IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tidak terkejut dengan pemilihan Perak sebagai tempat pelancaran sambutan 1Malaysia peringkat kebangsaan oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang umumkan Dato' Seri Dr. Zambry Abdul Kadir baru-baru ini.
Menurut setiausaha dewan itu, Dr Raja Al-Hiss, ia sesuatu yang pelik dan menggambarkan Umno/BN sebenarnya kini tertekan dengan suasana yang telah berlaku di Perak sehingga terdesak untuk menganjurkan apa jua program besar di negeri ini bagi meraih simpati dan ehsan rakyat.
Katanya kepada Harakah, usaha Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak, sebagai satu penghinaan kepada seluruh rakyat Perak kerana pelancaran sambutan 1Malaysia peringkat kebangsaan pada 18 Oktober ini hanyalah topeng BN kononnya mereka menghormati semua kaum di negara ini.
Ini satu penipuan terhadap slogan rakyat diutamakan, ujarnya lagi.
Pemuda PAS Perak merasakan slogan Najib itu benar-benar mengguriskan hati rakyat Perak apabila beliau membelakangkan mandat mereka dengan melancarkan rampasan kuasa awal Februari lalu.
Najib ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak tidak mendahulukan rakyat yang telah memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 tahun lepas serta menafikan demokrasi.
Raja Ahmad menjangkakan pelancaran 1Malaysia di Perak adalah satu kesilapan kerana ingatan rakyat negeri masih segar dengan rampasan kuasa yang paling tidak bermaruah dilakukan Umno/BN.
"Semestinya rakyat Perak akan bangkit untuk menegakkan demokrasi dan menebus pencabulan hak mereka di dalam menentukan siapakah sebenar yang telah di beri kuasa memerintah Kerajaan Negeri Perak," tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan