SIDANG Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang menimbulkan kekecohan didakwa berpunca dari sikap kerajaan kudeta BN Perak yang tidak menghormati institusi Raja-raja dan dewan yang mulia, lapor Anis Nazri.
Kekecohan bermula apabila mereka mengingkari arahan Speaker Dun, V. Sivakumar supaya tujuh anggota dewan, termasuk Dato' Seri Zambry Abdul Kadir yang digantung keluar dari dewan.
Menurut AJK PAS Pusat, Ir Khalid Samad, sepatutnya Zambry dan enam anggota exconya menuruti perintah Sivakumar untuk keluar dari dewan, sebelum perasmian boleh dilakukan Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
"Zambry dan mereka yang digantung keluar dahulu dari dewan dan biarkan ucapan perasmian dilaksanakan. Kalau nak buat perkara samseng pun, tunggulah selepas Raja Muda selesai bertitah. Ini, Dun belum dibuka, mereka sudah tunjuk samseng. Siapa yang mencemarkan dewan sebenarnya? " soal beliau sebagai respons isu kekecohan sidang Dun Perak, 7 Mei lalu.
Menurut prosedur, jelas Khalid, Dun akan bersidang selepas selesai ucapan perasmian, namun tindakan BN yang enggan mematuhi arahan Sivakumar menjadi punca kekecohan tersebut.
Keadaan ini, katanya menambahkan lagi kekeliruan di kalangan rakyat, lebih-lebih lagi dengan kemasukan anggota polis yang ramai bagi 'membantu' BN menjalankan agenda terdesak mereka. Selain menimbulkan kekecohan itu, BN juga menghina kemuliaan dewan apabila bertindak membenarkan anggota polis memasuki dewan secara sewenang-wenangnya.
"Macam kes Penasihat DAP dulu, Karpal Singh yang dikepung sekumpulan Pemuda Umno di Parlimen, Speaker sendiri berkata polis tidak dibenarkan masuk. Itu di kawasan parlimen. Ini, bawa sampai ke dewan hingga mengheret Sivakumar keluar dewan.
"Hakikat bahawa polis bekerjasama dengan kerajaan kudeta BN jelas terbukti, lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas Adun Sungkai, Dato' R. Ganesan yang tidak ada kena-mengena dengan dewan dibenarkan berada di dewan yang mulia itu," jelas Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.
Sehubungan itu, Khalid berkata kelantangan Zambry menyatakan Adun Pakatan Rakyat biadap bertujuan mempertahankan dan menyembunyikan kerja samseng mereka sendiri. Tanpa disedari, apa jua tuduhan yang dilemparkan Zamry itu kepada Pakatan Rakyat sebenarnya dilakukan sendiri oleh mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan