MUQADIMMAH: Retreat PAS yang diadakan di Kedah pada 18, 19 dan 20 Julai lalu telah menyelesaikan salah faham tentang Kerajaan Perpaduan selain membincangkan isu munaqasyah ucapan dasar Presiden. Perbincangan penuh kekeluargaan itu dilihat bakal melajukan ayunan PAS bergerak ke hadapan. Ikuti Interbiu Eksklusif WAN NORDIN WAN YAACOB dengan Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali di Pejabat Urusan Harakah pada 21 Julai lalu mengenai hasil retreat di Kedah baru-baru ini.
Pertamanya boleh Dato' ulas perkembangan sewaktu 'retreat' PAS di Kedah baru-baru ini, apa hasilnya dan apa permbaharuan yang dibuat PAS sebaik selesai permukiman tersebut?DATO' MUSTAFA ALI: Tujuan utama 'retreat' ialah untuk membincangkan ucapan dasar Presiden PAS sewaktu Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam baru-baru ini. Ia sememangnya satu program yang tiap-tiap kali kita adakan selepas muktamar. Tentang munaqasyah ucapan dasar dan kemudian ketua penerangan akan membuat satu perbincangan untuk kita jelaskan kepada ahli di bawah.
Soal munaqasyah ini dibuat dalam retreat supaya perbincanagn mengenai apa yang kita follow up untuk diperturunkan ke bawah dari segi pelan bertindaknya. Biasanya ada satu semacam seminar atau munaqasyah di peringkat pusat tentang ucapan dasar itu, tetapi kali ini kita tak buat ini kerana kita bincangkan pada retreat di Kedah.
Apa yang perlu kita lakukan itu akan disusuli dengan perbincangan atau munaqasyah di peringkat negeri-negeri selepas ini bermula Ogos nanti dengan kehadiran pimpinan PAS Pusat.
Mereka akan diisi dengan program ini secara berjadual, Ogos ini akan lengkaplah di setiap negeri. Kita angggap ucapan dasar ini sebagai satu pandangan menyeluruh pendirian parti, hala tuju parti yang diucapkan sewaktu muktamar.
Apakah ia dapat difahami secara mendalam jika tanpa sebarang penjelasan lebih lanjut di peringkat negeri dan seterusnya? Apakah ia dapat benar-benar sampai ke bawah untuk dilaksanakan? Inilah yang mahu lakukan dari segi pelan pelaksanaan itu di peringkat negeri, dan diteruskan di peringkat bawah termasuk dewan-dewan negeri dan kawasan, itu antara yang utama kita bincangkan.
Adakah isu Manek Urai turut dibincangkan?Retreat ini secara kebetulanlah dibuat selepas Pilihan Raya Kecil Manik Urai. Sebenarnya kita telah lama membincangkan retreat ini, sebelum pilihan raya Manik Urai lagi. Maknanya sebaik habis muktamar kita dah rancang.
Memanglah pilihan raya itu berjalan tetapi retreat ini bukanlah wadah utama untuk membincangkan Manik Urai. Tetapi kita mendapat laporan di retreat itu awal daripada Pengarah JPP, Ustaz Halim Abdul Rahman berkait dengan perjalanan penilaiannya, tetapi itu sebagai satu laporan awal. Jadi kita buat keputusan satu post mortem di peringkat pusat akan diadakan untuk lihat dari pelbagai sudutlah. Sebab post mortem ini memang kita kena lihat dari pelbagai sudut.
Apa faktor yang menyebabkan PAS menang tipis?Memang kita alami kemenangan yang tipis di Manek Urai tetapi kita perlu juga melhat apa faktor-faktor yang mungkin sebabkan hal demikian itu. Biasanya berdasarkan pengalaman saya, sebagai yang pernah buat post mortem dia tak boleh lari dari dua faktor iaitu faktor dalaman dan luaran.
Luaran ini kalau kita kata ada dari sudut BN ini lumrah. Mereka gunakan agensi kerajaan dan rasuah. Ini sebagai satu lumrah dalam mana-mana pilihan raya kecil atau umum. Ia bukan rahsia umum, cuma faktor luaran ini faktor yang didatangkan oleh lawan kita di luar dari kemampuan untuk menyekatinya. Dikatakan misalnya janji nak buat macam-macam, ini luar kemampuan untuk kita atasinya.
Namun, persoalannya apakah janji-janji ini mampu untuk ditunaikan itu yang kita kena perhatikan, atau berkesan kepada pengundi. Ini kita kena lihat apakah ia menyebabkan pengundi tertarik dengan janji itu sedangkan janji-janji seperti ini biasa ditabur BN dalam pilihan raya.
Jadi ada banyak sudut yang kita kena lihat. Dalam laporan awal Manek Urai, ada menyatakan sokongan pengundi muda yang agak beralih. Adakah berlaku perubahan besar? Pengundi luar bagaimana? Ini faktor yang perlu dilihat. Dalam waktu singkat selepas pilihan raya ini kita tak boleh buat laporan serta-merta. Kita tak akan dapat satu keputusan yang lengkap, yang menyeluruh dan objektif. Justeru perlu kepada satu post mortem.
Apa pula faktor dalaman yang Dato' boleh kaitkan?Faktor dalaman pula, PAS kena lihat kalau ada faktor yang boleh melemahkan jentera kita sendiri, yang disebabkan oleh kita yang bukan kerana orang lain. Tetapi kelemahan yang berlaku dalam PAS itu sendiri, ini kita kena lihat adakah ia faktor yang menyebabkan kemenangan tipis ini perlu dilihat oleh jawatankuasa ini.
Jadi kita dah lantik pengerusi iaitu Naib Presiden, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man untuk ketuai post mortem ini dan beliau sendiri akan membentuk kumpulan bedah siasat. Di peringkat Kelantan sendiri juga akan buat post mortemnya sendiri. Kita akan lihatlah apa hasil yang akan diperolehi nanti.
Selaku bekas Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, tentunya Dato' ada pengalaman mengenai post mortem ini. Apakah mungkin pandangan awal Dato' tentang punca menang tipis di Manik Urai?
Pertamanya tak adil nak buat satu penilaian yang objektif sebab PRK kali ini mungkin secara kebetulan saya tak terlibat secara lansung sebagaimana pilihan raya sebelum ini. Kita ada dua jentera. Satu di peringkat negeri dan satu di Pusat.
Biasanya jentara Pusat itu JPP selaku Pengarah Pilihana Raya memainkan peranan yang pentinglah, bersama-sama dengan negeri mengatur strategi dan jentera. Kita putuskan jentera hanya di peringkat negeri tiada dua lapis, yang biasa kita buat seperti di Bukit Gantang dan Kuala Terengganu.
PAS ada dua peringkat sebagaimana BN ada pengarah negeri dan pusat. Kita kali ini tiada di pusat yang ada di negeri. Keterlibatan saya itu tak mungkinkan saya buat penilaian yang mendalam dan adil. Kita tunggu hasil laporan post mortem itu.
Berbalik kepada retreat, apakah agenda PAS dari sudut pemerkasaan parti?Pemerkasaan dalam parti ini banyak perkara. Dalam retreat ini kita ada banyak komponen pertamanya munaqasyah ucapan dasar Presiden. Sebelum itu dimulakan dengan Mesyuarat PAS Pusat itu sendiri.
Dalam mesyuarat itu beberapa program parti telah dikemuka dan diluluskan, antaranya yang telah dikemukakan oleh Lajnah Pemerkasaan Parti yang diketuai, Salahuddin Ayub (Naib Presiden). Apa yang dicadangkan untuk dilakukan berhubung pemerkasaan parti, kita boleh lihat banyak sudut pemerkasaan, persoalan organisasi dan keterlibatan tenaga yang gerakan perjuangan untuk dimantapkan. Itu pemerkasaannya.
Saya sendiri secara konseptualnya melihat parti ini ada empat komponen. Pertama dasar parti dari dasar ini, saya lihat dah jelas dan dah difahami semua. Dasar kita dahulu hingga kini tak berubah.
Kedua, organisasi bagaimana is disusun bermula dari Majlis Syura, Jawatankuasa Pusat, dewan-dewan di peringkat Pusat, dan perhubungan negeri seterusnya dewan-dewan di negeri dan kawasan serta cawangan. Ini organisasi, kalau pemerkasaan itu untuk organisasi inilah ruang lingkupnya.
Ketiga, soal tenaga yang akan menggerakkan PAS samada bermula dari atasnya iaitu Mursyidul Am hingga Presiden dan hingga ke bawah bergerak cergas dan mantap. Seterusnya soal taktik dan strategi. Bagaimana kita teruskan dalam perjuangan ini. Tiga benda boleh berubah, organisasi, tenaga, taktik dan strategi tetapi dasar kita tetap tak berubah dan sejak dahulu hingga kini PAS terus dengan dasarnya.
Taktiknya, kita kena tahu PAS ini sebagai satu parti yang bukan sahaja politik tetapi dakwah. Semasa pilihan raya kita jalankan kedua-duanya. Jika tiada pilihan raya pun kita akan terus bergerak dengan dakwah ini. Kita bukan sahaja berpolitik dalam pilihan raya, kita juga berdakwah untuk menjelaskan Islam. Dakwah dan politik sekali jalanlah.
Dalam konteks politik pula bagaimana?Soal masuk pilihan raya, adakah kita masuk sendirian, atau masuk dengan kerjasama politik Pakatan Rakyat atau sebelum ini dengan Semangat 46. Ini satu startegi. Akhirnya dalam retreat kita putuskan terus bersama Pakatan Rakyat. Ini tiada berubahlah, tiada khilaf lagi.
Ini perlu dikukuhkan dan perkasakan. Memperkasakan parti, kita bukan sahaja perkasakan organisasi dan jentera, tetapi kita juga memperkasakan Pakatan Rakyat itu sendiri terutamanya dalam menghadapi pilihan raya ke-13 ini.
Tak berbangkit lagilah, ada juga yang tanya pasal Kerajaan Perpaduan. Tetapi ini telah dijelaskan dan telah diselesaikan. Menghadapi Pilihan Raya ke-13 ini kita akan terus bersama dengan Pakatan Rakyat. Tentang Kerajaan Perpaduan ini kita dah tutup buku. Sudah selesai dalam retreat baru ini, masing-masing boleh bercakap secara terbuka dalam retreat baru ini. Pimpinan pun telah jelaskan.
Soal Kerajaan Perpaduan telah selesailah?Salah tanggapan kita telah selesaikan, bincang secara terus. Kita dah bincangkan.
Adakah satu jawatankuasa yang dibuat untuk memantau perjalanan negeri-negeri yang ditadbir PAS?Kita ada semacam satu jawatankuasa penyelaras negeri Pakatan Rakyat, parti-parti tetapi oleh kerana ini baharu, ia belum lagi dibuat. Dalam suasana yang sepatutnya kita akan lihat fungsinya berjalan sejauhmana berkesan atau tidak.
Tetapi jika ada masalah berbangkit, pimpinan negeri itu akan bincang dengan pimpinan komponen Pakatan Rakyat di negerilah. Sepanjang 16 bulan dapat selesaikan masalah ini, isu babi di Kedah telah selesai oleh kerana ditangani baik oleh Ustaz Azizan.
Isu dalam negeri tak libatkan komponen. Isu Kampung Buah Pala di Pulau Pinang tak libatkan parti komponen. Itu mereka selesaikanlah. Yang lain dari semasa ke semasa kita kena lihat.
Hubungan Pakatan Rakyat setakat ini bagaimana?Saya rasa pada waktu ini hubungan baik, tetapi perlu diperkemaskan kerana saya lihat hubungan ini diperingkat Pusat kerana kita selalu bertemu antara pimpinan Pakatan, tetapi di negeri mungkin belum semantap yang perlu diwujudkan justeru kena mantapkan lagi.