KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 08, 2009

Tok Guru Nik Aziz nafi "tuduhan Nik Abduh" terhadap para pembantunya!


Tok Guru Nik Aziz bersama Setiausaha Politiknya, Anual Bakri Haron

MURSYIDUL Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan anggapan anaknya, Nik Abduh yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan bahawa beliau telah dipengaruhi oleh pembantu-pembantunya dalam membuat keputusan politik, lapor Utusan Malaysia hari ini.

Tok Guru Nik Aziz berkata, sebelum membuat sebarang keputusan, beliau akan mendengar pandangan daripada semua pihak dan dianalisis berdasarkan pengalaman dan pengamatannya terhadap sesuatu persoalan.

Bagaimanapun beliau tidak akan menegah anaknya itu daripada terus menulis persoalan politik dalam parti kerana menyifatkan Nik Abduh sudah cukup matang serta berpendidikan tinggi.

“Saya cuma tegur dia satu perkara sahaja tetapi saya tidak boleh nyatakan di sini, tanyalah dia sendiri. Dia ada ilmu, belajar di luar negeri dan terlibat dengan politik jadi Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri. Terpulang pada dialah hendak menulis atau tidak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tulisan Nik Abduh dalam blognya Kerja-Kerja Bodoh Dalam Pas I dan II ketika Nik Abdul Aziz mengerjakan umrah. Dalam tulisan tersebut Nik Abduh mengkritik pembantu-pembantu bapanya yang telah memberikan gambaran salah mengenai situasi semasa.

Beliau juga menyifatkan pembantu-pembantu politik bapanya telah sesat kerana menjadi pejuang nafsu. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan tuduhan tersebut tidak berasas kerana beliau telah menjalankan tugas dengan baik.

“Usahkan saya, Nabi Muhammad pun kena tuduh, pelik apanya. Tidak ada (dipengaruhi), saya tengok semua fikiran sokong dan negatif dan saya pandu dengan pengalaman sebelum membuat keputusan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS Kawasan Batu berharap penjelasan Tok Guru Nik Aziz itu boleh meleraikan kekusutan yang timbul sebelum ini dan membetulkan jika ada tanggapan yang salah terhadap para pembantu Mursyidul Am PAS itu.

Setiausahanya, Ismail Yahya dalam satu kenyataan kepada Sanggahtoksago sebentar tadi, melihat kemelut yang timbul hanya salah tanggapan ekoran beberapa perkembangan dalaman parti yang timbul, menjelang Muktamar Agung PAS, Jun depan.

Katanya, penafian Tok Guru itu sekurang-kurangnya mampu meredakan "pertikaian" pada blog dan media arus perdana berkenaan tuduhan Ustaz Nik Abduh terhadap para pembantunya.

Tiada ulasan: