KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 01, 2009

Meneliti minat Dato' Paduka Husam Musa terhadap jawatan Timbalan Presiden PAS


BERIKUT kenyataan penuh yang disediakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa bertarikh 29 April 2009 yang diedarkan kepada media berkenaan sikap dan pendirian awal beliau terhadap pencalonan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan parti itu Jun depan. Ikuti teks penuh di bawah:

SEHINGGA hari ini saya rasa sebelum saya mengumumkan secara rasmi sama ada saya bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak. Saya perlu membuat pertimbangan terhadap beberapa perkara terlebih dahulu.

Faktor pertama ialah, saya harus meneliti harapan daripada PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden. Sejauh mana mereka mengharap supaya saya bertanding. Saya harus menghubungi PAS kawasan-kawasan yang telah memberikan pencalonan mereka untuk mengetahui sebab-sebab mengapa mereka merasakan saya perlu bertanding. Dan jika sebab itu valid, Insya Allah barulah saya buat keputusan secara muktamad.

Faktor kedua ialah, saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah.

Ketiga, faktor yang saya harus pertimbangkan adalah, adakah dengan penyertaan saya itu saya boleh mengukuhkan pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti, dan bagaimana cara saya boleh berperanan untuk tujuan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden PAS ditandingi sejak tahun 2005 dan sekali lagi pada tahun 2007. PAS tidak berpecah walaupun ada yang menang dan ada yang tewas.

Saya percaya bahawa tradisi dan nilai mulia dalam PAS masih kekal dan PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam soal pemilihan ini. Cuma ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam PAS.

Suka saya nasihatkan pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya menjaga etika sepanjang pemilihan ini supaya tidak memenuhi agenda media memperlihatkan PAS ini sama dengan Umno. PAS sebenarnya tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang cara kita bertindak boleh jadi silap dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-BN.

Kesilapan kita menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh melaga-lagakan antara sesama pemimpin, sedangkan agenda media jelas, mahu menyamakan antara PAS dengan Umno.

Bagi saya jika terdapat perkara, yang ahli-ahli ataupun mana-mana pihak dalam PAS rasa menyalahi disiplin PAS, mereka perlu memaklumkan kepada parti dan saya berharap pimpinan-pimpinan tertinggi parti tidak berdiam diri mereka mesti memperlihatkan satu tahap displin yang tinggi supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan yang boleh merosakkan imej PAS yang telah dibina selama ini termasuk termasuk perpaduan sesama ahli.

Pada pendapat saya, Pilihan Raya Umum ke 13 adalah satu pilihan raya yang kritikal kepada semua parti-parti politik utama dalam negara kita. Ianya adalah penentuan samada PAS boleh menjadi teraju utama menggantikan Umno dalam politik negara.

Ini bermakna pertandingan yang lebih kritikal adalah di antara PAS dengan Umno. Jika PAS berjaya mendapatkan kemenangan diatas kerusi-kerusi yang sekarang ini dipunyai oleh Umno, maka PAS boleh keluar sebagai the main anchor party pada masa akan datang.

Jadi tiga faktor inilah yang harus saya pertimbangkan dan rundingkan dengan PAS kawasan-kawasan, ahli-ahli, sebelum saya memberikan kata muktamad saya untuk bertanding.

Pada tahap ini, saya merasakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Walaupun terdapat beberapa nama lain yang dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden, saya fikir tiada masalah untuk mengadakan muqabalah rakan-rakan yang dicalonkan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada mana-mana calon yang lebih mustahak di kedepankan.

Jika PAS boleh membuat muqabalah dengan Umno, maka saya merasakan tiada sebab untuk tidak boleh berunding dengan calon-calon jawatan tertinggi dalam PAS.

Bagaimanapun setakat pemahaman saya, PAS sendiri tidak pernah secara rasmi mempunyai pendirian terhadap perkongsian kuasa dengan parti pemerintah yang sedia ada.

Oleh kerana tidak ada apa-apa ikatan rasmi maka saya fikir, jalan yang lebih munasabah bagi PAS ialah untuk memperkuatkan parti, mendapatkan sokongan di kawasan-kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh Umno.

Bagaimanapun, iika sekiranya arah tuju PAS dapat diperjelaskan dan tidak ada keraguan tentang hubungan hubungan sulit PAS dan Umno, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang-pemegang jawatan yang sedia ada.

Tetapi pada pendapat saya dari trend yang berlaku sekarang ialah wujudnya keraguan terhadap arah tuju PAS, dan masa kita singkat, saya yakin Pilihan Raya Umum ini akan dipanggil lebih cepat dan mungkin dalam tempoh 6 bulan hingga 12 bulan daripada sekarang.

Jika PAS teragak-agak untuk menentukan arah tujunya, maka PAS akan kehilangan peluang persiapan yang secukupnya.

Jelas Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak sudah membuat ketetapan untuk memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat. Kemudian dalam pilihan raya-pilihan raya kecil pun ada kenyataan dan usaha bersama untuk berdiri atas platform Pakatan Rakyat, itu adalah yang telah dimuktamadkan dan kita kena harus bergerak di atas format yang telah dimuktamadkan bagi memenuhi agenda tersebut.

DATO' HAJI HUSAM MUSA
NAIB PRESIDEN PAS
29 April 2009
Kota Bharu, Kelantan

12 ulasan:

TBO berkata...

Kalau Husam nak bertanding biarkan kan PAS mengambil kaedah demokrasi, ape pulak masalahnya,Ustaz Nasha nak pertahankan jawatan pun bagus, lepas tu siapa yg menang kalau tak buat koje dan tak perform di muktamar akan datang tahu le nasib deme. terpulang le kepada perwakilan nak pilih siapa, usah lerr dikomen dan diperli dalam blog para ustaz ke sape ke yang anti husam musa (so called grup erdogan le ape le). Sebab yg teman nampak Husam Musa tak komen dan kritik atau perli pun bloggers pAS dari kalangan Ustaz atau ulama mee celup atau ulama mee goreng yang pro pasal muqabalah dan muzakarah. teman nampak Husam cool aje ngape yg anti Husam lak ngelabah. Macam ustaz Mohd daud iraqi kata kita beri nasihat dan panduan, lepas tu terpulang le kepada perwakilan. Perwakilan PAS ke muktamar bukan nya deme "tengen" sampai tak tahu nak buat pilihan mana yang baik. Ape pun lepas Muktamar ni PAS akan bersatu dan bertaut kembali. Apa yg teman nampak sebenornya masing2 bersungguh2 menunjukkan minat dan usaha untuk memenangkan Islam, itu aje sebenornye. Usah ler kita perli orang tu kumpulan erdogan, pro muqabalah, pro muzakarah,pro anwar ibrahim, ulama mee celup,ulama mee goreng, lepas ni ade le pulak ulama mee sup dan jangan ade pulak ulama mee racun ( mee racun amat popular di KLuang, Johor). Ate moh le kite bersatu memperkukuhkan saf seperti satu abngunan yang kukuh untuk menumpokan UBN.

Allahu'alam

TBO berkata...

opps bangunan yg kukuh

Abu Razeen 2 berkata...

Datuk Paduka Husam adalah produk universiti terbuka Tok Guru.

Beliau amat digeruni oleh umno dan bn atas karisma beliau yg goncangkan lutut pemimpin umno dan hujah2 beliau yg sentiasa berasaskan fakta dan kajian yg selalu buat umno ternganga dan terkedu.

sbb itu umno taja propaganda anti erdogan spy org Pas yg tertipu dgn umno dpt jatuhkan Husam tanpa umno perlu bersusahpayah.

Sehinggalah seorang pemimpin Pas keluarkan kenyataan bahawa dunia perlu ramai lagi erdogan, barulah terkedu umno dan org Pas yg naive itu.

siapa pemimpin Pas itu? bacalah arkib Harakah . Sdr Tarmizi boleh bantu anda.

Tanpa Nama berkata...

sdr.Tarmizi Jam org Husam ke? oooo.....bukan main promosi...saja jolok ajer....sori

Tanpa Nama berkata...

Salam. Ini saya AGAK saje.

1. YB Hussan sebut gitu untuk naikkan sahamnya sebagai calon Timbalan Presiden.

2. Bila sampai masa YB akan umum TAK JADI, cukup untuk Naib Presiden aje.

3. Akan mudahlah untuk menang jawatan Naib Presiden.

4. Inilah congakan saya selaku ahli biasa kampung.

Tanpa Nama berkata...

Memang sangat benar PAS tak sama dng umNO tapi sesetengah pemimpin PAS nampak sama dng bekas2 umNO!

Tanpa Nama berkata...

........Sehinggalah seorang pemimpin Pas keluarkan kenyataan bahawa dunia perlu ramai lagi erdogan, barulah terkedu umno dan org Pas yg naive itu......

Bukannya kumpulan erdogan yg duk sibuk nak berkuasa jadi pemimpin, tapi yg duk sibuk memainkan peranan tanpa nama dlm bidang masing2 bagi membantu kepimpinan ulama!

Tanpa Nama berkata...

AKU TAK PERCAYA KATA SI MUSANG BERBULU AYAM NI....AYAT POWER KONON2NYA NAK TUNJUK BAIK LAH TU...HUSAM & GROUP LAH YANG PLG KUAT MENYALAK KAT TGHH BILA 16SEPT TAK JADI....SAWAN 16 SEPT TAK HABIS LAGI NI....

Unknown berkata...

Salam

Datuk Paduka Husam boleh bertanding.Apa yang perlu Datuk utamakan :-
1.Kekal kepimpinan ulama
2.Jangan jadikan diri ditakuti atau digeruni UMNO sebaliknya dihormati.Biar DAP,PKR,MCA dan MIC yang gerun dengan PAS kerana mereka bukan perjuang Islam sejati.
3.Datuk jangan abaikan Melayu Malaysia kerana Melayu di Malaysia adalah pendokong majoriti Islam.Dimanakah Islam nak diletak tanpa Melayu di Malaysia.Apakah kita nak letak dibahu benggali sink atau cina DAP atau MCA
4.Jangan mengikuti jejak PKR yang tahu cari salah UMNO tetapi tidak tahu membaikinya.Pkr tiada hala tuju dalam perjuangan.Matlamat mereka cuma Anwar menjadi PM.Awat lekeh sangatkah Tuan Guru Haji Hadi Awang.Beliau lebih layak dari Anwar menadi PM Malaysia.
Anwar bukan perjuang Islam yang TULEN kerana menubuhkan PKR (parti perbagai)bukan menyertai PAS demi memperjuangkan Islam.
5.Analisa kembali Bukit Gantang...Melayu tolak PAS kerana PKR.PAS menang kerana bukan Melayu.Kita jangan emosi dan jangan hipokrit.Post mortem untuk membaiki keadaan.Biar kita kalah tapi maruah tak tergadai.

ceparpuk berkata...

hidup husam........

TAAVEEKUN PERAK berkata...

Pemimpin PAS sanggup melihat Islam dan Melayu berpecah kerana mereka sangat yakin bahawa PAS boleh menjadi parti alternatif kepada orang-orang Melayu. Pemimpin PAS semakin yakin bahawa kaum Cina dan India mulai menyokong calon PAS. Mengapa mereka perlu bersatu dengan UMNO? Mereka beranggapan UMNO mulai menuju kehancuran atau lubang kubur.
Pandangan yang terlalu awal. Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ada masa naik dan ada masa turun. Ada masa air pasang dan ada masa air surut. Bergantunglah kepada keadaan dan masanya. UMNO mulai membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat. Pemimpin-pemimpin MT UMNO yang dipilih melalui Persidangan Agung UMNO kebanyakan pemimpin yang berani bercakap, berpendirian tegas, berwibawa dan bersih. PM, DS Najib telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang bersih dan berkemampuan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Beberapa dasar telah mengalami perubahan dan pembaharuan. Majlis perasmian yang bakal dihadiri oleh pemimpin kerajaan diringkaskan kerana lebih masa ditumpukan kepada perkhidmatan kepada rakyat. Sesuai dengan cogan kata di bawah pentadbiran DS Najib iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Jika UMNO dan BN mendapat restu rakyat pada masa akan datang bermakna Melayu terus berpecah.
Oleh itu pemimpin PAS mahu pun UMNO tidak perlu mendabik dada mengatakan parti masing-masing kuat. Sebenarnya NGOs dan orang Melayu tidak rela melihat bangsa Melayu semakin menuju kehancuran. Apakah Islam boleh terus berkembang maju jika bangsa Melayu hancur? Perjuangan Islam PAS sebenarnya samalah jua dengan perjuangan UMNO. Cuma pendekatan PAS dan UMNO mungkin sedikit berbeda dan apakah perbedaan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS bersatu kerana Allah. Jika PAS boleh menerima DAP sebagai rakan dalam pakatan, mengapa PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai pakatan dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Islam?

sinner berkata...

salam..

ketika perjuangan pas mula mendapat tempat di kalangan rakyat malaysia, barulah muncul wajah2 baru konon2nya layak menjadi pemimpin..di mana mereka ketika pas struggle dicemuh, dimaki, dikecam, hatta dr pihak anwar ibrahim sendiri? bila dah berjaya barula bermula era baru bla2.. adekah kita ingin mengikut kata2 rakyat semata2 untuk menang? bukankah matlamat kita mendengar kata2 kerajaan Agunung Allah untuk disampaikan ke seluruh rakyat? jgn sampai kita tidak mendapat tempat sbgai sbhgian pembantuNya di muka bumi..sebab terlalu mudah utk Dia menggantikan generasi degan gen yg lain.. cukup mudah!

Allahua'lam