KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 12, 2009

Status Quo: Mahkamah Rayuan benarkan penangguhan keputusan kepada Zambry



DATO' Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan lawannya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, lapor Bernama tengahari tadi.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali hari ini yang membenarkan permohonan Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hakim Ramly juga berkata mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.

Katanya beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

"Ini adalah kes yang amat unik kerana ia bukan sahaja melibatkan Dr Zambry dan Mohammad Nizar tetapi juga seluruh negeri Perak," katanya.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas memutuskan Mohammad Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai menteri besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Pada 13 Feb, Mohammad Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan yang beliau pada sepanjang masa adalah Menteri Besar Perak yang sah dan injunksi untuk menghalang Dr Zambry daripada menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Mohammad Nizar, yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac, tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi pada pilihan raya umum ke12, juga memohon diisytiharkan bahawa Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan Menteri Besar.

Pembangkang dan Barisan Nasional masingmasing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan 59 kerusi itu selepas tiga anggota Dewan Undangan Negeri pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas dan yang keempat keluar dari PKR dan menyertai semula UMNO.

Sultan Azlan Shah kemudian meminta Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan melantik Dr Zambry selepas mengisytiharkan Barisan Nasional mempunyai majoriti dalam Dewan.

Dr Zambry memfailkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan dan notis rayuan, 16 jam selepas Mohammad Nizar kembali menjadi Menteri Besar.

Berikutan keputusan itu, seorang daripada peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Ranjit Singh berkata mereka sedang menimbangkan untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan perintah penangguhan keputusan itu.

Sementara itu, ketika ditemui di perkarangan mahkamah Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata, beliau akan tetap meneruskan tugas sebagai MB dan akan kembali ke pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada bila-bila masa.

Tiada ulasan: