KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 01, 2009

'Title' ulama sahaja tidak cukup dalam kita memimpin, elakkan dari dituduh lembab dan tidak pandai beroganisasi - Ustaz Nasruddin Tontawi


KEPIMPINAN Ulama mesti berkeupayaan menarik keyakinan rakyat dari pelbagai pihak, bukan hanya dari kalangan PAS semata-mata. Ia perlu segera menempatkan diri di tengah-tengah masyarakat. Apa lagi kejayaan lebih besar selain orang Cina dan India kini tidak lagi takut untuk bersama PAS malah mulai memahami aspirasi perjuangan Islam setelah lebih 50 tahun mereka dimomokkan oleh Umno dan BN bahawa PAS adalah bahaya, parti yang ekstrim, ganas dan pelampau agama. Itu antara pandangan yang diutarakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan mengenai perjuangan 25 tahun kepimpinan ulama dalam PAS. Wartawan NYZA AYOB mencungkil pendapat spontan beliau.

Bagaimana Pemuda PAS melihat setelah 25 tahun kepimpinan Ulama dalam PAS?

NASHARUDDIN HASSAN: Gerak tindak pemerkasaan parti sememangnya menjadi agenda yang berterusan dan ia melibatkan kepimpinan ulama’ yang telah melalui pengalaman kepimpinannya sejak 25 tahun yang lalu. Meskipun kita tidak pernah berasa memadai dengan pencapaian, tetapi Alhamdulillah kepimpinan ulama dalam tempoh 25 tahun ini telah berjaya meletakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam kontemporari yang mampu memberi saingan dan tamparan hebat kepada kerajaan nasionalis bahkan berjaya mengatasi penguasaan mereka serta disegani bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.
Pengalamannya ditimba oleh gerakan Islam antarabangsa. Kepimpinan ulama ini menjadi tonggak untuk PAS terus kekal bersama ketulenan manhaj perjuangannya membawa negara dan rakyat agar diredhai oleh Allah.

Setelah berjaya mengalihkan kepimpinan terdahulu (kepimpinan Dato' Mohd Asri Muda) banyak kejayaan telah dikuasai parti selain memerintah Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah. Apa yang boleh diperkatakan di sebalik kejayaan ini?

Alhamdulillah, kejayaan ini menjadi khibrah (pengalaman) dan ibtila’ (ujian) yang besar dan bermakna buat PAS. Ianya telah berjaya menafikan persepsi negatif yang menjadi khurafat sekian lama kononnya PAS tidak mampu memerintah dan mentadbir negara.
PAS juga telah berjaya keluar dari lingkaran imej 'parti pak lebai' dan 'parti kampungan' yang kononnya tidak mampu menyaingi tuntutan dan memenuhi keperluan zaman.
Kini PAS telah bersedia dengan segala upaya dan kemahiran yang dimiliki untuk diberi kepercayaan atau mandat oleh rakyat bagi memerintah dan mentadbir negara ini sebagai kerajaan alternatif.
Ya! kerajaan alternatif setelah rakyat sekian lama menderita di bawah kepimpinan parti perkauman dan tidak mesra kebajikan. Perkara kedua, suka saya tegaskan di sini bahawa kemenangan ini juga menjadi satu latihan praktikal kepada PAS untuk menghadapi suasana berbeza sebagai sebuah kerajaan yang memerintah bukan lagi pembangkang.
Tentunya berjuang dalam suasana menang dan senang sangat jauh beza dan cabarannya berbanding sewaktu kalah dan susah. Kita perlukan latihan praktikal ini untuk melahirkan kepimpinan yang bertaqwa dan berilmu, sederhana, amanah dan bijak memimpin serta benar–benar berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan.

Pada pemerhatian ustaz, apakah kejayaan terbesar yang telah memecah landskap politik tanah air sepanjang 25 tahun kepimpinan Ulama?

Saya melihat Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah meresap jauh ke dalam hati nurani masyarakat. Betapa kini mereka memerlukan Islam untuk keluar daripada segala kemelut yang menimpa negara sama ada politik mahupun ekonomi.
Jika dulu sering kita dengar pemimpin negara menyebut bahawa 'politik suku agama suku', maka kini tiada siapa lagi berani berkata demikian kecuali mereka yang benar–benar jahil dan kufur. Ini adalah episod kejayaan yang ditempa oleh kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS.
Malah kita berjaya mematahkan tongkat Umno dan BN yang selama ini membenarkan mereka tegak angkuh sekian lama. Tongkat yang saya maksudkan ialah MIC dan MCA. Kini masyarakat Tiong Hua dan India tidak lagi 'berkiblatkan' MCA dan MIC untuk terus mendokong BN tetapi rata–ratanya telah beralih menyatakan sokongan kepada KeADILan dan DAP sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.
Sebahagiannya kepada PAS sendiri melalui Kelab Penyokong PAS yang kita tubuhkan di bawah Lajnah Perpaduan Nasional. Apa lagi yang lebih besar selain orang bukan Islam di kalangan bangsa Cina dan India kini tidak lagi takut dan bimbang untuk bersama PAS malah mulai memahami aspirasi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS setelah lebih 50 tahun mereka dimomokkan oleh Umno dan BN bahawa PAS adalah bahaya, parti yang ekstrim, ganas dan pelampau agama.
Apabila tongkat Umno dan BN ini patah, kini mereka mulai kenal tinggi rendahnya langit dari bumi setelah mereka dibelenggu perasaan angkuh dan bongkak di puncak kuasa sejak sekian lama.

Sokongan bukan Islam terhadap PAS sejak akhir-akhir ini begitu luar biasa hebat. Bagaimana peranan yang dimainkan ulama dengan perkembangan amat positif ini?

Keistimewaan ulama ialah ketakwaan, keikhlasan dan keilmuan mereka. Berasaskan tiga faktor ini ulama telah memimpin gerakan membawa risalah perjuangan dengan cukup meyakinkan.
Bermula dengan maklumat yang disebar secara gigih tanpa jemu melalui penulisan, kuliah, khutbah, ceramah, berhujah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan kini melalui blog, laman web atau Facebook, ulama juga tampil dengan syakhsiyah (peribadi) dan watak serta 'skil' kepimpinan yang cukup mempesona dan meyakinkan.

Ini bermakna rakyat melihat ulama sebagai 'role model' yang dapat menyelamatkan negara?

Ya! Setelah rakyat muak dengan rasuah, gelisah dengan penyelewengan kuasa dan benci dengan keruntuhan moral para pemimpin negara hari ini, para ulama kita dilihat sebagai 'role model' yang boleh menyelamatkan negara dari segala kerendahan aqal dan moral tersebut.
Sentuhan spiritual para ulama mengisi kekosongan jiwa rakyat sekalipun dari kalangan non muslim setelah mereka ditinggalkan lompang oleh kerajaan Umno dan BN tanpa pengisian insaniah yang berkesan.

Setakat ini bagaimana penerimaan Pemuda dan PAS khususnya tentang gerakan Kelab Penyokong PAS yang tumbuh bagai cendawan?

Melalui Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat, kita juga menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS dan ini menunjukkan kita sangat peka dan gembira dengan perkembangan ini. Ia menjadi cabaran baru kepada PAS dalam meluaskan 'coverage' risalah perjuangan yang diperjuangkan oleh parti sejak sekian lama.
Selama ini, orang PAS sering bercakap tentang PAS kepada orang PAS dalam markaz PAS, akhirnya risalah perjuangan ini tidak lepas–lepas! Perkembangan ini membawa PAS menemui semua orang terutamanya 'non muslim' untuk mengenali hati budi dan aqal budaya mereka.
Kemudiannya ia meletakkan PAS berjiwa besar untuk memimpin bukan sahaja di kalangan orang PAS tetapi juga rakyat pelbagai lapisan latar belakang agama, bahasa dan bangsa.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, bukan Islam dibenarkan bertanding sebagai proksi PAS. Hingga kini sejauh mana orang bukan Islam boleh bertanding menggunakan tiket atau lambang PAS itu sendiri?

Pengalaman dan suasana semasa yang didepani oleh PAS akan banyak membantu PAS dalam membuat keputusan demi kepentingan perjuangan yang didokong selama mana ia tidak bercanggah dengan kehendak syarak.
Untuk meletakkan calon 'non muslim' bertanding menggunakan tiket PAS dalam keadaan tertentu seperti di kawasan majoriti 'non muslim', pada asasnya tidak bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS selama mana calon tersebut turut sama memberi komitmen untuk mendokong dasar perjuangan PAS.

Sejauh mana keputusan Majlis Syura memutuskan keahlian bersekutu, ahli bukan Islam dalam PAS?

Untuk soalan ini, saya rasa wajar dihubungi 'direct' pengerusi atau ahli Majlis Syura .

Berbalik kepada kepimpinan ulama, apakah ustaz berpuas hati dengan penyertaan ulama dalam hiraki kepimpinan PAS Pusat, Pemuda dan juga negeri-negeri?

Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, namun pada asasnya saya sangat berpuas hati. Malah kita mempunyai gandingan yang baik antara tiga unsur kepimpinan parti iaitu ulama, profesional dan aktivis.
Cuma saya kurang senang apabila cuba digambarkan oleh pihak–pihak tertentu kononnya berlaku krisis antara ulama dan profesional dalam parti. Sememangnya dua pihak yang berbeza disiplin pengajian dan kerjaya ini akan dilihat berbeza pendekatan dalam banyak keadaan namun parti mempunyai mekanisme tersendiri yang mengurus gaya dan cara kepimpinan secara kolektif.

Apa sikap Majlis Syura dalam hal ini?

Majlis Syura yang menjadi teraju parti akan terus meletakkan kepimpinan ulama sebagai tonggak kepimpinan kolektif ini. Saya juga mengharapkan ulama’ yang diberi ruang menyertai hiraki parti walau di mana posisi mereka benar–benar dapat berperanan bagi membukti kemampuan sebenar ulama’ dalam memimpin. Saya cukup tidak sedap hati kalau orang kata ulama lembab, tidak agresif, tidak peka, tidak pandai berorganisasi dan mengurus.
Apatah lagi, kalau apa yang disebutkan itu ada benarnya, maka para ulama mestilah memastikan mereka benar–benar mampu memikul amanah yang diberi. 'Title' sahaja tidak cukup dalam kita memimpin. Ulama mesti bekerja keras untuk memimpin dan mendokong cita–cita perjuangan agar ulama tidak menjadi bahan sendaan apalagi diperlekehkan.

Akhir sekali, apakah Pemuda berpuas hati dengan pencapaian 25 tahun kepimpinan ulama dan apakah harapan Pemuda terhadap kepimpinan PAS pada masa depan yang menanti 1001 cabaran?

Kepimpinan yang optimis, senantiasa meletakkan diri mereka tidak berpuas hati terhadap pencapaian sebelum kerana mereka terus akan membina pencapaian yang lebih baik dari masa ke semasa. Kita belajar dari kelemahan dan kekurangan semalam untuk kesempurnaan di hari esok.
Sebagaimana saya sebutkan tadi, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam kepimpinan ulama setelah kita melalui tempoh pengalaman 25 tahun kepimpinannya. Apa yang pasti, kepimpinan ulama mesti dipertahankan dan diperkasakan dari masa ke semasa.
Kepimpinan Ulama mesti berkeupayaan menarik keyakinan rakyat dari pelbagai pihak, bukan hanya dari kalangan PAS semata–mata. Ia perlu segera menempatkan diri di tengah–tengah masyarakat terutama saat mereka diperlukan untuk membimbing dan memimpin masyarakat.
Kepimpinan yang bersedia untuk memerintah dan mentadbir negara atau negeri, bukan lagi hanya memimpin organisasi, tetapi juga kepimpinan yang mampu merungkai kebuntuan negara dan rakyat dalam berhadapan dengan pelbagai polemik kehidupan pada zaman moden ini.
Justeru itu, kepimpinan ulama masa depan yang kita perlukan ialah kepimpinan yang mampu dan berani berijtihad, tangkas menangani isu, cepat bertindak dan menjadi kepimpinan yang memimpin bukan kepimpinan yang dipimpin.

Tiada ulasan: