KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 07, 2009

Polis gagal reman calon Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu



Mohd Sabu diculik dan dilarikan secara misteri tanpa waran tangkap 6 Mei lalu di hadapan Restoran Rafiya tidak jauh dari Pejabat Harakah, Jalan Pahang Barat

NAIB Presiden PAS, Mohamad Sabu yang ditahan secara misteri petang semalam dibebaskan di Mahkamah Tanjung Malim, Perak selepas polis gagal meremannya, lapor Malaysiakini. Dihubungi petang ini, beliau berkata laporan polis terhadapnya dibuat oleh Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah sendiri atas alasan "cuba menghasut orang ramai halang persidangan DUN Perak" hari ini.

Mohamad percaya laporan itu dibuat susulan kenyataannya di satu sidang media di Kuala Lumpur untuk menganjurkan solat hajat dan munajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh, menjelang subuh pagi ini (7 Mei 2009).

Mohamad, dibebaskan dengan jaminan polis, disambut isterinya Normah Alwi bersama seorang anak mereka pada jam 3.30 petang di situ. Polis membawanya ke mahkamah kira-kira jam 3 petang tadi untuk mereman selama empat hari dan memohon keizinan menggeledah rumahnya di Padang Menora, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tambahnya, permohonan polis ditolak setelah mendengar hujah peguamnya. Walaupun sudah bebas, calon timbalan presiden PAS itu masih bimbang akan ditahan semula.

"Polis boleh panggil semula, kita bimbang ditangkap lagi. Polis boleh buat macam-macam," kata Mohamad.

Menurutnya, lagi, beliau yang ditahan di sebuah lokap di Bukit Aman tidak disoal siasat malam tadi dan tidak mengetahui bawah akta apa penahanannya dibuat. Menurut laporan awal akhbar PAS Harakahdaily, Normah diberitahu oleh polis Bukit Aman bahawa suaminya telah dibawa ke Tanjung Malim pagi tadi untuk dihadapkan ke mahkamah.

Polis semalam tidak menjelaskan siasatan tersebut dibuat untuk mana-mana kes kecuali menyatakan "mendorong orang ramai dan penyokong PAS berkumpul di Ipoh" sempena persidangan DUN Perak yang bermula pagi ini.

Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub semalam tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi tadi berkaitan persidangan DUN tersebut. Mohamad Sabu ditahan jam 3.15 petang di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur selepas keluar dari sebuah restoran dan difahamkan sedang berjalan menuju ke pejabat Harakah.

Pemimpin kanan itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa. Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.

Menceritakan saat-saat tersebut, Salahuddin berkata, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut.

Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu. Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok.

PETANG SEMALAM, Mohamad Sabu ditahan polis selepas jam 3 petang di Jalan Pahang Barat, Kuala Lumpur - dipercayai berhubung majlis solat hajat anjuran parti itu dekat Ipoh awal pagi esok.

Pemimpin kanan PAS itu ditahan sekumpulan kira-kira 10 anggota polis berpakaian biasa sewaktu meninggalkan sebuah restoran menuju ke pejabat Harakah, kata ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Mohamad sebelum itu minum bersama Salahuddin dan seorang lagi ahli PAS di sebuah restoran belakang Hospital Tawakkal di Jalan Pahang - kira-kira 300 meter dari pejabat organ parti itu.

Salahuddin memberitahu Malaysiakini, beliau terdengar jeritan Mohamad "aku kena tangkap" sebelum bergegas menuju ke arahnya yang sedang dikelilingi kumpulan anggota polis tersebut. Beliau dan ahli PAS itu, yang dikenali Ali Maidin, bergelut seketika dengan anggota-anggota polis untuk menyelamatkan Mohamad tetapi diheret ke tepi oleh pihak berkuasa itu.

Salahuddin menambah, tiada waran tangkap terhadap Mohamad dikeluarkan dan tiada pegawai polis memperkenalkan diri sewaktu penahanan tersebut. Beliau kini sedang mendapatkan bantuan peguam PAS Hanipa Maidin untuk tindakan lanjut.

Mohamad ditahan selepas jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, ditahan reman sehari di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan Akta Hasutan - dipercayai berkaitan kempen berpakaian hitam anjuran NGO itu sempena sidang DUN Perak, esok. Wong ditangkap di rumahnya di Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur beberapa jam selepas memberikan kenyataan di satu sidang media Bersih, pagi semalam.

Sewaktu dihubungi, Salahuddin berkata beliau tidak menolak kemungkinan Mohamad ditahan berhubung program solat hajat di Manjoi bermula jam 5 pagi esok berkaitan persidangan DUN tersebut.

Isnin lalu, Mohamad mengumumkan program khas PAS itu dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur. Beliau bertindak sebagai pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi PAS yang menganjurkan program tersebut di Masjid Al-Ittihadiyah, Kampung Tengku Husin Baru.

Isteri pemimpin PAS itu, Normah Alwi berkata seorang pegawai polis berpangkat ACP menghubunginya petang ini dan memaklumkan bahawa Mohamad akan dibawa ke Slim River, Perak untuk ditahan reman esok.

"Benda (program solat hajat) belum jadi, kenapa tangkap?" katanya kepada Malaysiakini.

Awal malam ini, polis mengesahkan telah menahan Mohamad jam 3.15 petang tadi dengan alasan "mendorong orang ramai dan penyokong PAS berkumpul di Ipoh" sempena persidangan DUN Perak, esok. Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana beliau ditahan di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin turut mengesahkan mengenai penahanan Mohamad Sabu.

"Saya boleh sahkan mengenai penahanan beliau tetapi sebarang maklumat rujuk pada ketua polis Perak," katanya kepada agensi berita itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan penyokong Mohamad berura-ura berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan kepadanya mulai 8 malam. Bagaimanapun perhimpunan tersebut tidak menjadi kenyataan selepas polis mengawal ketat, termasuk menutup jalan, sekitar kawasan tersebut.

Tiada ulasan: