KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 08, 2009

Geng 10 berjaya pengaruhi Najib Tun Razak ketepikan MB Terengganu!



TINDAKAN 10 ADUN BN memboikot persidangan DUN Terengganu pada 13 hingga 15 April 2009 lalu dianggap sebagai satu usaha menyekat Presiden Umno yang juga Perdana Menteri (PM) tidak mengekalkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, tulis Idris Samad.

Menurut cerita mereka yang rapat dengan 10 ADUN ini, memang ada arahan dari 'ketua Geng 10 ini' supaya memulakan langkah menyukar Ahmad untuk kekal sebagai Menteri Besar, jika pun bukan sekarang, tetapi sekurang-kurang, selepas PRU 13, itu pun jika BN masih menang.

Nampaknya usaha Geng 10 ini sudah berjaya. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terpengaruh dengan asakan Geng 10 ini yang membolehkah mereka yang rapat dengan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh membayangkan kepada penyokong mereka, hayat politik Ahmad Said sudah semakin pendek.

Dari segi politiknya, Umno Terengganu tidak mempunyai apa-apa krisis jika Idris masih menjadi MB Terengganu hari ini. Krisis ini bermula apabila Idris tidak mahu memilih ketua-ketua Umno bahagian, kecuali dirinya bertanding di peringkat DUN.

Entah macam mana, dalam Idris membuang semua ketua bahagian dari bertanding di peringkat DUN, dia terlepas pandang apabila Ahmad yang berpewatakan ‘budak kampung’ boleh terus bertanding di DUN Kijal.

Barangkali, Idris membayangkan, jika bukan dia menjadi MB Terengganu, mungkin ada timbalan-timbalan ketua bahagian yang merupakan budak-budak dia dilantik menjadi MB tetapi, apa yang dirancangkan tidak menjadi.

Idris sebenarnya sudah tahu, dia bermasalah dengan pihak istana kerana selama empat tahun menjadi MB, cerita-cerita kurang enak mengenai pembangunan dan pembaziran telah berlaku.

Namun, Idris berjaya menyakinkan PM ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, setakat ini di Terengganu, selain Idris yang boleh menjadi Menteri Besar, tidak ada lain-lain calon. Lagi pun, mungkin Idris membayangkan kepada Abdullah, kalau mahu dilantik sesiapa menjadi MB Terengganu, biarlah di kalangan ketua-ketua bahagian dan kebetulan ketua bahagian ketika itu yang menjadi ADUN, hanya dia dan Ahmad.

Ketika itu, cerita di Kuala Lumpur, Tun Abdullah lebih berminat melantik Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menggantikan Idris. Namun, dalam PRU 12, nama Wan Ahmad Farid tidak ada dalam senarai ADUN malahan, dia tidak bertanding langsung kerana ketika itu kerusi Parlimen, diletakkan (Allahyarham) Datuk Razali Ismail.

Betullah seperti kata Ahmad Said, apa yang dilakukan oleh Geng 10 terhadapnya tidak dianggap sebagai ancaman kerana ketika beliau menghadapi masalah isu perlantikan Menteri Besar lebih dahsyat lagi.

Namun, Setiausaha Kelab Penyokong BN DUN Terengganu, Alias Abdullah dalam satu kenyataannya, seperti dipetik berkata, mereka semua melakukan pemboikotan itu bukan atas permintaan Idris Jusoh kerana tanpa arahan Idris pun mereka boleh melakukannya.

“Kalau tidak ada Idris kami pun boleh buat juga… seolah-olah kami tidak berwibawa. Anda ingat kami wakil rakyat ‘cap ayam’ macam Menteri Besar sekarang,” katanya.
Kalau benarlah Alias bercakap sedemikian, ia secara tidak langsung mengesahkan pandangan Geng 10 terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai ‘pemimpin cap ayam’ dan Alias bersama-sama Geng 10, dan tentunya termasuk Idris dan Wan Hakim anak kepada Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, kononnya bukan ‘cap ayam’.

Disebabkan mereka menyangka mereka bukan cap ayam, sedangkan Menteri Besar, Exco dan ADUN-ADUN yang tidak bersama Geng 10 semuanya cap ayam, mereka mulalah mengadakan ‘roadshow’ untuk membedal kepimpinan cap ayam.

Alias tersilap. Kalau sudah tahu kepimpinan yang ada cap ayam, kenapalah mereka tidak menyertai PAS. Pastikan Pas boleh memerintah Terengganu kerana itulah cara terbaik untuk meredakan kemelut politik di Terengganu.

Kenapa masih mahu menyokong Umno. Kalau Alias masih mahu bersama Umno sedangkan dia tentunya tahu, sebagai ADUN yang bukan cap ayam, mana mungkin dia dan Geng 10 akan terpilih lagi dalam PRU 13 akan datang?

Kalau terpilih pun, mana boleh menang kerana kemelut yang melanda sekarang sudah cukup membuktikan bahawa Umno tidak boleh diberi peluang lagi memerintah Terengganu. Kalau masih diberi peluang, mereka akan bergaduh sama sendiri hingga rakyat diabaikan.

Alias dan Geng 10 sudah membuat pelbagai pendedahan. Antaranya, pengagihan jawatan dalam GLC dan perlantikan JKKK serta penyelaras DUN. Kecil betul perjuangan ADUN bukan cap ayam dalam BN ini rupanya. Asyik bercakap soal perut dan kuasa sahaja.
Ketika Ahmad dikatakan ‘turun pangkat’ kerana jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu kini ditarik balik dan diserahkan kepada Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Geng 10 dikatakan masih berharap Perdana Menteri dapat menurunkan Ahmad dari kerusi MB Terengganu dalam masa terdekat.

Geng 10 berkampung di Kuala Lumpur untuk menyakinkan Najib dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin supaya menyelamatkan Umno dan BN Terengganu dengan menurunkan Ahmad dari ‘takhta’.

Sedikit sebanyak usaha itu berkesan. Kesan pertamanya, Ahmad tidak lagi menjadi Pengerusi Perhubungan dan khabarnya barisan kepimpinan Umno Negeri akan dirombak oleh Hishammuddin.

Geng 10 cukup berhasrat mengenepikan Setiausaha Badan Perhubungan, Datuk Rosli Mat Hassan, Ketua Penerangan, Datuk Zubir Embong dan Bendahari, Datuk Roslan Awang Chik.

Bagi Geng 10, kekuatan Ahmad, selain dirinya sendiri, dibantu oleh Rosli. Mereka percaya, jika Rosli boleh dicabut jawatannya, tempanglah Ahmad di mata umum.
Ini yang Geng 10 sedang berhempas pulas melakukannya sekarang. Di peringkat negeri, mereka adakan roadshow, di Kuala Lumpur, habis setiausaha-setiausaha PM dan TPM mereka ‘panjat’ untuk membawa cerita buruk mengenai Ahmad dan antara cerita yang paling menarik bagi mereka ialah dua orang guru sekolah rendah dilantik memegang jawatan penting dalam GLC dan seorang bekas pemandu ambulan dari Kemaman dilantik menjadi Pengerusi sebuah GLC yang cukup besar.

Sementara itu, salah seorang dari anggota Geng 10, Datuk Rosol Wahid dalam blognya mengharapkan Hishammuddin memulakan langkah menggerakkan Umno Terengganu dengan membina rangkaian kerja melalui Din Adam yang merupakan anggota Geng 10.

Tiada ulasan: