KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 08, 2009

Muslimat PAS perlu keluar dari kepompong "konvensional" untuk hadapi cabaran - Athirah Al-Jundi



Sumbangan Muslimat PAS khususnya dalam gerak kerja politik pilihan raya serta kebangkitan rakyat adalah sesuatu yang dapat dibanggakan. Bagaimanapun ia mesti diterjemahkan dengan keberaniaan yang dibawa ke lokaliti di tempat masing-masing. Dan jika diberi pengisian dan kemahiran yang jauh lebih baik, Muslimat akan lebih bermanfaat pada parti. Itu antara pandangan yang diutarakan Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi ketika ditemubual wartawan, NYZA AYOB.

Dewan Muslimat merupakan salah satu sayap penting dalam PAS. Selama penubuhannya, bagaimana saudari melihat pencapaian Muslimat hari ini?

AIMAN ATHIRAH: Sejujurnya pada pandangan saya, kita tidak dapat nafikan Muslimat sudah berhempas pulas sejak penubuhannya sebagaimana Pemuda. Tetapi dalam konteks politik semakin mencabar, meluas dan matang, kita masih melihat Muslimat masih berada dalam kelompok yang tersendiri.
Secara keseluruhannya Muslimat tidak dapat keluar daripada kepompongnya dan program konvensional yang dianjurkannya. Tetapi kita tidak nafikan juga kepimpinan Muslimat khususnya dari kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah berjaya menembusi kelompok konvensionalnya.
Maknanya tembok itu telah dipecahkan oleh mereka berdasarkan keperluan mereka. Muslimat itu sendiri barangkali belum memahami keperluan mereka untuk terus berada dalam di luar kelompok yang tersendiri.
Bagi saya, sekiranya dibiarkan terus, Muslimat tidak akan mampu menerajui kepimpinan pergerakan kaum wanita di peringkat negara. Dalam konteks kita yang berada dalam kepimpinan ini, kita mahu membawa pemerhatian atau kesedaran Muslimat ini berpandangan jauh.

Bukankah Muslimat sudah cukup berjasa kepada PAS?

Memang diakui. Jasa muslimat cukup banyak hingga PAS berada di tahapnya kini. Tetapi, pada kedudukan-kedudukan tertentu kita hanya dapat menjalankan peranan tertentu. Muslimat sama ada di peringkat kawasan atau negeri, masih terperap dalam pemikiran mereka tersendiri. Ini bukan satu penghinaan tetapi satu cabaran supaya muslimat bermula daripada sekarang memerhati serta melihat di luar kotak.
Seandainya mereka tidak berbuat sedemikian khususnya dalam Pakatan Rakyat, jangan harapkan muslimat ini memimpin bagi mengeluarkan idea-idea dan gagasan yang bermanfaat kepada rakyat.

Untuk memecah sikap Muslimat yang dikatakan 'konvensional' ini, adakah perlu lebih ramai Muslimat berada dalam kepimpinan PAS Pusat?

Itu salah satu cara. Dalam mana-mana organisasi terdapat pelbagai cara untuk memperkasa kepimpinan Muslimat. Salah satu caranya, memang pucuk kepimpinan parti di peringkat mana pun, kedudukan muslimat ini perlu diperkukuh dan diberikan ruang.
Kita menyebut 30 peratus dalam peringkat membuat keputusan adalah logik mengikut masyarakat Malaysia untuk memberikan ruang kepada Muslimat. Tetapi kita sedar sekiranya Muslimat tidak berupaya untuk meningkatkan kemampuannya, mana mungkin kepimpinan di peringkat kawasan, negeri atau pusat dapat memberi peluang yang sama luas.
Justeru, salah satu cara selain kita mengharapkan ruang yang diberi oleh kepimpinan muslimin, lapisan aktivis atau Muslimat itu mesti tahu pemimpin yang bagaimana boleh membawa lonjakan dalam kewujudan Muslimat dan pemimpin yang boleh membawa idea ke depan.
Tidak cukup dengan ramai ustazah, maka iadianggap sudah selesai. Tetapi kita mahu pemimpin yang betul-betul berjiwa segar dan mantap ke hadapan yang boleh mengisi agenda pemerkasaan wanita itu sendiri.
Almarhum Dato' Fadzil Noor pernah mengatakan kena belajar tasawur Islam. Bagi saya Muslimat di semua peringkat hari ini kena berani melihat kepimpinan yang berupaya membawa kebangkitan Muslimat itu sendiri.
Jika tidak, Muslimat akan berasa sudah cukup. Ini masalah yang akan memberi impak pada perjuangan kita pada masa datang yang lebih hebat terutama sekiranya kita memegang tampuk pemerintahan pada peringkat persekutuan. Ini mesti difikirkan Muslimat secara bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia yang memilih parti Islam.

Walaupun saudari ada menyebut Muslimat masih di peringkat konvensional, tentu ada kejayaan Muslimat yang boleh membanggakan PAS?

Sungguhpun Muslimat masih di peringkat konvensional kita tidak dapat nafikan Muslimat menyumbang kejayaan PAS selama ini. Kejayaan tersebut khususnya dalam gerak kerja politik pilihan raya sebab mereka inilah yang bergerak dari rumah ke rumah.
Dan kita percaya, komitmen, konsisten serta sikap istiqamah yang Muslimat tunjukkan ini, barulah berupaya menunjukkan lonjakan yang besar. Ini yang boleh kita banggakan. Bukan kita kata Muslimat tidak buat kerja. Dan kita lihat Ahli Parlimen dan Adun di kalangan Muslimat semuanya memainkan peranan yang kadang-kadang daripada satu sudut jauh lebih hebat daripada wakil rakyat muslimin.
Jika kita lihat buat masa ini belum ada komplen daripada pengundi tentang wakil rakyat muslimat PAS. Ini sesuatu yang boleh dibanggakan. Jika sewaktu Ustazah Jamilah menerajui kepimpinan muslimat, beliau banyak membawa masuk golongan profesional. Itu juga boleh dibanggakan. Begitu juga dalam kebangkitan rakyat, penyertaan Muslimat juga boleh dibanggakan.

Maksud saudari?

Maksudnya, ia mesti diterjemahkan dengan keberanian yang dibawa ke lokaliti di tempat masing-masing. Dan apabila ini dilakukan, usaha untuk mengambil alih kerajaan daripada rejim BN akan menjadi lebih mudah. Kita tidak kata gagal dan kita juga tidak kata berjaya.
Terlalu banyak ruang dalam kelompok perjuangan Muslimat ini yang kita boleh garap dan buat anjakan berganda. Secara sejujurnya kita boleh katakan golongan muslimat adalah golongan yang konsisten dan memberi komitmen. Golongan ini jika diberi pengisian dan kemahiran yang jauh lebih baik, mereka akan lebih bermanfaat pada parti.

Penubuhan Kelab Penyokong PAS merupakan salah satu medium untuk PAS mendekati golongan bukan Islam. Bagaimanapun dapat dilihat kurang penyertaan golongan wanita bukan Islam dalam kelab ini. Apa strategi Muslimat?

Cabaran untuk mendekati golongan bukan Islam terletak pada PAS itu sendiri kerana sekarang ini golongan bukan Islam telah mula memberi sokongan terhadap PAS. Tanggung jawab kita adalah berdakwah dan mengajak perhambaan kepada Allah.
Bagi saya, perhubungan Muslimat dengan golongan wanita bukan Islam ini masih kurang. Contohnya Kelab Penyokong PAS yang bergerak adalah di kalangan lelaki. Penyokong PAS di kalangan wanita masih belum diuruskan sebaik-baiknya. Inilah cabaran kepimpinan Muslimat pada masa akan datang.

Maknanya penyertaan golongan wanita bukan Islam dalam Kelab Penyokong PAS perlu digiatkan oleh Muslimat?

Kalaulah Kelab Penyokong PAS kalangan Pemuda sudah sedia ada, kenapa kita tidak menggerakkan Kelab Penyokong PAS di kalangan wanita? Inilah yang perlu diambil tindakan oleh kepimpinan Muslimat selepas ini.
Dalam mendekati golongan bukan Islam ini, maaf cakap, kebanyakan muslimat menolak program berbentuk kebudayaan seperti tarian. Jadi, kebijaksanaan muslimat sebagai pemimpin politik dalam sebuah negara majmuk mesti diseimbangkan kepada wanita-wanita bukan Islam.
Kita juga harus memberi ruang dan peluang untuk mengamalkan budaya dan pada masa yang sama mereka bersama dengan kita. Ia memerlukan kepimpinan Muslimat yang jauh bersifat terbuka dan faham kepada waqi' dan keadaan semasa bersifat fatanah. Kita tidak boleh mengendalikan wanita bukan Islam sebagaimana kita mengendalikan muslimat PAS. Ia perlu dibincangkan secara bersungguh-sungguh sebab fasa 50 tahun seterusnya adalah fasa PAS memimpin kemajmukan politik dalam negara.

Apa yang telah saudari sebutkan tadi, ialah beberapa langkah yang perlu dilakukan Muslimat PAS dalam menuju era globalisasi?

Itulah yang perlu dilakukan. Muslimat PAS tidak salah untuk belajar serta melihat kekuatan yang ada daripada rakan-rakan lawan dalam politik seperti Wanita Umno. Bukan hendak memuji tetapi kekuatan yang mereka ada ialah mereka boleh membawa golongan cerdik pandai dalam kepimpinan Wanita Umno dan mereka bersikap terbuka serta tidak timbul sama ada Umno tulen atau tidak.
Atau tidak timbul isu yang ini cukup tarbiyah dan yang ini tidak cukup tarbiyah. Apa yang penting bagi mereka ialah dasar perjuangan parti boleh membawa kebaikan.
Jadi tidak sewajarnya timbul isu ini PAS baru dan ini PAS lama serta ini tarbiyah PAS dan ini bukan tarbiyah PAS. Atau yang hanya tarbiyah PAS sahaja boleh memimpin dewan-dewan. Ini kita tidak boleh terlampau rigid sebab kita ini badan politik dan dasar PAS itu Islam dan boleh terima dan bersedia untuk belajar sejarah perjuangan PAS.
Dan sesiapa yang ingin bersama PAS wajar diterima dengan berlapang dada dan jiwa terbuka. Kita berharap dengan gabungan ini semua akan membantu membawa lonjakan dalam perjuangan Muslimat PAS.

Tiada ulasan: