majlis paling tinggi itu.

Apa yang menyebabkan orang PAS ini tidak nampak autoriti Majlis Syura Ulama ini? Adakah majlis ini tidak cukup berpengaruh?

PAS lebih melihat kepada organisasi. Ada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang bertindak sebagai kuasa eksekutif. Malah tiap-tiap dua tahun sekali akan ada pemilihan untuk diletakkan dalam Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Inilah yang nampaknya.
Sedangkan Majlis Syura Ulama ini tiga tahun sekali begitu juga jawatan pelantikan. Mungkin ini satu kelemahan majlis ini yang tidak menampakkan kuasanya itu, sedangkan ia adalah organisasi yang menempatkan dasar parti. Bagi saya untuk memperkukuhkannya Majlis Syura Ulama perlu lebih aktif.

Macam mana pula PAS mahu memperkukuhkan Majlis Syura Ulama ini supaya ia tidak ditenggelami dengan kuasa eksekutif PAS?

Memang ia lebih aktif... dari erti kata lain majlis itu cepat memberi respons isu semasa begitu juga politik. PAS kena bagi ruang kepada Majlis Syura Ulama memberi pandangan terutama dalam akhbar partinya Harakah itu sendiri. Malah ulama jugalah orang yang selalunya kena 'bidas', biasanya tiap-tiap dalam muktamar ulama selalunya akan 'kena'.
Dewan Ulama boleh dianggap adik kepada Majlis Syura Ulama. Sebab itulah Syura Ulama boleh 'direct' mengkritik ulama. Oleh kerana ulama badan tertinggi, maka ia perlu diaktifkan dan dimantapkan. Sekarang pun dah aktif tetapi mungkin ada kekurang sana-sini.

Apakah kerana ahli Majlis Syura Ulama itu sendiri dianggotai oleh ulama veteran menyebabkan mereka agak lambat untuk memberi respons?

Hendak pilih ahli Majlis Syura Ulama, memanglah di kalangan ulama. Cuma tidaklah menjadikan kurang berkesan kalau ulama itu ulama yang veteran. Hendak memilih ahli Majlis Syura Ulama memanglah sinonim dengan ulama 'syuyukh'.
Bagi saya mesti ada pegawai khas yang menguruskan Majlis Syura Ulama jika ada ulama 'syuyukh' itu. Memang banyak isu-isu. Dalam Majlis Syura Ulama banyak melibatkan hukum-hakam selain dasar parti. Kepimpinan ulama itu memang semuanya ulama untuk memimpin PAS ini, tetapi tidak semestinya ulama.
Hari ini kita mesti ada gabungan ulama dan profesional jika hendak dilebarkan kepimpinan ulama dalam PAS sampai ke peringkat akar umbi negeri dan kawasan.

Untuk jawatan tertinggi dalam pemilihan ini khususnya Timbalan Presiden adakah ia boleh ditandingi oleh bukan ulama?

Bagi saya selagi tidak ada undang-undang tertulis menjelaskan timbalan dan Presiden PAS perlu seorang ulama maka ia dibolehkan. Untuk mengatasi kemelut itu kita kembali kepada perlembagaan PAS.
Dalam perlembagaan, tidak ada menyebutkan Presiden dan timbalannya mesti ulama walaupun dalam hati saya memang saya suka dipimpin oleh ulama terutama Presiden masih ulama sebabnya kita Parti PAS.
Tetapi yang menjalankan dasar-dasar parti berdasarkan Al quran dan sunnah mestilah ulama. Kita tidak boleh menafikan golongan lain seperti profesional yang sudah lama dan komited dalam PAS, yang sudah belajar hukum hakam walaupun tidak belajar secara tradisional dalam ilmu Islam ini.
Kalau sudah berada lebih 30 tahun dalam PAS ini, pada saya walaupun dia secara 'literal' bukan ulama tetapi sekurang-kurangnya dia tahu asas penting dalam Islam itu.
Ini jawatan yang terbuka, mestilah orang yang hendak bertanding tengok diri sendiri dahulu. Mesti ada syarat-syarat kelayakan dan untuk membuat keputusan itu kita sudah ikut undang-undang mengikut kawasan.
Saya fikir sudah matang dalam memilih pemimpin yang layak menduduki jawatan Timbalan Presiden ini. Kita telah diajar supaya bermuhasabah tiap-tiap dua tahun sekali kita muhasabahlah (muktamar). Sama ada diri yang menang jawatan itu atau perwakilan, yang mana kita hendak mencari pemimpin 'best of the best'.
Tetapi bagi saya dalam PAS ini, kita diberi amanah dan tanggungjawab. Hari ini kita lihat ada perbezaan pendapat serta ada pertandingan namun ia tidak akan memecah belahkan PAS.

Lazimnya setiap kali pemilihan, media luar cuba memburukkan keadaan. Bagaimana Dato' melihat proses pemilihan ini?

Bagi saya masalah-masalah itu patut kita buat perbincangan dalaman. Kita tidak boleh pula mengunakan akhbar arus perdana, yang sememang mereka mencari peluang mengkritik kita, nampak ada perbezaaan pendapat mereka membuat andaian hingga terbitnya pertikaman pendapat dalam PAS.
Kalau ada perbincangan peringkat akar umbi, negeri dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat adalah lebih baik perbincangan itu kita adakan di peringkat dalaman parti tidaklah seolah-olah nampak PAS membuat perubahan yang drastik itu. Memang kita hendak buat perubahan kepada yang lebih baik bukan semata-mata perubahan. Caranya kita mestilah sama-sama berbincang dalam hal ini, kita terus kukuh dan utuh dalam perpaduan kita.

Jika ditakdirkan PAS diterajui oleh golongan profesional, ada pihak mengatakan PAS akan hilang jati diri, apa pandangan Dato'?

Jawatan Presiden tidak ada pertandingan. Ada pun mungkin di peringkat timbalan dan naib. Jika golongan profesional ini menang, kita kena ingat kita ada badan yang tertinggi lagi iaitu Majlis Syura Ulama. Ia akan menjadi keutuhan dasar parti, soal hilang jati diri tidak akan timbul.
Cuma saya tekankan sesiapa yang hendak menduduki jawatan tertinggi parti kenalah orang yang betul-betul PAS. Tidak ke kanan dan ke kiri, andainya ada berlaku perkara ini tidak perlu bimbang kita ada Presiden dan Majlis Syura Ulama. Kita ada dasar sendiri dan sumbernya Al quran dan saya akui Majlis Syura Ulama akan memainkan peranan jika ada pemimpin yang mahu lari dar dasar parti.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Howdy! Dο you know іf they make аny рlugіns to safeguard аgainѕt hackегs?
I'm kinda paranoid about losing everything I've ωoгked harԁ on.
Any suggеstionѕ?
My site www.cesurveguzel.com