KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 09, 2009

Jangan anggap semua peringkat parti mesti dipimpin ulama - Mustafa Ali



ISU kepimpinan ulama telah banyak diperkata dan dibahaskan oleh pelbagai pihak, menjelang pemilihan kepimpinan PAS yang akan berlaku pada Muktamar Agung parti itu, Jun depan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata isu tersebut dimainkan oleh pihak media sehingga dilihat seolah-seolah terdapat perbezaan pendapat di kalangan pimpinan dan ahli-ahli PAS.

Ia berlaku demikian kerana menurutnya ada di kalangan ahli PAS yang berpendapat semua peringkat kepimpinan mestilah diketuai oleh mereka yang dianggap ulama. Sebaliknya, beliau menegaskan dalam Perlembagaan PAS tidak menghadkan bahawa Presiden dan timbalannya atau mana-mana peringkat kepimpinan mesti dari kalangan ulama.

Namun begitu, beliau menyarankan, berdasarkan pengalaman lebih 50 tahun dan melihat perjalanan PAS buat masa kini, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden haruslah disandang oleh ulama.

"Tapi saya berdasarkan pengalaman saya, melihat perjalanan-perjalanan (PAS) setakat ini, untuk pada waktu ini, paling kurang, Presiden dan Timbalan Presiden itu (mestilah) terdiri daripada ulama," tegasnya sewaktu merasmikan Muktamar Pemuda PAS Negeri Terengganu Kali Ke 40 di Markaz Tarbiah Kuala Ibai, dekat sini.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat itu turut menyeru semua pihak supaya jangan menganggap atau mempunyai persepsi bahawa kepimpinan ulama itu bermaksud semua pringkat parti mesti dipimpin oleh ulama.

Katanya, Majlis Syura Ulama ditubuhkan selepas penerimaan konsep Kepimpinan ulama sekitar tahun 1983 yang bertujuan untuk menjaga dan menetapkan hala tuju dan polisi parti. Tegasnya lagi, peringkat kepimpinan lain merupakan pelaksana kepada apa yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama’.

"Majlis Syura Ulama adalah satu institusi yang menentukan halatuju perjuangan PAS, manakala Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulama dan perhubungan-perhubungan negeri adalah pelaksana," ujarnya.

Oleh itu, kata beliau, tidak semestinya di peringkat kawasan dan cawangan dipimpin oleh ulama, tetapi sekiranya ada terdapat golongan ulama yang boleh memimpin pada peringkat itu, ia akan menjadi lebih baik.

Mustafa berkata, kekuatan PAS pada hari ini adalah lahir melalui gabungan yang wujud antara ulama dan profesional.

"Ertinya profesional juga mestilah tahu ilmu-ilmu asas agama, ilmu asas jamaah, ilmu asas harakiyah. Ulama mesti juga tahu tentang (pengurusan) organisasi, bukan setakat tahu mengajar tetapi tidak tahu tentang organisasi," katanya.

Dengan terlaksananya gabungan ulama dan profesional dalam PAS, katanya, tidak ada satu parti politik pun di Malaysia, yang boleh menandingi kekuatan PAS.

Turut hadir dalam majlis perasmian Muktamar Pemuda termasuklah Timbalan Pesuruhjaya, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik, Setiausaha Perhubungan, Yahaya Ali, wakil DAP, Ng Chai Hing dan wakil Angkatan Muda KeADILan Terengganu, Mohamad Muzaffeq.

Tiada ulasan: