KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 23, 2009

Pemuda PAS kutuk pembunuhan wanita Islam di Jerman

DEWAN Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Marwa al-Sherbini, seorang muslimat warga Mesir yang mati ditikam oleh seorang pemuda di sebuah mahkamah di Jerman.

DPP Pusat mempersoalkan bagaimanakah insiden ini boleh berlaku di mahkamah, tempat keadilan ditegakkan. Dimanakah kawalan keselamatan terhadap mangsa dan suaminya. Mengapa semudah itu pembunuh menikam mangsa sebanyak 18 tikaman serta suaminya tanpa apa-apa tindakan pantas pihak keselamatan bagi menghalang tindakan tersebut.

DPP Pusat juga mengutuk tindakan pihak keselamatan menembak suami mangsa yang cuba menyelamatkan isterinya dari serangan pemuda tersebut.

Umat Islam melihat kes ini bersifat rasis (perkauman) dan cubaan menghidupkan sentimen anti Islam (Islamfobia). Sebelumnya, pembunuh tersebut telah didakwa di mahkamah kerana menghina wanita terbabit dengan mengaitkannya dengan pengganas. Apabila dia didapati bersalah, dengan sewenang-wenangnya pembunuh tersebut bertindak ganas dengan menikam mangsa bertubi-tubi tanpa apa-apa halangan dari pihak berkuasa.

Lebih menyedihkan suaminya pula ditembak oleh pengawal keselamatan hanya kerana menyelamatkan nyawa isterinya. Seolah-olah pihak berkuasa meredai tindakan pembunuhan ini!

Bagi mendapatkan keadilan, di samping menuruti hak asasi manusia, DPP Pusat mendesak kerajaan Jerman memohon maaf kepada umat Islam di atas insiden yang berlaku. Pembunuh tersebut mesti dihadapkan ke mahkamah dan dihakimi dengan seadilnya.

DPP Pusat menegaskan kejadian seumpama ini tidak harus berulang. Umat Islam tidak meredai tindakan zalim dan ganas ke atas sesiapa pun, justeru hargailah nilai kemanusiaan ini.

HJ NASRUDIN BIN HJ. HASSAN At TANTAWI
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pas perlu buat nota bantahan kepada kedutaan jerman di malaysia dan kALAU perlu demo sekali.