KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 20, 2009

Sebenarnya rakyat sudah muak dengan ISA kata GMI


MUQADIMMAH: Selesainya Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak berlengah untuk meneruskan kempen dan menyemarakkan 'mood' rakyat menjelang Himpunan MANSUH, 1 Ogos depan. Bertepatan dengan tarikh 1 Ogos akta zalim itu digubal, 49 tahun lalu, GMI melalui Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh giat menjalankan 'kerja-kerja akhir' bagi memastikan himpunan tersebut berjaya. Wartawan ANIS NAZRI ada butirannya.

Debaran 1 Ogos semakin hampir, yang sebelum ini 'mood'nya dilihat tidak begitu marak ekoran kempen Pilihan Raya Kecil Manek Urai, isu PPSMI dan isu-isu lain. Justeru, dalam tempoh yang singkat ini, apakah pelan akhir GMI bagi menarik sokongan rakyat untuk turun 1 Ogos nanti?

SYED IBRAHIM: Kita akan teruskan dengan ceramah-ceramah kempen, yang sebelum ini sudah kita jalankan di seluruh negara. Cuma, kebelakangan ini agak perlahan kerana faktor yang disebutkan tadi.
Selepas selesai pilihan raya Manek Urai, kita teruskan dengan edaran risalah dan poster di tempat-tempat awam seperti di pasar malam, stesyen LRT, masjid-masjid dan di mana sahaja yang merupakan tumpuan umum. Selain itu, edaran poster dan risalah juga sedang giat dilakukan di negeri-negeri bagi memaklumkan program tersebut selain meminta mereka turun menyokong perhimpunan tersebut.
GMI juga kini dalam pertemuan dengan wakil-wakil mahasiswa, NGO, persatuan Cina dan India bagi menggerakkan ahli-ahli di bawah organisasi mereka untuk turut menyertai perhimpunan anti-ISA itu. Begitu juga pertemuan dengan Majlis Peguam.
Melalui media alternatif pula, kempen-kempen sudah digerakkan di blog-blog tertentu, selain di Harakah dan Malaysiakini, serta beberapa media baru yang lain yang dilihat dapat membantu ke arah mendapatkan seramai mungkin penyokong pada hari tersebut.

Bagi pandangan tuan, apa bezanya himpunan ini dengan himpunan-himpunan anti-ISA yang lain, serta mengapa rakyat Malaysia perlu hadir menyatakan sokongan kepada himpunan MANSUH ini?

Himpunan ini merupakan himpunan kemuncak kepada hak rakyat untuk menyatakan pendirian mereka mengenai akta ini. Himpunan sebelum ini mungkin hanya ceramah, kutipan dana dan lebih berbentuk dalaman, tetapi kali ini ialah hasrat dan suara rakyat untuk menyampaikan 'Deklarasi Rakyat' kepada pihak istana.
Rakyat perlu sedar, selagi ISA ini wujud di negara ini, rakyat Malaysia sebenarnya masih dalam ancaman kerana akta ini tidak mengira sesiapapun. Mereka yang ditahan sama sekali tidak berpeluang menghubungi peguam, selain hak untuk membela diri yang wajar mereka terima.
Rakyat juga diingatkan supaya tidak terpedaya dengan pembebasan 'segelintir' tahanan ISA dan juga cadangan untuk mengkaji semula akta itu seperti yang disuarakan Perdana Menteri, Najib Tun Razak. Apa ertinya membebaskan hanya beberapa orang, tapi dalam masa sama menahan yang lain?
Begitu juga dengan cadangan untuk mengkaji semula akta itu yang dilihat tidak dibuat secara menyeluruh. Perkara atau terma penting seperti 'penahanan tanpa bicara' tidak pernah mahu dikaji semula. Jadi, bagi GMI selagi ada ISA, maka rakyat Malaysia masih hidup dalam ancaman.

Sekiranya himpunan ini berjaya mencapai sasaran pendokong untuk turun 1 Ogos nanti, bagi pandangan tuan adakah ia memberi impak kepada kerajaan untuk memansuhkan akta ini?

Ya, bagi saya ia sudah tentu akan memberi impak kepada kerajaan untuk memansuhkan akta itu, setidak-tidaknya ia memberi mesej kepada kerajaan bahawa rakyat memang tidak mahukan akta ini lagi. Sedangkan sekarang, boleh dilihat bahawa akta itu semakin ditentang pelaksanaannya, hatta parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri, iaitu Parti Gerakan melalui sayap pemudanya memberikan komitmen dan sokongan kepada GMI.
Kita tahu, kerajaan tidak akan memansuhkannya serta-merta. Apa yang jelasnya, kita mahukan kerajaan mendapat signal dan mesej jelas dari rakyat yang bangkit menyatakan bantahan berhubung akta itu.
Saya mengharapkan perubahan sebenar yang dikatakan Najib di awal ketika memegang jawatan PM dulu. Beliau berkata mahu memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara. Secara asasnya, kita bukan tidak berusaha dengan cara lain seperti rundingan, memorandum dan sebagainya, tetapi tidak pernah dilayan sebaik mungkin. Jadi, inilah (himpunan) kemuncaknya kita dan rakyat menyatakan suara kita.

Seperti perhimpunan Bersih dan PPSMI sebelum ini mencatatkan sejarah apabila rakyat dan tokoh-tokoh penting negara dihadiahkan dengan semburan air kimia. Sehubungan itu, apa harapan tuan supaya perkara ini tidak berulang pada 1 Ogos nanti?

Seperti yang saya katakan tadi, saya harapkan perubahan yang dikatakan Najib. Beliau turut memperkenalkan slogan 'Rakyat diutamakan, pencapaian didahulukan'. Justeru, amat sesuailah slogan itu digunapakai sekarang. Saya mengharapkan kerjasama pihak kerajaan dan juga pihak berkuasa, khususnya pihak polis supaya memberi kerjasama sebaiknya kepada program itu.
Jika kerajaan atau pihak berkuasa bekerjasama dengan mengawal lalu-lintas serta membenarkan 'Deklarasi Rakyat' itu sampai ke Istana Negara, tidak akan ada masalah yang berlaku sebenarnya.
Perhimpunan ini adalah perhimpunan aman, di mana ia adalah ruang untuk rakyat berhimpun dan menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu isu. Di mana-mana negara sekalipun, demonstrasi atau himpunan yang mendapat kerjasama pihak berkuasa, tidak pernah berlaku kekacauan. Itu yang penting. Jadi, kami mengharapkan kerajaan sedar hakikat tersebut serta kerjasama pihak berkuasa amat diperlukan bagi memastikan segalanya bergerak dengan baik.

Setakat ini, siapa di antara pemimpin Pakatan Rakyat yang telah menyatakan persetujuan untuk turut serta dalam perhimpunan ini?

Alhamdulillah, setakat ini Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menyatakan komitmen mereka untuk turut serta dalam himpunan tersebut. GMI kini sedang menanti jawapan daripada KeADILan dan juga DAP.
Selain itu, Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim juga telah bersetuju untuk menghadirkan diri. Selain itu, wakil-wakil NGO di bawah GMI juga sudah ada yang menyatakan persetujuan untuk hadir.

Sebagai Pengerusi GMI, apa seruan tuan kepada rakyat Malaysia supaya turut bersama-sama menyertai himpunan ini bagi menyatakan bantahan mereka terhadap akta zalim itu?

Sememangnya kami dari GMI mengharapkan seramai mungkin rakyat Malaysia akan turun 1 Ogos nanti. Bukan sahaja kepada mereka yang merupakan penyokong tegar GMI, tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang bersimpati dengan keluarga tahanan ISA ini dan juga mereka yang membantah akta ini.
Jika selama ini mereka membantah ISA secara senyap-senyap, inilah masanya untuk turun menyatakan pendirian yang sememangnya hak mereka. Saya turut menyeru kepada bekas-bekas tahanan ISA, juga keluarga mereka untuk sama-sama bersatu hati bagi menyertai perhimpunan ini kerana perjuangan ini juga adalah sebahagian daripada mereka. Jelasnya, perhimpunan ini bagi memastikan keadilan dan hak rakyat Malaysia terpelihara seperti yang dijamin Perlembagaan Malaysia.

1 ulasan:

awang semutar berkata...

Memang wajar ISA dihapuskan. ISA warisan penjajah yang tidak relevan lagi masa kini.

ISA wajar diganti dengan yang lebih kemanusiaan, yakni yang bersesuaian dengan Islam.

Mesti ada alternatif kepada ISA dan pastikan lebih sesuai dengan keadaan setempat.