KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 09, 2009

Tanggungjawab orang Islam tolak pemimpin mungkar - Dato' Dr Haron Din

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan adalah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk memilih pemimpin yang tidak mengamalkan kerja-kerja mungkar dan rasuah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pemilihan Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil Dun Bagan Pinang.

"Pilih pemimpin hendaklah dipastikan orang-orang yang bersih yakni terdiri daripada orang-orang bertakwa, bukan di kalangan orang yang telah sabit melakukan kezaliman kepada Allah seperti mengamalkan kerja-kerja mungkar," katanya kepada Harakah.

Menurut Ustaz Haron, pemilihan seorang pemimpin daripada perspektif Islam hampir kepada pemilihan seorang imam, sama ada dalam solat atau dalam kepimpinan umum negara.

"Kerana itu pemimpin terletak di hadapan dalam memimpin solat. Dalam konteks kepimpinan negara pula, para nabi dipilih oleh Allah di kalangan insan yang terbaik," ujarnya.

Beliau menyebut maksud ayat al-Quran: "Allah memilih di kalangan malaikat yang boleh menjadi 'malaikat rasul' (malaikat yang membawa utusan Allah) berupa wahyu seperti Jibril, dan Allah memilih di kalangan manusia sebagai rasul."

Jelasnya, pemimpin bukan sembarangan mestilah di kalangan yang terbaik akhlaknya, tutur katanya, apatah lagi dalam sejarah kehidupannya - tiada calar yang parutnya dapat dilihat oleh semua orang.

"Kalau tiada pilihan lain, tidak mengapa tetapi kalau ada pilihan antara seorang yang dilihat sebagai yang tidak terbaik dengan seorang yang dilihat sebagai terbaik maka tentulah logik akalnya dan logik imannya dia mesti memilih yang terbaik itu.

"Ini diperkuatkan dengan perintah Allah dalam kisah Nabi Ibrahim yang diceritakan dalam al-Quran bahawa Allah memilih Nabi Ibrahim dengan menjadikannya pemimpin (imam), tambahnya lalu Nabi Ibrahim meminta pertolongan Allah supaya melantik keturunannya sebagai imam (pemimpin).

"Allah menjawab kepadanya, "tidak semua keturunanmu boleh menjadi pemimpin terutamanya orang-orang yang tidak menunaikan janji dengan Allah, lebih-lebih lagi orang yang melakukan kezaliman.

Ustaz Haron mnejelaskan maksud kezaliman itu ialah orang yang sanggup melakukan dosa-dosa besar lalu Allah memerintahkan Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah dan doa itu dibacakan sehingga kini: "Ya Allah jadikan kami orang-orang yang bertakwa sebagai pemimpin."

Tiada ulasan: