AJK PAS Pusat, Anuar Tahir menyifatkan orang Melayu kurang mendapat didikan awal untuk mencintai demokrasi terutama daripada pemerintah yang mentadbir negara ini. Tambahnya, hak rakyat khususnya dalam menyatakan perbezaan pendapat, menbantah atau memprotes apa yang tidak selari dengan kehendak rakyat diberi tekanan hebat oleh kerajaan Umno-BN sejak mencapai kemerdekaan lagi.
Misalnya, kata beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, pegawai kerajaan diberi tekanan secara halus dengan menandatangani aku janji membuatkan mereka tidak berani untuk bersuara. "Apa yang boleh diibaratkan 'bagai mentimun dengan durian' mereka hanya mampu mengikut arahan pemimpin," katanya kepada Harakah.
Mengulas kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Umno mengatakan nisbah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40), katanya apa yang berlaku itu mesti ada penyebabnya dan ianya tidak mungkin terjadi begitu sahaja. Jelasnya, kekangan kerajaan Umno-BN dari awal termasuklah peringkat mahasiswa membuatkan anak-anak muda tidak merasakan adanya kepentingan dan hak mereka mengundi, sedangkan orang lain yang bukan majoriti tahu hak mereka.
Selain itu, tegas Anuar, kegagalan media Melayu untuk menjelaskan kepentingan dan hak rakyat gagal sebaliknya, ia lebih menekankan hiburan semata-mata berbeza dengan media bukan Melayu yang mencanangkan pemikiran kritikal.
"Media ini memandulkan pemikiran orang Melayu, sehingga mereka tidak berfikir secara kritis," katanya. Oleh sebab itulah, tegas Anuar, orang Melayu mengambil jalan mudah tidak perlu bersusah payah untuk memikirkan soal politik negara.
Justeru, katanya, jika benar kajian itu, semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa bersama-sama berusaha untuk mengambil berat tentang hak dan tanggungjawab mereka khususnya dalam soal pentadbiran negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan