PARIT BUNTAR: PAS Perak meminta pihak keselamatan memastikan segala siasatan berkaitan isu simbah cat terhadap gambar dan kain rentang pemimpin BN di Perak dijalankan secara adil dan tidak berpihak kepada mana-mana kumpulan.
Ketua Penerangannya, Drs Khalil Idham Lim bimbang kalau-kalau ada yang mengambil kesempatan untuk berlakon dan ditangkap serta mengaku tindakan menyimbah cat itu adalah arahan dari mana-mana pimpinan PAS.
Sejak kebelakangan ini antara isu yang hangat diperkatakan di Perak ialah tindakan pihak yang tidak dikenali menyimbah cat kepada kain rentang beberapa orang pimpinan BN.
Terbaru seperti dilapor dalam sebuah akhbar harian, kain rentang Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi Paharuddin juga disimbah dengan cat.
Ekoran dari itu BN telah menuduh tindakan tersebut dilakukan oleh penyokong Pakatan Rakyat dan telah dijawab oleh banyak pihak sehingga menimbulkan kehairanan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir.
"Saya memohon dari semua pimpinan, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat, khususnya PAS supaya terus berhati-hati dengan provokasi pihak lawan kita iaitu BN setelah melihat sejak akhir-akhir ini semacam isu menyimbah cat ini sengaja diada-adakan," pinta Khalil yang juga Adun Titi Serong.
Beliau hairan, kenapa kejadian ini hanya berlaku terhadap kain rentang milik pemimpin BN sahaja dan banyak kain rentang yang dipasang oleh pimpinan Pakatan Rakyat tidak terusik.
"Setahu saya perkara ini sering berlaku semasa pilihanraya apabila pihak yang membina pintu gerbang misalnya, membakar pintu gerbang itu dan segera ditujukan kepada pihak PAS yang melakukannya.
"Adakah ini adalah salah satu dari taktik kotor BN untuk kembali menarik sokongan rakyat setelah mereka melakukan kudeta yang jijik dan memalukan serta merosakkan kemurnian amalan demokrasi yang sekian lama diamalkan dinegara kita," tegas beliau lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan