AHLI Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi menyifatkan tangkapan demi tangkapan ke atas pimpinan Pakatan Rakyat dan penyokongnya menjelang sidang Dun Perak pada 7 Mei lalu bermotifkan politik untuk pertahan "kerajaan haram" BN yang ada di Perak. Taktik tangkapan merupakan satu lagi titik hitam dalam sejarah demokrasi, keadilan dan kebebasan yang ada dalam negara ini. Wartawan ROY RASUL ada butirannya.
Bermula Selasa dan Rabu lepas, polis melakukan beberapa tangkapan demi tangkapan ke atas orang awam dan pimpinan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Semua ini, gara-gara sidang Dewan Undang Negeri (Dun) Perak yang dirancang oleh Dato' Zamry Abdul Kadir. Agaknya apa motif BN kali ini?
DR SYED AZMAN: Jelas motifnya tidak lain dan tidak bukan untuk pertahankan kerajaan haram yang ada di negeri Perak itu sendiri. walaupun pelaksanaannya bertentangan dengan peraturan, undang-undang dan sebagainya.
Tetapi mereka (Barisan Nasional) masih lagi melaksanakan tindakan-tindakan yang semacam ini yang bagi kita tidak memberi sebarang keuntungan dari sudut demokrasi, dan keadilan dalam negara kita.
Bagi kita tindakan yang digunakan untuk membuat tangkapan itu sebagai salah satu lagi siri titik hitam dalam demokrasi, keadilan dan kebebasan yang ada dalam negara.
Apa yang berlaku itu tentunya bercanggah dengan sistem demokrasi negara kita. Hal ini BN pun tahu. Tetapi demi kuasa, mereka lakukan sekalipun terpaksa memijak demokrasi. Apa kesudahannya?
Sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri Dato' Seri, Najib Tun Razak sendiri dalam konsep Satu Malaysia, bagi saya ia merupakan momokan semata-mata. Setiap hari bercakap pasal Satu Malaysia, keadilan, memberikan kesaksamaan dan sebagainya.
Tetapi dari segi tindakan tanduk yang mereka laksanakan khususnya dalam pekembangan yang terakhir ini, satu yang kontra daripada yang mereka laksanakan. Malahan ini lebih merupakan satu penyempitan dari sudut demokrasi dan juga hak asasi dan kebebasan yang sepatutnya diberikan kepada setiap warga dan rakyat yang ada dalam negara Malaysia.
Pada hari ini (7 Mei) juga beberapa tangkapan dibuat antaranya, Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujadi Yusuff Rawa dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin. Sebelum ini Mohd Sabu. Apakah tangkapan itu untuk menakut-nakutkan pembangkang?
Saya rasa begitu. Ini bermakna lanjutan daripada tindakan yang mereka laksanakan. Bermula daripada tangkapan yang dilakukan ke atas Wong Chin Huat membawa ahli parlimen dan adun-adun ditangkap kerana dipercayai mereka memakai pakaian hitam dan semata-mata mereka hendak bersuara mengadakan sidang media di Ipoh.
Kerana bagi mereka wujud satu keadaan di Perak iaitu berlaku ketidakadilan serta berlaku pelanggaran undang-undang dan peraturan dari segi sidang Dun yang setakat ini tiada lagi jalan penyelesaian sehingga hari ini.
Adakah tangkapan ini akan mematah semangat rakyat untuk pertahankan hak mereka yang dicabuli di Perak?
Tidak! Tidak sekali-kali akan mematahkan semangat rakyat malah akan menambah semangat rakyat untuk mengembalikan keadilan dan juga kebebasan di negara kita. Saya yakin apa yang dilakukan oleh pihak polis dan pasukan keselamatan ini adalah satu tindakan di mana rakyat akan terus bangkit untuk menyatakan hak mereka dalam sistem demokrasi di negara kita.
Tangkapan tersebut disifatkan berat sebelah kerana semasa Pakatan Rakyat membuat sidang Dun dulu mereka tidak dibenarkan masuk ke Dewan. Sekatan tersebut memaksa Pakatan Rakyat bersidang di bawah pokok. Jelas polis sebelah mereka... Di manakan konsep Satu Malaysia yang diuar-uar oleh perdana menteri itu?
Satu Malaysia yang disebut dan dislogankan oleh Perdana Menteri sekarang hanya momokan dan tidak menjadi suatu realiti di mana tindak-tanduk mereka berlainan dengan slogan yang cuba mereka uar-uarkan kepada rakyat Malaysia.
Jadi bagi PAS dan Pakatan Rakyat akan terus perkukuhkan kerjasama dan kekuatan dan terus mendokong kekuatan yang kita ada ini dengan sokongan dan dokongan yang ada ini daripada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Baru-baru ini perdana menteri mengatakan konsep yang dibawanya akan mengutamakan rakyat. tetapi hari ini jelas permintaan rakyat untuk dibubarkan Dun Perak tidak dipedulikan. Apa tujuan Najib berbuat demikian.
Situasi yang berlaku sekarang contohnya Sidang Dun Perak yang berjalan sekarang tidak ada jalan penyelesaian biarpun pelbagai pihak menyatakan penyelesaiannya hanya membubar Dun dan mengembalikan rakyat untuk memilih dari segi mandat yang ada di Perak itu sendiri.
Malahan kelmarin pun Speaker Dewan Negara juga menyatakan di negeri Perak itu penyelesaian terbaik mengembali hak untuk rakyat menentukan siapa yang patut memerintah dan menteri besar mana yang patut memimpin negeri Perak.
Kalau ini terus berlanjutan maka apa yang diuar-uar oleh Najib bersama Umno dan Barisan Nasional hanya akan menjadi bahan ketawa rakyat sebagaimana slogan-slogan lain seperti 'Bersih, Cekap dan Amanah, 'Kepimpinan Melalui Teladan' atau 'Cemerlang, Gemilang, Terbilang'. Tetapi semuanya itu tidak menjadi slogan dan realiti.
Penangkapan tersebut menunjukkan kerajaan BN sanggup menggunakan apa saja untuk menjaga kepentingan mereka. Adakah tindakan ini boleh menjejaskan ekonomi negara dan menghilangkan kepercayaan pelabur asing kepada kerajaan BN?
Sebenarnya apa yang mereka lakukan itu sememangnya tidak akan mengembalikan keyakinan rakyat dan juga pelancong-pelancong asing apabila melihat pemimpin-pemimpin Umno melaksanakan rampasan kausa di Perak itu sendiri dan melanggar prinsip-prinsip dan asas-asas demokrasi dan keadilan yang ada dalam negara kita.
Jadi ini tidak akan memberikan sebarang keuntungan dari segi sokongan dan dokongan daripada rakyat serta pelabur-pelabur asing yang melihat tidak wujudnya demokrasi tulen dan keadilan dan kebebasan sebagaimana yang dikehendaki di negara kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan