SEJARAH telah memperlihatkan betapa golongan ulamak telah bangkit menentang kuasa penjajah (dalam rangka perjuangan kemerdekaan) dalam satu jangka masa yang panjang (dalam konteks Asia Tenggara sekitar 200 tahun) sungguhpun akhirnya pihak golongan liberal-nasionalis (dalam satu jangka masa yang amat singkat dan turut bersekongkol dengan pihak penjajah) yang mengaku bahawa merekalah sebenarnya pejuang kemerdekaan, tulis Hj Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif.
Golongan ulamak juga merupakan perintis kepada pendidikan Islam dalam satu sistem pendidikan yang bebas dari virus sekularisme yang begitu membahayakan pemikiran ummah, melalui pembinaan institusi-institusi pondok dan sekolah agama rakyat.
Terdapat ulamak (sebagai contoh Tok Kenali) yang peranannya menjangkau lebih jauh apabila terlibat dengan penubuhan institusi rasmi Islam seperti Majlis Agama Islam Kelantan. Dalam konteks pendidikan ini pihak ulamak merupakan pimpinan tempatan yang amat dihormati oleh masyarakat setempat.
Secara umumnya, dapatlah disimpulkan bahawa paling tidak dalam aspek politik dan pendidikan ulamak telah mampu melakar perubahan lanskap sosio-politik negara secara yang berkesan. Gerakan Islam seperti Hizbul-Muslimin yang menentang penjajahan Inggeris turut dianggotai oleh para ulamak.
Setelah diharamkan oleh pihak Inggeris Hizbul-Muslimin telah melalui satu proses ‘peralihan’ yang akhirnya mendukung penubuhan Parti Islam Se Tanah Melayu (PAS). Sejak saat itu dan hinggalah hari ini golongan ulamak telah dan terus memainkan peranan yang penting dalam PAS dan secara umumnya ulamak (dan mereka yang mendokong institusi ini) merupakan tonggak kepada pimpinan PAS di pelbagai peringkat.
Asas Epistemologi (ilmu)
Hujah paling kuat kenapa golongan ulamak perlu memimpin gerakan Islam seperti PAS adalah berdasarkan dua rujukan asas Islam iaitu al-Quran dan As-sunnah. Dalam al-Quran, Allah berfirman: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulamak." - (al-Faathir: 28).
Takut dalam konteks ayat ini ialah bermakna 'taqwa' dan mereka yang taqwa kepada Allah adalah yang lebih bersedia untuk melaksanakan keadilan (al-Maaidah: 8). Sumber kedua ialah Hadis Rasulullah (saw), yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi, yang bermaksud: "Ulamak adalah pewaris Nabi."
Ini bermakna ulamak terkini merupakan salah satu mata rantai yang sambung menyambung sehinggalah kepada para Rasul/Nabi dalam ertikata membawa risalah Islamiah yang pada asasnya adalah sama iaitu menyeru kepada ketauhidan Allah dan sekaligus merealisasikan syariat Allah secara yang syumul di atas muka bumi Allah yang Allah cipta atas pertimbangan al-haq. Bahasa al-Quran menyebutnya sebagai "memakmur bumi Allah".
Berdasarkan hujah diatas, seseorang ulamak yang memimpin gerakan Islam seperti PAS perlu menguasai paling asas dua bentuk ilmu iaitu ilmu al-Quran dan ilmu al-Hadith. Dalam konteks kepimpinan ulamak sebagaimana yang dimaksudkan ini, sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Mas’ud memberi petunjuk mengenai garis panduan yang berkaitan dengan syarat-syarat yang perlu ada pada seseorang pemimpin.
Dalam Hadith ini Rasulullah (saw) bersabda mafhumnya: "Seorang yang paling arif tentang al-Quran maka dia hendaklah menjadi imam (atau pemimpin) kepada masyarakatnya. Sekiranya terdapat orang lain yang pakar dalam ilmu al-Quran, maka individu yang lebih mengetahui (pakar) dalam bidang ilmu Hadith dilantik sebagai pemimpin.
Sekiranya mereka sama-sama pakar dalam bidang ilmu Hadith, maka mereka yang lebih dahulu berhijrah di lantik sebagai pemimpin. Sekiranya mereka sama-sama berhijrah, maka lantiklah mereka yang lebih tua..." - (Sahih Muslim 4: 26).
Dengan lain-lain perkataan, pemimpin yang terbaik dalam konteks politik Islam (dari sudut keutamaan dan secara bandingan) ialah mereka yang menguasai ilmu al-Quran, ilmu al-Hadith, mereka yang lebih dahulu berhijrah (boleh ditafsir sebagai lebih lama terlibat dengan gerakan Islam) dan lebih tua.
Dengan menguasai ilmu al-Quran dan al-Hadith sudah semestinya kumpulan ini boleh dilabel sebagai golongan ulamak.
Huraian di atas juga konsisten dengan definisi ulamak dari sudut bahasa. Ulamak adalah kata jamak bagi perkataan ‘alim’. Alim pula datang dari kata dasar ‘ilm’ yang bermaksud ilmu. Ini bermakna ulamak adalah orang yang berpengetahuan atau berilmu dalam ilmu-ilmu Islam seperti ilmu al-Quran, Hadith, feqah dan sebagainya.
Penguasaan ilmu-ilmu Islam perlu diutamakan. Penguasaan ilmu-ilmu selain dari ilmu Islam (seperti pengurusan dan multi-media) adalah bersifat sekunder bukan yang utama; ia boleh membantu dalam usaha memperkukuhkan ilmu-ilmu Islam yang dimaksudkan.
Definisi yang lebih ringkas tetapi dari segi semangatnya turut memenuhi kahendak makna ulamak, terdapat dalam Perlembagaan Parti Islam Se Malaysia (PAS). Dalam Perlembagaan PAS Fasal 7 (4)(a) ada menyebut bahawa seseorang yang ingin dilantik sebagai ahli Majlis Syura Ulamak perlu memiliki ciri-ciri berikut:
Pertama, beliau hendaklah seorang yang mengetahui masalah-masalah pokok (al-usul) dalam syariat Islam dan hukum-hukumnya dan dapat merujuk masalah-masalah itu kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dengan faham akan maksud dan maknanya yang muktabar.
Kedua, beliau hendaklah seorang yang adil, yakni tidak melakukan dosa besar atau terus menerus melakukan dosa kecil dan hendaklah terpelihara maruahnya. Ketiga, bagi tujuan praktikal sebuah badan rasmi, hendaklah beliau seorang ahli PAS. Perlembagaan merupakan ‘roh’ bagi institusi formal seperti negara, parti politik dan badan-badan NGOs.
Ini juga bermakna adalah mustahil untuk sesebuah negara atau parti politik itu wujud tanpa terlebih dahulu dirangka perlembagaannya. Ini juga bermakna sekiranya perlembagaan sesebuah negara atau parti politik itu 'tidak Islamik' sifatnya, maka negara atau parti politik tersebut adalah pada hakikatnya juga 'tidak Islamik'.
Dari perbincangan ringkas di atas dapatlah disimpulkan bahawa dilihat dari sudut bahasa, keperluan perlembagaan dan tuntutan kepimpinan memperlihatkan kepada kita bahawa kepimpinan ulamak adalah tonggak kepada kepimpinan Islam khususnya dalam sebuah parti dan gerakan Islam seperti PAS.
Penulis adalah bekas Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
merangkap Pengarah Center For Electoral Reforms Initiatives (CERI).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan